GEORGE TOWN : Penggunaan teknologi hijau secara menyeluruh dalam sektor pengurusan air perlu disegerakan demi memastikan kelestarian bekalan air negara untuk jangka masa panjang.
Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, ketika ini, penggunaan teknologi tersebut masih boleh dianggap rendah kerana tumpuan lebih diberi kepada usaha untuk mengukuhkan sistem bekalan air sedia ada.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya telah mula mempraktikkan penggunaan teknologi hijau dalam setiap projek yang membabitkan PAAB sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan jejak karbon.
“Apabila kita sedang menuju ke arah penggunaan teknologi hijau yang lebih menyeluruh, maka, kita perlu meningkatkan kelestarian sistem bekalan air yang dimiliki sekali gus menjadikan sistem itu lebih efisien pada masa depan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program Pameran & Forum WaterTech Asia 2025 yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan.
Selain Malaysia, dianggarkan lebih daripada 100 pempamer dari beberapa negara luar seperti Indonesia, China, Kanada, Jerman dan Korea Selatan menyertai pameran dan persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu bermula hari ini.
Penganjuran tersebut antara lain bertujuan mempertingkatkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dalam bidang pengurusan air serta industri sokongan sekali gus membuka peluang pertumbuhan bagi sektor berkenaan di peringkat serantau dan global.
Dalam pada itu, Jaseni memberitahu, pemain industri dalam sektor pengurusan air kini sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk mengeluarkan sisa rawatan air daripada kategori sisa berjadual.
“Saya dimaklumkan, ramai usahawan ingin masuk ke bidang ini. Di Jepun, AS (Amerika Syarikat) dan Australia, sisa rawatan tidak diklasifikasikan sebagai sisa berjadual. Hanya Malaysia terlalu ‘tegas’ dalam perkara ini sehingga menimbulkan ‘masalah’.
“Di Jepun umpamanya, sisa rawatan air yang dikitar semula adalah bahan nombor satu untuk penambakan tanah,” katanya yang menjelaskan, jika pendekatan yang sama boleh diambil, Pulau Pinang sebagai contoh, tidak perlu lagi mendapatkan pasir atau menarah bukit bagi menjalankan sebarang projek penambakan.-UTUSAN










