PAAB rancang terbit sukuk RM11.64 bilion

PAAB rancang terbit sukuk RM11.64 bilion

Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) merancang menerbitkan sukuk bernilai RM11.64 bilion bagi memenuhi keperluan perbelanjaan modal dalam tempoh 10 tahun akan datang, ketika syarikat itu mempunyai projek infrastruktur air bernilai kira-kira RM14.97 bilion.

Menurut PAAB, projek berjumlah kira-kira RM1.6 bilion sedang dalam pembinaan, manakala projek bernilai RM13.4 bilion lagi berada pada peringkat reka bentuk dan tender, selain projek yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Program nota jangka sederhana Islam (IMTN) yang dicadangkan itu dijangka memperkukuh keupayaan pembiayaan jangka panjang PAAB bagi menyokong pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur air negara, termasuk pengurusan bekalan air dan air sisa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program itu juga dirancang menggabungkan ciri pembiayaan mampan yang merangkumi pengurusan air dan air sisa, pemuliharaan biodiversiti, penyesuaian perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau serta infrastruktur asas mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar berkata, program berkenaan dijangka menyokong keperluan pembiayaan jangka panjang syarikat itu, selain memajukan agenda kelestariannya selaras dengan agenda Transformasi Sektor Air 2040 Malaysia dan Kerangka Kewangan Islam Mampan (SIFF) PAAB.

Sehubungan itu, PAAB melantik Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad sebagai penasihat utama bersama serta pengatur utama bagi program sukuk yang dicadangkan itu.

“Program berkenaan akan diterbitkan menerusi Pengurusan Air SPV Berhad (PASB), syarikat milik penuh PAAB yang bertindak sebagai entiti pembiayaan dan penerbit sukuknya.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, manakala tarikh penerbitan pertama belum ditentukan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau pula berkata, pihaknya berbesar hati menyokong PAAB memperluas akses kepada penyelesaian pembiayaan mampan dan pembiayaan biru bagi menterjemahkan matlamat kelestarian kepada pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada sektor air negara.

Maybank Investment Bank turut bertindak sebagai Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal bagi SIFF PAAB, yang menyokong usaha memperluas pembiayaan mampan dan biru melalui pasaran modal Islam Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank, Kevin Davies berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen PAAB terhadap kesiapsiagaan pembiayaan. Beliau berkata, RHB akan memanfaatkan keupayaan penstrukturan dan pelaksanaan bagi menyokong program berkenaan.

Ketika ini, PAAB mempunyai tiga program pembiayaan iaitu kertas komersial Islam bernilai RM2 bilion yang matang pada Ogos 2029, IMTN bernilai RM20 bilion yang matang pada November 2039 serta IMTN dengan jaminan kerajaan bernilai RM20 bilion yang matang pada Februari 2041.

Dalam perkembangan berkaitan, PASB menerbitkan sukuk biru bernilai RM720 juta pada 3 Ogos 2026 di bawah program kertas komersial Islam sedia ada bernilai RM2 bilion.

Terbitan itu disifatkan sebagai sukuk biru pertama dan terbesar di dunia setakat ini, sekali gus mencerminkan usaha PAAB memperkukuh kedudukannya dalam pembiayaan Islam mampan serta keyakinan pelabur terhadap syarikat itu.

Satu majlis turut diadakan di ibu negara bagi memperingati penempatan sulung PAAB bernilai RM300 juta pada 26 Ogos 2026 di bawah program Deposit Tetap-i Mampan Islamik (ISFD-i) Maybank Islamic Berhad.

Program ISFD-i menyediakan penyelesaian penempatan korporat patuh syariah untuk pelanggan institusi, yang dikaitkan dengan portfolio aset pembiayaan Islam layak dalam kategori hijau, sosial, mampan atau berkaitan kemampanan.

Antaranya termasuk tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan bersih, pengurusan air dan air sisa mampan serta perkhidmatan dan infrastruktur asas mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah berkata, penempatan ISFD-i bernilai RM300 juta itu merupakan satu pencapaian yang menyokong pengurusan kecairan melalui penyelesaian patuh syariah, selain memperkukuh komitmen bersama terhadap pembiayaan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini