SUASANA politik negara hari ini sedang melalui fasa dinamik dan ada ketikanya hangat dengan pelbagai inisiatif pembaharuan.
Dinamika ini membuka ruang memperkukuh kepercayaan awam, menambah baik pelaksanaan dasar dan mengurangkan jurang antara aspirasi kerajaan dan keperluan masyarakat.
Negara memerlukan pendekatan strategik, kolaboratif dan berpandukan ilmu untuk memanfaatkan momentum ini secara konstruktif. Dalam menghadapi cabaran ini, komuniti akademik memainkan peranan kritikal dengan menyumbang kepakaran secara strategik dalam isu-isu semasa.
Universiti harus menjadi sebahagian daripada solusi bukan sekadar ruang debat.
DARI AKADEMIK KONVENSIONAL KE AKSI STRATEGIK
Berpuluh tahun kita tenggelam dalam perbincangan konsep, keadilan sosial, meritokrasi dan tadbir urus baik. Ketika dasar mengelirukan dan keyakinan rakyat terjejas, suara akademik jarang tampil menjelaskan atau membantu menyusun langkah.
Yang wujud hanyalah ulasan konseptual atau kenyataan terlalu umum tanpa mengikat realiti dasar dan kapasiti pelaksanaan. Edward Said (1994), dalam bukunya Representations of the Intellectual, pernah mengkritik sikap intelektual yang hanya menjadi ‘pengulas dari jauh’ tanpa bersedia bergelumang dalam realiti kuasa dan pelaksanaan.
Apa yang Malaysia perlukan hari ini ialah rumusan dasar yang praktikal, berpijak di bumi nyata, berlandaskan data tempatan dan disusun dengan kefahaman terhadap ekosistem politik, ekonomi dan masyarakat.
Ramai ilmuwan masih beroperasi dalam kerangka kerja akademik konvensional iaitu menulis, membentang dan membincang dalam kalangan mereka sendiri. Dalam isu dasar terbuka, mereka gagal bersuara, menjelaskan atau menyumbang ilmu secara bermakna.
Lebih mengecewakan, ada yang hanya muncul dalam ruang maya untuk memanaskan isu, tanpa tanggungjawab untuk mengusulkan cadangan praktikal atau mengurus realiti politik kompleks.
Apabila kerajaan berhadapan krisis persepsi, ahli akademik tidak boleh sekadar menjarakkan diri atas nama ‘kebebasan intelektual’.
Joseph Nye (2008) dalam The Powers to Lead menegaskan kepimpinan intelektual mesti datang bersama keberanian untuk membentuk tindakan.
Dalam masa sama, terdapat juga kalangan ilmuwan yang aktif dalam gerakan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi gagal menghubungkan aktivisme mereka dengan struktur dasar serta perkembangan politik semasa.
Gerakan mereka penting dan penuh idealisme tetapi seringkali berpatah balik kepada tuntutan moral tanpa upaya menyusun langkah dalam kerangka institusi dan keperluan pelaksanaan dasar sebenar.
Rajesh Tandon (2008), melalui pengamatan dalam Civil Society and Governance: The Need for Reform, menyatakan perlunya pendekatan demokrasi ilmu. Ia bermakna ilmu tidak hanya dikongsi tetapi turut menyumbang kepada keputusan yang berimpak.
Dikotomi ini menjadikan universiti kelihatan terpisah dengan yang di menara gading terlalu konseptual dan elit manakala yang di akar umbi pula kurang konteks dasar dan bacaan institusi. Akibatnya, suara ilmuwan terpecah, tidak tersusun dan gagal membina keyakinan masyarakat yang ilmu boleh menjadi penyelesai sebenar kepada masalah negara.
RESPONS SEGERA
Pelbagai isu politik semasa memerlukan penglibatan aktif dan konstruktif daripada ahli akademik bukan sahaja dalam membentuk dasar tetapi mengiringi pelaksanaannya secara berterusan.
Tidak dinafikan ramai ilmuwan sebenarnya sudah pun terlibat dalam proses awal pembentukan dasar negara menyumbang kepada penyelidikan dasar, penulisan kertas putih mahupun pembangunan kerangka besar negara. Namun, apabila dasar itu dilaksanakan secara tidak menyeluruh atau dimanipulasi naratif politik, suara mereka tiba-tiba menghilang seolah-olah tanggungjawab selesai di atas kertas.
Kegagalan utama bukan pada kekurangan ilmuwan tetapi melanjutkan pengaruh ilmu dalam ruang awam selepas peringkat perancangan.
Diane Stone (2001), dalam Think Tanks, Global Lesson-Drawing and Networking Social Policy Ideas mengingatkan tentang pentingnya peranan jaringan ilmu yang berterusan bukan hanya menyumbang idea tetapi juga mengiringi dan memantau pelaksanaannya.
Sebagai contoh, dalam isu subsidi bersasar, kekeliruan rakyat terhadap pelaksanaan subsidi menuntut penjelasan dari segi reka bentuk dasar dan impak ekonomi isi rumah. Ini ruang untuk ahli ekonomi, ahli dasar sosial dan pakar komunikasi dasar mengiringi kerajaan dalam menjelaskan rasional serta menyempurnakan pelaksanaan melalui maklum balas lapangan.
Begitu juga dalam isu reformasi institusi dan pendakwaan berprofil tinggi di mana kerajaan sedang berusaha memperkukuh integriti badan kehakiman dan penguatkuasaan, wacana akademik seharusnya membantu menjelaskan prinsip dan batas kuasa institusi secara seimbang agar tidak dimanipulasi sebagai pendakwaan selektif.
Ilmuwan undang-undang dan sains politik mesti berdiri sebagai penyaring persepsi awam dan penjaga integriti wacana.
Di negara jiran ramai ilmuwan menjadi contoh bagaimana sarjana dapat memainkan peranan penting dalam membina negara. Mereka tidak hanya menulis atau mengkritik dari luar tetapi terlibat secara langsung dalam merangka dasar pendidikan, ekonomi serta membantu membina naratif kebangsaan yang inklusif.
Di negara maju pula, ilmuwan memainkan peranan sebagai penasihat dasar secara rasmi. Mereka menyumbang laporan kepada parlimen, hadir dalam jawatankuasa dasar kerajaan, malah mengetuai agensi nasional sambil terus menulis dan mengajar.
Yang pentingnya kedua-dua peranan ini dimainkan secara berterusan dan serentak. Ilmu dimanfaatkan terus kepada pelaksanaan dasar dan pengalaman penglibatan dalam membuat dan melaksanakan dasar itu menjadi modal pengajaran di kuliah. Ertinya mereka bukan hanya bercakap tentang perubahan tetapi membentuk perubahan itu.
Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz adalah contoh ilmuwan negara yang memahami denyut nadi rakyat dan menerjemahkan ilmu kepada dasar yang menyentuh kehidupan sebenar.
Sebagai Naib Canselor Universiti Malaya, beliau bukan sekadar pentadbir akademik tetapi pelakar visi nasional memperjuangkan pembasmian kemiskinan, memperkenal konsep Tabung Haji dan membina kerangka pembangunan luar bandar.
Beliau tidak menunggu dasar daripada kerajaan untuk dianalisis, sebaliknya menghasilkan dasar yang berakar pada penyelidikan lapangan dan keperluan rakyat.
Malaysia kini sedang menyusun semula arah dan keutamaan pembangunan. Banyak keputusan sukar perlu dibuat. Banyak isu politik dan dasar perlu dijelaskan dengan matang. Dalam konteks ini, komuniti akademik tidak boleh lagi sekadar berbicara tentang idealisme, tanpa mengaitkannya dengan pelaksanaan. Mereka mesti menjadi pemikir pelaksana dan sarjana pengamal.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










