MEMANDANGKAN Islamofobia adalah fenomena global, yakni berlaku di merata tempat di dunia, ia juga tidak terkecuali di Malaysia. Sehubungan Islamofobia, ia adalah ketakutan, kebencian selain buruk sangka yang tidak rasional terhadap agama Islam dan umatnya.
Sebenarnya sentimen penentangan terhadap mana-mana agama serta penganutnya didapati kesemuanya tidak logikal. Ia sebegitu kerana sentimen itu tidak dapat pun disertai sebab dan penjelasan yang baik. Dengan kata lain, ia hanya penentangan yang tidak berasas terhadap sesuatu agama itu.
Yang memudaratkan ialah sentimen ini kemudiannya mewujudkan kebencian terhadap sebahagian besar, kalau tidak pun keseluruhan penganut agama berkenaan. Lebih dahsyat lagi ialah ia merangkumi sikap, tindakan dan perlakuan negatif terhadap amalan agama berkenaan selain kesejahteraan penganutnya.
Sebetulnya kesemua yang negatif ini boleh menjurus kepada provokasi dan tidak adanya toleransi melalui pelbagai cara. Antaranya ialah mengugut, mengganggu, menghasut selain mencaci.
Begitu jugalah kesnya terhadap agama Islam dan masyarakat Muslim di negara ini. Seperti di mana-mana tempat jua, Islamofobia di Malaysia wujud pada tahap meluas. Ini bermakna sebahagian sangat besar, kalau tidak pun keseluruhan masyarakat bukan Muslim di negara ini tidak senang dengan agama Islam dan masyarakat Muslim.
Rasa tidak senang ini didapati tidak ada perbezaan ketara antara para penganut pelbagai agama bukan Islam yang terdapat di negara ini. Dengan ini, ia bermakna secara umumnya penganut Kristian, Buddhisme, Hinduisme, Sikhisme, Taoisme dan agama Bahai sama sahaja kadar rasa tidak senang mereka kepada Islam.
Sehubungan ini, rasa tidak senang ini didapati begitu berleluasa secara talian. Dengan kata lain, ia rata-ratanya wujud secara tertutup dalam kelompok sembang sahaja. Setakat ini, ia jarang sekali berbentuk fizikal, baik secara kejadian kecil yang terpencil. Apatah lagi secara terbuka dalam apa-apa juga bentuk keganasan.
Sebenarnya hal rasa tidak senang terhadap amalan Islam dan masyarakat Muslim di negara ini dapat dilihat dengan mudah lagi cepat. Ia adalah perlakuan negatif masyarakat bukan Muslim yang wujud dalam beberapa cara. Antaranya termasuklah penentangan, diskriminasi dan cacian terhadap agama Islam dan masyarakat Muslim di Internet dan jaringan digital lain.
Sehubungan ini, pengakuan positif daripada masyarakat bukan Muslim bukan sesekali ukuran yang boleh diguna pakai. Walaupun ia penanda baik ke arah usaha untuk memupuk Islamofilia, iaitu keadaan yang berlawanan dengan Islamofobia. Ini kerana pengakuan itu yang secara permukaan sahaja didapati secara konsisten tidak pernah selari dengan perlakuan negatif mereka.
Dalam hal ini, natijahnya ialah apa-apa yang dilakukan oleh seseorang itu adalah jauh lebih penting. Ia bukan sahaja dapat dilihat, juga lebih terbukti daripada sebarang kata yang diucapkannya.
Untuk kes Malaysia dan juga di mana-mana, persoalan besar dalam hal Islamofobia ini ialah apakah faktor penyebabnya. Seperti di merata tempat lain di seantero dunia, Islamofobia tidak dapat dipisahkan daripada rasisme. Dengan ini, ia bermakna Islamofobia adalah sentimen perkauman yang disasarkan kepada masyarakat Muslim.
