SEJAK 23 Mei lalu, perhatian dunia tertumpu kepada Malaysia dengan berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Dunia bukan sekadar menilai keupayaan negara menerajui persidangan penting sebegini, tetapi lebih utama lagi mereka memberi perhatian tentang sejauh manakah keupayaan, kesungguhan dan ketegasan negara dalam memainkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Menjadi pengerusi serta tuan rumah kepada persidangan penting sebegini merupakan tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul pemimpin negara. Lebih-lebih lagi tatkala dunia sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk perang dagang kuasa-kuasa besar serta keadaan yang bergolak di beberapa bahagian lain dunia.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ sebagai prinsip teras dalam perjuangan untuk mewujudkan blok ASEAN yang bersatu padu serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran serantau dan global.
Malaysia tetap komited menegakkan dasar ASEAN sebagai gabungan negara-negara berkecuali dan tidak berpihak. Dalam masa sama, Malaysia kekal memupuk semangat permuafakatan dan jalinan kerjasama erat sesama negara anggota dalam menangani konflik serta cabaran semasa demi kesejahteraan bersama.
Saya melihat tema ini tepat dengan hasrat, usaha dan pencapaian negara. Ini juga sebahagian daripada inti pati utama yang menjadi asas kepada dasar madani.
Malaysia tidak retorik apabila bercakap tentang keterangkuman. Usaha inilah yang menyatukan rakyat Malaysia sejak dahulu kala. Sebagai sebuah negara yang dihuni rakyat berbilang kaum, Malaysia mempunyai banyak pengalaman dalam usaha memelihara keharmonian hidup rakyatnya dan membentuk masyarakat yang bersatu merentas bangsa dan keturunan.
Malah, sikap bekerjasama, inklusif, saling menghormati hak orang lain serta tidak hanya mementingkan diri sendiri yang diamalkan majoriti rakyat negara ini berjaya menjadikan negara kita kuat, dinamik serta tidak bersifat asabiah dan jumud.
Jika kekuatan ini dapat diterapkan dalam konteks yang lebih luas dan merangkumi negara-negara serantau, ia akan membentuk ikatan teguh lagi padu bagi mengangkat kedudukan ASEAN ke tahap lebih tinggi di persada dunia, di mana suara kita akan lebih didengari.
Kita bukan hanya harus belajar menjadi warga setempat yang baik tetapi juga mesti berusaha menjadi manusia yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan dunia secara keseluruhannya.
Jika hal ini boleh dicapai, Malaysia bukan hanya sekadar dapat mengelakkan krisis tetapi juga konflik besar dan peperangan.
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sentiasa serius memperjuangkan isu kemampanan dalam semua sektor termasuk pendidikan, ekonomi, kewangan dan sebagainya. Negara melihat kemampanan bukan hanya dari sudut fizikal seperti pemeliharaan alam sekitar tetapi juga merangkumi kekuatan daya tahan rakyat dalam menghadapi krisis dan sebagainya.
Manusia harus dididik dengan sifat kemanusiaan yang tinggi, mempunyai perasaan ihsan, belas kasihan dan kekuatan jati diri agar menjadi individu berdaya tahan. Mereka juga akan mampu bersaing dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin sofistikated dan kompleks.
Ia bukan bukan hanya tentang memelihara keharmonian dengan alam sekitar tetapi pada masa sama, hubungan sesama manusia juga harus dipupuk dengan baik serta dijaga agar melahirkan masyarakat yang sejahtera dan mampan.
Kesungguhan kerajaan memperjuangkan isu kemampanan turut diterjemahkan dalam Draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035. Dengan perancangan teliti, diharapkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) akan dapat memainkan peranan masing-masing ke arah mencapai aspirasi Malaysia yang lebih mampan.

PERANAN UIAM
Mengambil contoh mudah, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selain menuntut ilmu, kami dilatih untuk menyumbang semula kepada komuniti dalam projek berkaitan kemampanan.
Kursus yang kami jalani selama dua semester berturut-turut merangkumi pengajian praktikal yang membolehkan pelajar mengenal pasti masalah dalam masyarakat, mencari jalan mengatasinya dan melaksanakan penyelesaian tersebut terhadap kesan langsung kepada masyarakat berkenaan.
Dalam subjek wajib ini, setiap kumpulan dianggotai pelajar daripada bidang pengkhususan berbeza. Hal ini membawa pencambahan idea yang lebih luas serta membuat penilaian daripada sudut pandangan berbeza.
Malah, banyak projek kemampanan daripada UIAM mendapat pengiktirafan antarabangsa. Misalnya, pada tahun lalu, projek kendalian saya menjuarai dua anugerah kemampanan berprestij dunia iaitu Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa dan Anugerah RCE di bawah Institut Pengajian Termaju Kemampanan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU).
Bagi kedua-dua anugerah ini, calon saingan lain semuanya diketuai profesor, pensyarah kanan atau pihak pengurusan institusi ternama seluruh dunia, manakala projek saya sahaja yang dikendali pelajar sarjana muda.
Nama UIAM juga tidak asing lagi dan menjadi institusi ternama dalam bidang kemampanan, sebagai pemegang anugerah terbanyak Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa, termasuk anugerah Institut Kemampanan Tahunan yang diperoleh sebanyak dua kali.
Kesedaran dan kesediaan sektor korporat dalam memperjuangkan isu kemampanan membantu negara mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Dalam hal ini, Malaysia boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran, di samping menjadi pusat rujukan kepada negara serantau yang memerlukan panduan.
Di Pusat Sejahtera bagi Kemampanan dan Kemanusiaan UIAM, setiap bulan kami menerima beberapa program lawatan daripada universiti luar negara yang mahu mendalami cara universiti ini memperjuangkan isu berkenaan termasuk kajian dan projek yang dilakukan.
Inilah sebahagian daripada peranan kami bagi membantu mengharumkan nama negara di persada dunia. Mungkin ada yang menganggap usaha ini kecil dan tidak signifikan. Namun langkah-langkah kecil itu diusahakan dengan gigih akan membuahkan kejayaan lebih cemerlang berbanding projek gajah putih yang hanya gah pada nama semata-mata.
Jika masing-masing memainkan peranan sendiri bagi membantu negara, kita sama-sama dapat berkongsi nikmat kemakmuran kelak, begitu juga di peringkat ASEAN.
Semoga Malaysia dapat menjadi nakhoda yang baik dan membawa kesejahteraan kepada seluruh warga ASEAN dalam menempuh landskap gelombang pertaruhan kuasa yang begitu rakus pada hari ini.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










