Ubah ekosistem pekerjaan negara

Ubah ekosistem pekerjaan negara

JIKA negara ingin membina sebuah tenaga kerja yang mampan dan berdaya saing, semua pihak perlu berganding bahu dalam membentuk semula ekosistem pekerjaan yang adil, menarik dan lestari untuk warga tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN dan dominasi pekerja asing dalam sektor-sektor pekerjaan tertentu di Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing. Dalam sektor pembinaan, perladangan, pembersihan, dan perkilangan, kelihatan lebih ramai pekerja asing berbanding rakyat tempatan. Persoalan yang sering timbul ialah mengapa rakyat Malaysia begitu ‘memilih’ pekerjaan? Adakah benar mereka enggan melakukan kerja-kerja berat atau kotor? Atau adakah sistem itu sendiri tidak memberi insentif dan galakan yang wajar untuk menarik minat warga tempatan?

Menurut data daripada Kementerian Sumber Manusia, lebih 1.5 juta pekerja asing berdaftar berada di Malaysia sehingga akhir tahun 2023, dan hampir separuh daripada jumlah ini tertumpu dalam sektor 3D – Dirty, Dangerous, and Difficult (kotor, bahaya dan sukar). Kajian daripada Institut Penyelidikan Khazanah turut mendapati bahawa hampir 80 peratus pekerja dalam sektor pembinaan dan perladangan di beberapa negeri adalah terdiri daripada warga asing. Sementara itu, majikan pula mengakui bahawa mereka menghadapi kesukaran menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai sektor-sektor ini walaupun gaji minimum RM1,700 sebulan telah dikuatkuasakan bermula Februari 2025 yang lalu.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada penolakan rakyat tempatan terhadap pekerjaan ini adalah persepsi sosial yang negatif. Kerja-kerja fizikal dianggap sebagai pekerjaan low class (rendah martabatnya), tiada masa depan, serta tidak setaraf dengan pendidikan yang dimiliki. Bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik tinggi seperti Ijazah Sarjana Muda, ada yang telah memiliki mind-set bahawa “Penat-penat aku belajar setinggi ini, takkan nak bekerja dalam sektor yang setaraf lepasan sekolah sahaja?” Tambahan pula, sebahagian besar pekerjaan dalam sektor ini menawarkan waktu kerja yang panjang, beban kerja yang tinggi, dan persekitaran yang mencabar, tetapi tidak disertai dengan pakej ganjaran yang setimpal atau peluang kemajuan kerjaya yang jelas.

Implikasi daripada situasi ini amat besar kepada ekonomi dan struktur sosial negara. Kebergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing bukan sahaja mengalirkan sebahagian besar pendapatan ke luar negara dalam bentuk kiriman wang, tetapi turut menimbulkan pelbagai isu sosial seperti tekanan terhadap kemudahan awam, isu kesihatan, jenayah, dan integrasi sosial. Dari sudut keselamatan pekerjaan, peluang yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia kini semakin sempit, apatah lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dengan kadar pengangguran belia masih mencecah 10.4 peratus pada 2023.

Untuk menangani isu ini, pendekatan menyeluruh perlu diambil. Pertama, kerajaan perlu menstrukturkan semula strategi pekerjaan dengan memperkenalkan lebih banyak insentif, insurans pekerjaan dan skim perlindungan sosial yang sesuai untuk pekerja dalam sektor 3D.

Kenaikan gaji semata-mata tidak memadai jika tidak diiringi dengan perlindungan kesihatan, keselamatan, serta peluang peningkatan kerjaya yang jelas. Kedua, sektor pendidikan perlu memainkan peranan dalam mengubah persepsi generasi muda terhadap pekerjaan teknikal dan vokasional. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diperkasa bukan sekadar dalam penyampaian kemahiran, tetapi juga dalam pembentukan imej positif terhadap kerjaya berasaskan kemahiran.

Majikan pula tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing. Mereka harus menstrukturkan semula model pengurusan tenaga kerja dengan menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif, kemudahan kebajikan, dan latihan berterusan untuk menarik serta mengekalkan pekerja tempatan. Ini termasuk memodenkan teknologi dan automasi dalam operasi bagi mengurangkan beban fizikal kerja yang selama ini menjadi antara sebab utama rakyat enggan menyertainya.

Organisasi pekerjaan, komuniti, media dan institusi agama juga boleh memainkan peranan penting dalam mengubah minda masyarakat terhadap nilai kerja. Konsep rezeki yang halal dan bermaruah perlu diangkat sebagai satu nilai teras dalam masyarakat agar pekerjaan dalam sektor 3D tidak lagi dipandang hina. Budaya kerja keras perlu dibentuk sejak di bangku sekolah dan disokong oleh dasar negara yang tidak hanya menilai kejayaan berdasarkan kerjaya profesional semata-mata.

Isu ini bukan semata-mata tentang rakyat Malaysia yang memilih pekerjaan, tetapi terfokus juga kepada sistem yang kurang menyokong mereka untuk memilih pekerjaan kategori 3D itu sebagai satu kerjaya. Jika negara ingin membina sebuah tenaga kerja yang mampan dan berdaya saing, semua pihak perlu berganding bahu dalam membentuk semula ekosistem pekerjaan yang adil, menarik dan lestari untuk warga tempatan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Khairunneezam Mohd. Noor ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN