Apa yang menghalang diri kita daripada melaporkan rasuah?

Apa yang menghalang diri kita daripada melaporkan rasuah?

HAKIKATNYA, pelaku tetap mengambil kesempatan dan meneruskan kegiatannya kerana sedar orang Malaysia tidak ramai yang berani melaporkan rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH rasuah di negara ini tidak mungkin dapat ditangani atau dinoktahkan sepenuhnya andai anggota masyarakat berpeluk tubuh dan tidak memainkan peranan yang sewajarnya. Harus diingat, menyerahkan sepenuhnya urusan ini kepada pihak berkuasa tidak mampu menyelesaikan jenayah kolar putih ini hingga ke akar umbi. Tuntasnya, usaha memerangi rasuah mesti melibatkan semua komponen dan segmen dalam kelompok masyarakat, yakni setiap individu mesti memiliki iltizam moral yang kukuh.

Iltizam moral dalam konteks ini merujuk kepada komitmen serta penglibatan secara bersungguh-sungguh setiap anggota masyarakat dengan tanggungjawab moral ke arah memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di semua peringkat di negara ini. Ironinya, iltizam ini dikaitkan dengan soal moral kerana rasuah membabitkan aspek integriti, jati diri dan sikap pelaku yang boleh diklasifikasikan sebagai hilang nilai dan asas pertimbangan moral ketika melakukan kesalahan tersebut.

Maka, jika kita memiliki iltizam moral, bukan sahaja ia boleh menjadi benteng yang mengawal diri dari terjebak dalam salah laku, malah boleh memberikan keberanian sosial untuk kita bertindak menghalang atau memerangi apa jua kesalahan rasuah yang berlaku di depan mata.

Perkara ini dilihat sangat signifikan untuk direnungkan oleh setiap warganegara yang mengimpikan kewujudan sebuah sistem kehidupan yang bersih dari rasuah serta pembangunan sebuah negara yang berdaya tahan dengan rakyatnya memiliki nilai integriti dan jati diri yang tinggi.

Harus diingat, selama ini kita mahu kerajaan memiliki iltizam politik untuk mengambil tindakan dan memerangi rasuah yang berlaku dan kini semakin terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memperagakan iltizam dan komitmen yang tinggi untuk memperbaiki tatakelola dan tadbir urus dengan ketegasan tidak akan bertolak ansur dengan isu rasuah dan penyelewengan.

Ini terbukti apabila pihak berkuasa diberi kebebasan penuh untuk bertindak menangkap dan membawa ke muka pengadilan semua kelompok termasuk ahli politik dan individu berprofil tinggi yang terlibat dalam rasuah dan salah laku. Tangkapan demi tangkapan serta pendakwaan dan hukuman yang sedang dikenakan pada ketika ini membuktikan dan menterjemahkan iltizam politik pihak kerajaan.

Maka timbul persoalan bagaimana pula dengan peranan dan sumbangan anggota masyarakat? Di mana iltizam moral kita dalam turut membantu memerangi rasuah? Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan sayangkan negara, sudah tiba masanya untuk kita membuktikan keikhlasan dan iltizam dalam memerangi rasuah.

Ironinya, kita adalah masyarakat yang gagal andai hanya mampu melaungkan kata-kata keramat dan puitis seperti sayang dan cintakan negara tetapi belum mampu menzahirkan iltizam moral untuk memerangi rasuah. Maka, jika benar sayangkan negara, inilah masanya untuk kita bertindak lebih proaktif dan agresif sebagai komitmen moral dalam membangunkan masyarakat dan negara Madani yang dicita-citakan.

Iltizam moral ini mestilah mencakupi keberanian dan kesediaan untuk bertindak sesuai dengan apa yang dianggap benar dan bertanggungjawab, walaupun terdapat cabaran atau godaan yang mungkin timbul. Secara ringkasnya, ia adalah tekad untuk berpegang teguh pada nilai-nilai moral dan etika dalam segala tindakan.

Antara iltizam moral yang boleh kita laksanakan ialah memupuk nilai-nilai moral yang tinggi dalam diri sendiri dan ahli keluarga agar mampu menolak rasuah dan bersedia untuk melaporkan rasuah yang berlaku. Sikap tamak dan ingin cepat kaya menyebabkan kita mudah tergoda, ambil kesempatan dan salah guna kuasa. Justeru, jika memiliki iltizam moral yang kukuh sejak kecil maka godaan itu tidak akan tembusi nilai dan pegangan yang diamalkan. Budaya katakan tidak kepada rasuah akan sebati dalam diri kita.

Anggota masyarakat juga perlu berani untuk tampil ke hadapan melaporkan salah laku dan rasuah yang berlaku di sekeliling kita. Sikap tidak peduli atau tidak mahu masuk campur serta takut sering kali menjadi faktor utama yang menyebabkan rasuah terus berleluasa di sesuatu organisasi.

Ironinya, mustahil orang di sekeliling tidak tahu adanya aktiviti tidak moral berlaku dalam organisasi sendiri, namun hakikatnya pelaku tetap mengambil kesempatan dan meneruskan kegiatannya kerana sedar orang Malaysia tidak ramai yang berani melaporkan rasuah.

Justeru, besarlah harapan kita agar setiap individu yang tahu, nampak dan memiliki maklumat tentang sesuatu salah laku berani melaporkannya kepada pihak berkuasa. Dalam konteks ini, anggota masyarakat perlu ambil tahu dan memahami kewujudan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 iaitu undang-undang yang telah digubal untuk melindungi individu yang mendedahkan kelakuan tidak wajar, terutamanya yang berkaitan dengan rasuah dan salah laku. Akta ini memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada tindakan balas seperti tindakan sivil atau jenayah, serta tindakan memudaratkan yang lain seperti kehilangan pekerjaan.

Antara jenis perlindungan yang diberikan di bawah akta ini ialah, identiti pemberi maklumat serta maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun termasuk semasa perbicaraan di mahkamah, pemberi maklumat tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat daripada pendedahan tersebut, pemberi maklumat dilindungi daripada sebarang tindakan yang memudaratkan hasil tindak balas pendedahan yang telah dibuat serta perlindungan turut diberikan kepada mereka yang mempunyai kaitan atau hubungan dengan pemberi maklumat.

Jelas sekali kita memiliki akta yang boleh melindungi pemberi maklumat, maka apa yang diperlukan sekarang ialah iltizam moral yang kukuh dengan nilai integriti yang tinggi supaya berani melaporkan rasuah yang berlaku.

Anggota masyarakat khususnya penjawat awam perlu sedar bahawa dalam usaha menggalakkan lebih ramai individu tampil membuat laporan berkaitan rasuah, kerajaan juga telah memperkenalkan insentif tunai dan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan rasuah kepada SPRM sejak 2011. Misalnya, dilaporkan setakat tahun lepas, seramai 514 penjawat awam telah menerima ganjaran melebihi RM1 juta dengan ganjaran tertinggi sebanyak RM100,000 pernah diberikan kepada seorang penjawat awam. Maka persoalannya, apa lagi yang menghalang kita daripada melaporkan rasuah?

Jujurnya, iltizam moral berkait rapat dengan soal tanggungjawab, integriti, keberanian dan prinsip-prinsip moral yang dipegang oleh setiap individu. Ia boleh berbeza antara agama, bangsa, budaya dan individu namun percayalah, kesediaan untuk bertindak mengikut apa yang benar dan baik melalui iltizam moral yang tinggi bukan sahaja boleh melahirkan masyarakat yang bermaruah dan berintegriti malah mampu memerangi rasuah sehingga ke akar umbi. – UTUSAN

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN