KUALA LUMPUR: Keperluan bekalan air di Johor dipenuhi selaras pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik termasuk pusat data.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan pelaksanaan pembangunan sumber air baharu, peningkatan kapasiti sistem bekalan air, pembangunan loji rawatan air dan penggunaan sumber air alternatif di negeri itu.
“Kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air di Johor melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk cadangan pembangunan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj dan infrastruktur penyaluran air mentah.
“Selain memperkukuh sumber air mentah, kerajaan bersama operator air negeri meneliti keperluan peningkatan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat berdasarkan unjuran permintaan semasa dan masa hadapan bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disediakan.
“Pada masa sama, sebanyak empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kapasiti bekalan air terawat di negeri Johor,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PN-Pulai) mengenai pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kapasiti sumber air negeri bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, susulan Johor kini menjadi hab utama pusat data di Asia Tenggara.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut berkata, kerajaan melihat air pulih guna sebagai salah satu komponen penting dalam strategi jangka panjang keselamatan air, terutama bagi sektor industri yang mempunyai keperluan penggunaan air yang tinggi seperti pusat data.
Pendekatan itu katanya akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat dan mengoptimumkan penggunaan sumber air sedia ada secara lebih mampan.
“Sebagai contoh, melalui kerjasama strategik antara Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW), sebanyak 12 julat liter sehari (JLH) air pulih guna berkualiti tinggi kini dibekalkan bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data di Johor.
“Inisiatif ini menunjukkan sumber air alternatif berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pertumbuhan industri tanpa menjejaskan keutamaan bekalan air kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










