PAAB sumbang RM30,000 naik taraf kemudahan air pusat jagaan warga emas

PAAB sumbang RM30,000 naik taraf kemudahan air pusat jagaan warga emas

ROZAIFEE Abu Zaharim menyampaikan sumbangan kepada kepada Nurul Atikah Mohd Azmi bagi memasang tangki air baharu dan menaik taraf sistem bekalan air di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, memperuntukkan sebanyak RM30,000 bagi memasang tangki air baharu dan menaik taraf sistem bekalan air di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim berkata, hasil tinjauan mendapati penggunaan air bersih tinggi berikutan jumlah penghuni yang ramai menyebabkan tangki air sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan harian pusat jagaan tersebut.

Beliau berkata, PAAB bersetuju untuk memasang sebuah tangki air baharu jenis Polyethylene berkapasiti 600 gelen setiap satu, memasang saluran paip dan pam air baharu selain menukarkan kepala paip sedia ada kepada peranti jimat air bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air.

“Kami turut menyumbangkan 35 unit peranti penjimatan air, sebuah pam baharu serta pam tsunami berkuasa satu horsepower bagi meningkatkan tekanan air agar penduduk di sini dapat menikmati bekalan air yang lebih kuat dan lancar.

“Selain itu, beberapa penambahbaikan kemudahan turut dilaksanakan melibatkan ruang menunggu lelaki dan wanita, tandas, bilik lelaki, ruang lobi serta kawasan taman yang menggunakan bekalan air tersebut untuk tujuan penyiraman dan penyelenggaraan kawasan.

“Inisiatif tersebut diharap dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi pusat jagaan berkenaan secara berterusan sekali gus memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga emas di sini,” katanya hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Nurul Atikah Mohd Azmi berkata, pusat kebajikan yang menempatkan seramai 70 warga emas itu, sering berdepan masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah sehingga memaksa pihak pengurusan melaksanakan catuan terutama pada waktu puncak.

“Keadaan itu menyukarkan penghuni warga emas menjalani rutin harian selain menjejaskan operasi pusat jagaan termasuk penyediaan makanan, cucian pakaian dan kerja-kerja pembersihan bilik penghuni,” katanya. 

Dalam pada itu, program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ziarah Kasih Lestari PAAB tersebut turut diserikan dengan penyerahan sumbangan barangan keperluan dan pakaian hasil sumbangan warga kerja PAAB kepada penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba.

Semua penghuni turut diraikan menerusi sesi perkongsian bersama penceramah jemputan Ustaz Nazri Abbas serta artis undangan Datuk Nash bagi menceriakan warga emas yang mendapatkan perlindungan dan kebajikan di pusat jagaan tersebut.

Program CSR Ziarah Kasih Lestari PAAB turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Relief Agency (MRA) Selangor serta sukarelawan daripada pelajar Universiti Multimedia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN