ANALISIS terhadap dasar ekonomi kerajaan dapat diperkaya melalui kerangka ekonomi manusiawi yang menyediakan perspektif holistik dalam memahami pendekatan pembangunan menekankan kesejahteraan rakyat.
Ekonomi manusiawi merujuk sistem ekonomi yang meletakkan martabat kemanusiaan, keadilan sosial dan pembahagian kekayaan yang saksama sebagai tunjang utama. Ia berbeza daripada model ekonomi konvensional yang semata-mata mengejar keuntungan material.
Konsep ini, diperkenalkan ahli ekonomi, E.F. Schumacher dalam karyanya Small Is Beautiful: Economics as if People Mattered (1973), menekankan kepentingan ekonomi yang mengutamakan manusia dalam setiap aspek pembangunan.
Melalui lensa ekonomi manusiawi, dasar-dasar kerajaan menunjukkan orientasi jelas ke arah pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan berteraskan manusia.
Kerangka Madani yang menggabung jalinkan enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan mencerminkan prinsip-prinsip asas ekonomi manusiawi yang mengutamakan ikhtiar bersepadu untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan lebih manusiawi melalui musyawarah dan maklum balas rakyat.
Pendekatan ini menunjukkan peralihan paradigma daripada pertumbuhan ekonomi yang semata-mata berorientasikan angka kepada pembangunan yang memperhitungkan kesejahteraan holistik masyarakat.
Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan contoh terbaik bagaimana prinsip pengagihan semula kekayaan dapat dilaksanakan secara praktikal. Peningkatan kadar maksimum bantuan kepada RM3,700 pada 2024 daripada RM3,100 sebelumnya, serta kenaikan kadar minimum untuk belia daripada RM350 kepada RM500, menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan mencapai golongan yang memerlukan.
Program yang memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus populasi dewasa, dengan peruntukan meningkat RM2 bilion kepada RM10 bilion, mencerminkan prinsip yang menekankan kepentingan mengutamakan keperluan asas manusia dalam dasar ekonomi.
Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluaskan kepada 700,000 penerima dengan tempoh agihan 12 bulan menunjukkan pemahaman mendalam tentang keperluan untuk menyediakan bantuan yang berkesinambungan, bukan sekadar sementara.
Analisis prestasi ekonomi melalui kerangka ekonomi manusiawi menunjukkan pendekatan kerajaan membuahkan hasil yang menggalakkan dalam menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.
Malaysia berjaya melebihi sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan defisit fiskal untuk 2024, dengan ekonomi dijangka berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025.
Aliran masuk pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM51.5 bilion pada 2024 berbanding RM38.6 bilion pada 2023, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pendekatan ekonomi yang lebih stabil dan berorientasikan manusia.
Yang lebih bermakna dari perspektif ekonomi manusiawi ialah penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus pada Disember 2024, tahap terendah dalam hampir 10 tahun, yang mencerminkan keupayaan sistem ekonomi mewujudkan peluang pekerjaan bermakna bagi rakyat.
Pertumbuhan KDNK 4.4 peratus pada suku pertama 2025, didorong sektor perkhidmatan (5 peratus), pembuatan (4.1 peratus) dan pembinaan (14.2 peratus), menunjukkan kekuatan asas ekonomi yang pelbagai dan mapan.
Sasaran jangka panjang kerajaan yang menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama dalam tempoh 10 tahun menunjukkan pemahaman komprehensif tentang pembangunan ekonomi yang holistik.
Sasaran seperti Malaysia dalam lingkungan 30 ekonomi terbesar dunia, kedudukan 12 teratas Indeks Daya Saing Global, pendapatan buruh 45 peratus daripada jumlah pendapatan, penyertaan wanita dalam tenaga buruh 60 peratus, kedudukan 25 teratas Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah mencerminkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial.
Sasaran kelestarian fiskal dengan defisit fiskal tiga peratus atau kurang menunjukkan kefahaman tentang keperluan untuk mengekalkan kemampanan ekonomi jangka panjang, yang merupakan prinsip utama dalam ekonomi manusiawi.
CABARAN
Walau bagaimanapun, analisis kritikal mendedahkan cabaran signifikan yang perlu ditangani untuk memastikan pendekatan ini dapat direalisasikan sepenuhnya. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengakui ekonomi Malaysia sebagai terbuka sangat dipengaruhi persekitaran luaran dan kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan rancangan strategik sambil menangani keutamaan segera.
Cabaran utama terletak pada tekanan fiskal berterusan akibat peningkatan perbelanjaan sosial yang mungkin menjejaskan kelestarian kewangan negara jangka panjang, terutama dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
Ketidakstabilan geopolitik antarabangsa dan perang perdagangan antara kuasa besar menimbulkan risiko terhadap rantaian bekalan global dan aliran pelaburan asing, yang seterusnya boleh menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membiayai program-program sosial yang menjadi teras pendekatan ekonomi manusiawi.
Lebih kritikal lagi, cabaran dalaman melibatkan keperluan untuk mengubah mentaliti masyarakat daripada bergantung bantuan kerajaan kepada produktiviti dan inovasi yang lebih tinggi.
Dilema utama dalam kerangka ekonomi manusiawi adalah untuk mengimbangi penyediaan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi tanpa mewujudkan budaya bergantung sehingga merencatkan daya saing ekonomi.
Pelaksanaan penyasaran semula subsidi melalui platform Budi Madani mungkin menghadapi tentangan politik dan sosial, yang boleh menjejaskan sokongan popular terhadap agenda reformasi bagi merealisasikan sepenuhnya prinsip-prinsip ekonomi manusiawi.
Kesimpulannya, kerangka ekonomi manusiawi menyorot peranan penting ekonomi kerajaan dalam membentuk sistem yang lebih inklusif, adil dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Program-program seperti STR serta SARA, bersama-sama dengan pencapaian dalam mengurangkan pengangguran dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil, mencerminkan komitmen terhadap prinsip-prinsip yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Namun, kejayaan jangka panjang pendekatan ini bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk mengatasi cabaran kompleks melibatkan keseimbangan antara aspirasi sosial dan realiti ekonomi global.
Walaupun kerajaan melaksanakan perkara yang betul dalam mereformasi pendekatan ekonomi negara, namun perjalanan untuk merealisasikan sepenuhnya ekonomi yang benar-benar berteraskan manusia masih memerlukan komitmen berterusan dan penyelesaian inovatif terhadap cabaran-cabaran mendatang.-UTUSAN
DATUK Seri Amir Hussien ialah bekas Pengerusi Perbadanan Labuan yang kini merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).










