PETALING JAYA: Maestro muzik, Datuk Ramli M.S mengakui dirinya perlu mengehadkan aktiviti fizikal selepas menjalani pembedahan akibat masalah cakera tergelincir (slip disc), pada Ogos lalu.
Ramli atau lebih mesra disapa Tok Ram berkata, meskipun keadaan kesihatannya semakin baik, dia masih belum dibenarkan melakukan aktiviti yang memberikan tekanan kepada tulang belakang, termasuk bermain snuker.
“Saya memang tidak boleh bermain snuker sekarang kerana doktor tidak membenarkannya. Saya sudah menjalani pembedahan slip disc pada Ogos lalu dan keadaan sekarang jauh lebih baik, seolah-olah mendapat kaki baharu.
“Cuma, saya masih tidak boleh membongkok seperti ketika bermain snuker kerana pergerakan itu memberikan tekanan kepada bahagian L4 dan L5 tulang belakang,” katanya ketika ditemui di majlis pengumuman peserta Gegar Vaganza Fantasia (GVF), semalam.
Menurut Ramli, dia juga masih berdepan masalah pada kaki kanan yang memerlukan pemantauan doktor, namun keadaannya tidak sampai ke tahap memerlukan pembedahan.
“Kaki kanan saya masih ada masalah. Doktor kata ada pendarahan pada tulang, jadi mereka tidak berani melakukan prosedur tersebut.
“Tetapi keadaannya tidak sampai perlu dibedah. Doktor cuma sarankan fisioterapi dan saya percaya ia akan beransur pulih,” kongsinya.
Dalam pada itu, juri tetap bagi program GVF itu memaklumkan dia kini sudah mampu melakukan aktiviti harian termasuk memandu, berbanding sebelum pembedahan.
“Dulu saya langsung tidak boleh memandu, tetapi sekarang sudah boleh. Cuma kalau berdiri terlalu lama, saya perlu berhati-hati. Keadaan saya sekarang jauh lebih baik berbanding sebelum pembedahan. Memang banyak perubahan yang saya rasai.
“Saya memang jenis berjalan laju, tetapi sekarang perlu perlahankan langkah. Mungkin selepas tiga, empat atau lima bulan keadaan akan menjadi lebih baik.
“Buat masa ini, saya juga perlu mengelakkan daripada mendukung anak kerana dia semakin membesar dan berat. Perbuatan itu boleh memberikan tekanan kepada tulang belakang,” jelasnya.
Terdahulu, Ramli mencuri perhatian apabila hadir ke sebuah acara snuker meskipun berdepan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, dia menjelaskan kehadirannya adalah bagi memberikan sokongan kepada pihak penaja acara berkenaan dan hanya sempat bermain secara ringkas. -UTUSAN