Sehubungan ini, ia adalah perasaan yang dipenuhi stereotaip, buruk sangka dan sikap diskriminasi oleh masyarakat bukan Muslim terhadap yang Muslim. Dalam hal ini, pengalaman subjektif dengan masyarakat Muslim mahu diguna pakai sebagai penilaian mutlak terhadap mereka.
Sepatutnya hal penuh emosi, iaitu pengalaman yang berdasarkan dan dipengaruhi perasaan peribadi semata-mata tidak boleh sesekali digunakan sebagai sesuatu yang objektif. Begitu juga dengan persepsi, iaitu sesuatu yang difahami, lebih-lebih lagi oleh seseorang itu sahaja yang memang peribadi pula sifatnya.
Pengaruh atau kekuasaan politik sering diutarakan sebagai penyebab lain. Dengan ini, didakwa bahawa dasar awam di negara ini rata-ratanya bersifat Islamosentrik, iaitu berpusat pada agama Islam dan masyarakat Muslim.
Sewajarnya ia begitu kerana negara ini adalah pertama-tamanya bumi Melayu-Islam. Ia bersifat majmuk hanya kerana keinginan etnik bukan Melayu yang mahu terus tinggal di sini selepas penjajahan. Ini ditunaikan etnik Melayu yang memberi mereka kerakyatan dengan mudah sekali. Antaranya tempoh mastautin selama lima tahun sahaja dan hanya pengetahuan paling asas tentang bahasa Melayu.
Juga dengan hakikat alam Melayu ini, institusi pendidikan Islam dari peringkat serendah-rendahnya kepada yang setinggi-tingginya, bukan sahaja adalah keadaan yang wajar di negara ini. Juga ia wajib secara moralnya kerana negara ini ialah bumi Melayu-Islam.
Oleh itu, pengaruh politik dan keberadaan banyak institusi pendidikan Islam, tidak harus sesekali dijadikan penyebab Islamofobia di negara ini. Ini kerana Islam akan terus mendominasi di negara ini. Ia begini kerana negara ini ialah bumi Melayu-Islam pada sepanjang sejarahnya.
Walaupun begitu, Malaysia tidak pernah sesekali mengamal dasar diskriminasi terhadap agama lain. Malah hal ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan pada Perkara Tiga, iaitu agama lain boleh dianuti dalam keadaan aman di segenap pelosok tanah air.
Untuk mengatasi, atau sekurang-kurangnya mengurangkan Islamofobia di negara ini, masyarakat bukan Muslim hendaklah mempunyai sikap toleransi. Dengan ini, mereka hendaklah menerima keadaan ini bukan sahaja dengan seadanya. Juga menerima Islam sebagai entiti sah.
Untuk ini, masyarakat bukan Muslim sepatutnya sudah lama bersedia menerima Islam. Sehubungan ini, ia bukan sesekali mengkehendaki mereka mematuhi kepercayaan, ajaran dan cara hidup yang dianjurkan Islam, sebagai penganut.
Yang diperlukan daripada mereka ialah menerima Islam sekiranya boleh. Ini adalah dalam pengertian mengiktiraf Islam sebagai agama terutama di negara ini. Sebagai agama terutama, Islam sangat penting dan dominan sekali di negara ini.
Jika tidak boleh, bertoleransilah terhadap Islam. Sehubungan ini, terimalahnya walaupun ia tidak sama dengan agama yang anda anuti. Dalam pada ini, berkorbanlah demi negara tercinta ini untuk perpaduan negara, yakni hubungan etnik yang mesra, dan integrasi nasional, iaitu hubungan wilayah yang utuh.
Sewajarnya tidak harus pun timbul persoalan menerima Islam atau bertoleransi terhadapnya. Ini kerana penerimaan atau toleransi itu adalah antara perkara terpenting yang harus difahami, apabila etnik bukan Melayu mahu terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini.
Oleh itu, Islamofobia tidak patut sesekali wujud di Malaysia. Ini kerana Islam tuntutan wajib yang harus diterima di bumi Melayu-Islam ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










