Perkenal transformasi digital pengurusan air negara

Perkenal transformasi digital pengurusan air negara

DATUK Seri Fadhillah Yusof memberikan ucapan perasmian majlis Persidangan dan Pameran Khas Air Malaysia 2024 di Wyndham Grand, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memperkenalkan inisiatif terbaru untuk mengintegrasikan teknologi canggih dan memperkukuh infrastruktur dalam usaha membentuk semula ekosistem sektor air di negara ini. 

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antaranya penerapan Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam pengurusan air negara.

Menurutnya, asas transformasi ini adalah penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperoleh maklumat yang lebih tepat dan boleh dipercayai. 

“Kementerian akan membangunkan pusat data dan maklumat air berpusat sebagai sumber penting dalam mengira jejak air maya kebangsaan dan menubuhkan inventori jejak air di seluruh sektor ekonomi. 

“Keputusan berasaskan data, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama awam-swasta akan menjadi kunci dalam mendorong pelan transformasi kita,” katanya dalam ucapan sempena Persidangan dan Pameran Khas Air Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, dengan mengiktiraf kaitan antara keselamatan air, makanan dan tenaga, dijangka menjadi panduan dalam pengurusan sumber yang lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan pemahaman terhadap konsep-konsep ini akan membantu dalam perancangan, pengurusan dan penggunaan sumber air dalam rangka kerja tadbir urus air di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Ini akan mempromosikan amalan penggunaan yang bertanggungjawab di seluruh rantaian bekalan, memelihara sumber air dan meningkatkan keselamatan air global.

“Kita yakin dengan memberi keutamaan kepada kelestarian, ketahanan kewangan dan pendekatan holistik, pelan transformasi air kita dapat membuka jalan bagi masa depan Malaysia yang makmur dan terjamin dengan sektor air sebagai pemacu ekonomi dan enjin pertumbuhan,” tambahnya

Fadillah turut menggariskan bahawa keselamatan air adalah kritikal dalam mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan(SDG 2030 PBB) termasuk pembasmian kemiskinan, pembangunan lestari, dan daya tahan iklim.

“Usaha bersama daripada kedua-dua sektor awam dan swasta adalah diperlukan untuk melaksanakan amalan pengurusan air yang lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN