Jangan harap pemimpin sahaja, keamanan milik kita semua

Jangan harap pemimpin sahaja, keamanan milik kita semua

USAHA mempertahankan kestabilan negara merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan kewajipan bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESELAMATAN dan keamanan merupakan dua asas penting yang saling melengkapi dalam menjamin kestabilan negara dan tidak hanya bergantung kepada kecekapan pemerintah semata-mata, tetapi turut menuntut penyertaan aktif rakyat sebagai tonggak kekuatan negara.

Keselamatan merujuk kepada perlindungan daripada ancaman fizikal, jenayah, keganasan dan gangguan terhadap kedaulatan negara, manakala keamanan menggambarkan suasana harmoni dalam masyarakat yang bebas daripada konflik ketegangan kaum dan kekacauan yang menggugat kesejahteraan masyarakat.

Allah SWT menceritakan perihal orang Quraisy secara lazim melakukan rombongan perdagangan ke Syam pada musim panas dan ke Yaman pada musim sejuk. Lalu Allah SWT mengingatkan supaya mensyukuri nikmat keamanan dan keselamatan yang membolehkan berdagang dengan beribadah kepada Allah SWT yang mengurniakan keamanan tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.” (Surah Quraish: 3-4)

Seterusnya, Allah SWT juga turut melarang sekecil-kecil perbuatan seperti menghina atau merendahkan orang lain dan perbuatan memanggil orang dengan gelaran yang buruk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat: 11)

Pengekalan keselamatan dan keamanan tidak boleh dicapai tanpa kerjasama strategik seluruh warganegara yang cakna terhadap dasar dan peraturan yang digubal.

Terdapat beberapa peranan masyarakat dalam menyokong dasar keselamatan dan keamanan negara yang diusahakan oleh pihak pemerintah.

Pertama, kefahaman terhadap urus tadbir pemerintah adalah berteraskan maslahat umum. Pemimpin yang dilantik melalui mandat rakyat memikul tanggungjawab untuk melaksanakan dasar secara adil, telus dan berorientasikan kepentingan bersama.

Prinsip maslahat menjadi asas dalam setiap tindakan pemerintah agar segala keputusan memberi manfaat yang luas dan mengelakkan kerosakan.

Keperluan memahami dasar yang dirangka secara menyeluruh amat penting agar tiada salah faham yang mencetuskan ketidakpercayaan. Kaedah fiqh menyatakan dengan jelas: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kepada maslahat (kepentingan umum)”.

Pelaksanaan dasar yang menjamin kestabilan politik, sosial dan ekonomi harus dinilai secara objektif, bukan berdasarkan emosi atau kepentingan kelompok tertentu.

Kejelasan niat dan tujuan dasar sewajarnya dilihat melalui lensa maslahat, bukan sentimen sempit yang merugikan masyarakat.

Kedua, sokongan terhadap dasar yang menjamin manfaat. Kesejahteraan negara terhasil melalui usaha bersepadu ke arah pembangunan yang mampan, bermula daripada asas paling penting iaitu keamanan.

Segala bentuk kemajuan tidak akan bermakna tanpa ketenteraman yang dipelihara secara kolektif. Dukungan terhadap dasar keselamatan negara menjadi penyumbang utama kepada kestabilan sistem pemerintahan dan keyakinan pelabur.

Tanggungjawab memakmurkan bumi termasuk mendukung segala inisiatif yang bertujuan memperkukuh ketenteraman awam, menyokong agensi keselamatan dan mendidik masyarakat agar cakna terhadap persekitaran.

Keengganan memberi sokongan terhadap dasar yang baik hanya membuka ruang kepada ketidakstabilan dan perpecahan.

Ketiga, ketaatan kepada pemimpin berlandaskan syariah. Prinsip ketaatan kepada pemerintah yang tidak bercanggah dengan syariat merupakan antara tunjang utama dalam pembentukan masyarakat yang berdisiplin dan aman.

Keutuhan sebuah negara terbina melalui hubungan saling mempercayai antara pemegang kuasa dan rakyat yang bertanggungjawab.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada pemimpin dalam kalangan kamu…” (Surah al-Nisa’: 59)

SUARA RAKYAT

Ketaatan yang dimaksudkan kepatuhan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. Hak menyuarakan pandangan tetap terbuka, namun harus disalurkan melalui saluran sah dan adab yang terpelihara.

Tindakan melampaui batas seperti menghasut, mencaci atau memecah belahkan masyarakat atas alasan ‘perjuangan’ merupakan fitnah yang menggugat keamanan.

Demikianlah, sokongan rakyat terhadap dasar keselamatan dan keamanan negara merupakan elemen penting dalam menjamin keberkesanan pelaksanaannya.

Tindakan ini bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan nasional, malah membantu membentuk sebuah negara yang aman dan makmur untuk semua lapisan masyarakat.

Sistem demokrasi menyediakan ruang semak dan imbang yang membolehkan rakyat menyuarakan pandangan. Namun, kebebasan ini perlu dilaksanakan secara harmoni dan bertanggungjawab, tanpa menjejaskan perpaduan atau menyemai kebencian dalam masyarakat.

Pandangan yang disampaikan harus bersifat membina dan berpaksikan semangat kebersamaan.

Tanggungjawab menyokong dasar kerajaan, selagi tidak bercanggah dengan syariat, sejajar dengan prinsip maqasid syariah, khususnya ‘maqasid al-amn’ (pemeliharaan keamanan). Usaha mempertahankan kestabilan negara merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan kewajipan bersama.

 

DR. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN