MUKADIMAH
SYAHREDZAN JOHAN satu-satunya pemimpin lelaki Melayu menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang membuka peluang kepada pelantikannya sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan dalam pemilihan parti berlangsung, bulan lalu.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Bangi ini terpaksa menelan kepahitan ekoran cakap-cakap buruk terhadap dirinya hanya kerana prinsip perjuangan politik berbeza di sebalik dirinya seorang Melayu dan Islam.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, NOORUL ERNI NADIA dan jurugambar, SYAKIR RADIN, pengamal undang-undang itu bercerita banyak perkara antaranya jika Perdana Menteri Malaysia datang daripada DAP.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana rasanya menjadi antara sebilangan kecil pemimpin Melayu dalam kepemimpinan pusat DAP?
Kita semua tidak boleh lari daripada realiti sebahagian besar ahli DAP daripada kaum Cina dan India. Tidak ramai Melayu dalam parti, namun, kena faham DAP adalah parti berbilang bangsa dan kaum.
Meskipun tidak ramai Melayu dan apabila ada calon Melayu bertanding dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) termasuk saya dan ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan akhirnya menang dalam pemilihan tempoh hari, ia menggambarkan kesanggupan dan keterbukaan ahli parti untuk menerima pemimpin Melayu berada dalam barisan kepemimpinannya.
Walaupun hanya dua daripada enam calon Melayu menang pertandingan, ini pulangan baik dan menunjukkan, ahli parti tidak teragak-agak memilih pemimpin daripada kaum Melayu walaupun sebahagian besar ahlinya bukan Melayu.
PENYERTAAN MELAYU BELUM MEMUASKAN
Adakah sebilangan kecil Melayu dalam kepimpinan DAP ukuran penerimaan orang Melayu dalam DAP?
Saya tidak fikir begitu. Penerimaan orang Melayu terhadap DAP masih belum berada di tahap memuaskan. Mungkin, sejak 2008 hingga kini peratusan ahli dan sokongan Melayu dalam DAP bertambah, cuma belum memuaskan.
BOLEH BUKTIKAN MELALUI PRU
Mungkin ukurannya apabila kami bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) dan rakyat menyokong kami, maka, saya percaya, ia boleh menjadi ukuran lebih tepat dan membuktikan sokongan orang Melayu terhadap DAP. Pun begitu, suka saya ingatkan, DAP parti yang sentiasa dan sejak dahulu lagi memperjuang hak minoriti, melambang atau mencerminkan satu segmen dalam kalangan masyarakat.
Apa yang istimewanya DAP ini sehingga Yang Berhormat (YB) memilihnya sebagai wadah politik?
Sebab peluang yang diberi parti kepada orang muda. Parti ini juga sentiasa memperjuang apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, paling dekat dengan prinsip perjuangan untuk meluhurkan Perlembagaan. Saya merasakan DAP benar-benar memperjuangkan kemakmuran dalam negara tanpa ada yang terpinggir.
PENGKHIANAT
Bagaimana selepas YB dikatakan sebagai pengkhianat bangsa sendiri? YB setuju?
Sudah tentulah tidak! Ini kerana parti politik hanya satu wadah untuk kami memperjuangkan sesuatu. Perjuangan saya pula untuk menjadikan Malaysia tempat lebih baik baik yang menjamin kesejahteraan rakyat, meningkatkan ekonomi dan mengecapi kemakmuran bersama. Saya yakin, mana-mana ahli politik yang ikhlas juga mempunyai matlamat sama seperti saya. Cuma, bezanya saya berjuang dalam DAP.
Jadi, berbalik kepada tuduhan sebagai pengkhianat ini – jika ada pihak mahu bersemuka dan berdebat, saya yakin dapat mematahkan setiap hujah mereka. Tuduhan ini sebenarnya satu mekanisme serangan yang tumpul terhadap individu seperti saya.
Kalau tetap cakap saya sebegitu, datanglah ke Parlimen Bangi dan tanya penduduk di sana, apa saya sudah lakukan selama dua tahun lebih menjadi wakil rakyat di sana? Saya tidak sesempurna mana, tetapi, saya gunakan peluang sebaiknya untuk membantu semua orang dalam kawasan.
ISU “PARANG TERBANG” DAN MURTAD
Ramai ingat isu ‘parang terbang’ terhadap YB selepas menang dalam CEC DAP bulan lalu. Masih terguris dengan dakwaan itu?
Ya, saya tidak akan lupa peristiwa ini sampai bila-bila. Saya sudah buat laporan polis terhadap pengguna Facebook menulis komen yang pada saya berbaur ugutan di satu halaman media sosial sempena pemilihan parti.
Banyak perkataan dan gelaran yang dilontarkan dalam komen tersebut, kecaman, tuduhan dan label seperti barua, pengkhianat dan macam-macam lagi. Bagi saya, tuduhan ini biasa sahaja, cuma, seorang pengguna media sosial ini memberi gambaran akan berlaku rusuhan ‘parang terbang’ dan saya akan tersungkur mati dibunuh bersama-sama ahli DAP. Ini sangat melampau.
Saya boleh terima lagi kalau anda (pengguna media sosial) mahu panggil saya pengkhianat atau barua dan saya boleh ambil tindakan sivil terhadap mereka. Cuma, apabila sampai tahap ugutan, ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sampai sekarang, individu ini masih belum berjumpa saya. Ada yang cakap individu ini seperti sudah mohon maaf, namun saya tidak nampak pun dan jika saya melihat cetakan skrinnya seperti melepaskan batok di tangga.
PERTAMA KALI DILABEL MURTAD
YB juga didakwa murtad.
Mungkin sebelum ini ada sahaja tuduhan liberal, DAP kafir termasuklah saya sebagai ahlinya. Namun, bercakap tentang murtad, ini mungkin pertama kali saya dilemparkan tuduhan seperti ini. Memanglah dalam dunia politik, banyak kecaman dan tohmahan, tetapi, apabila sudah sampai ke tahap melampau sehingga mempersoalkan kepercayaan, akidah saya dan ‘mengkafirkan’ saya, ini tidak boleh diterima.
Bagaimana cara memperbetul tanggapan atau tuduhan seperti murtad untuk elak berulang pada masa hadapan?
Bukan saya yang perlu memperbetulkannya, sebaliknya, individu ini yang perbetulkan diri sendiri dan belajar agama. Bukan sesuka hati cakap orang lain murtad. Jadi, saya tegaskan, ini tanggungjawab empunya badan untuk betulkan semula, bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
SEORANG BERPERLEMBAGAAN
YB seorang yang bagaimana? Seorang sosialis atau nasionalis?
Dua-dua bukan. Saya seorang constitutionalist, berpegang kepada apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya masuk dalam politik kerana mahu memberi ruang lebih luas dan mempertahankan demokrasi dan ini termaktub dalam Perlembagaan.
Perkara 153 Perlembagaan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah masyarakat dan kaum lain yang ada. Islam juga sebagai agama Persekutuan pada masa sama, agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.
Benarkah DAP selalu sibuk atau mencampuri hal ehwal Islam?
Saya petik apa yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah cakap secara terbuka bahawa dalam masa dua tahun mereka bersama kami dalam Kerajaan Perpaduan, tidak pun DAP membantah atau mencampuri sebarang urusan berkenaan orang Melayu. Cuba refleksi diri, apabila orang yang pernah kami berseteru, tetapi, mengakui hakikat tersebut. Ini bukti jelas yang tohmahan ini hanya omong kosong untuk menggelar kami sebagai parti chauvinis dan sebagainya.
Cuba fikir baik-baik, sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan ini, di mana sudut yang dikatakan menggugat orang Melayu dan Islam? Tidak ada langsung, malah, perlembagaan kami sudah pinda dua kali, adakah ia menyentuh tentang Melayu dan Islam?
Saya sebagai ahli Parlimen Melayu dan Islam, tidak akanlah saya tidak membahaskan tentang rang undang-undang (RUU) berkaitan pentadbiran Islam? Saya sendiri ada membahaskannya, adakah ini menunjukkan kami (DAP) campur tangan? Tidak.
Seorang pemimpin DAP bukan Islam dikatakan mencampuri urusan agama Islam dalam program keagamaan penceramah bebas, Dr. Zakir Naik. Bagaimana?
Ini pandangan beliau sebagai ahli Parlimen. Persoalannya, adakah kenyataan dikeluarkan beliau mengubah keadaan? Tidak. Setiap ahli Parlimen punya hak mengeluarkan pendapat. Di akhirnya, adakah terdapat gangguan terhadap pentadbiran Islam?
CHAUVINIS
Tadi YB sebut tentang chauvinis, benarlah?
Sudah tentu tidak. Jika benar bagai dikata, mengapa saya sertai parti ini? Tidak pernah berlaku dalam mana-mana mesyuarat atau perjumpaan yang menunjukkan parti ini chauvinis. Kongres DAP kami siarkan secara langsung pun menggunakan laras bahasa Melayu, apatah lagi lagu rasmi parti dalam bahasa Melayu.
PERDANA MENTERI DARI DAP
YB mengimpikan perdana menteri seterusnya daripada DAP atau bukan Melayu Islam?
Di dalam Perlembagaan, memang tiada syarat seseorang yang dilantik sebagai perdana menteri mestilah Melayu dan Islam. Realiti politik negara adalah perdana menteri akan menjadi seorang Melayu dan Islam. Tetapi, begini sahaja, tidak mustahil untuk rakyat Malaysia menyaksikan satu hari nanti seorang perdana menteri Melayu Islam datang daripada DAP.
Bagaimanapun, pada masa ini, lebih baik semua pihak memberi komitmen dan bersama menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara. Pastikan kerajaan ini stabil, terus membangun dan beliau terus menerima mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook juga memberi komitmen akan terus mendukung Anwar sebagai perdana menteri dalam PRU16. Pada masa hadapan, jika DAP boleh ketengahkan seorang perdana menteri Melayu dan Islam, mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong memegang jawatan ini, saya tidak melihatnya sebagai perkara mustahil.
MELAYU FOBIA
Orang Melayu macam fobia sangat dengan DAP. Komen?
Ini disebabkan tohmahan dan polemik berlaku sejak berdekad lamanya yang mana DAP tidak lari daripada gelaran seperti chauvinis, komunis dan sebagainya. Lama-kelamaan, sudah tentu ia ‘melekat’ dan menebal dalam fikiran orang Melayu. Namun, Insya-Allah, keadaan ini semakin berubah, jika lihat ahli-ahli baharu yang masuk parti, ramai dalam kalangan anak muda kerana mereka lebih terbuka, tahu mendapatkan maklumat, tidak mudah percaya dengan apa yang mereka baca dan dengar.
DASAR TOLAK PANGKAT
Relevan lagikah syarat wakil rakyat DAP dalam penerimaan anugerah atau darjah kebesaran daripada mana-mana Sultan atau Yang Dipertua Negeri?
Sebab itu, Anthony Loke dalam kongres DAP mahu semak semula syarat tersebut. Dahulu mungkin sebab kami pembangkang, jadi, sukar mendapatkan darjah kebesaran.
Namun, sekarang sudah berada dalam kerajaan Persekutuan dan dalam kerajaan negeri. Maka, akan ada situasi menyaksikan Sultan atau Yang Dipertua Negeri, malah Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan darjah kebesaran kepada seseorang. Pun begitu, ini semua keputusan para perwakilan dan saya yakin, semua pihak akan menerima keputusan dibuat nanti.
MALAYSIAN MALAYSIA
YB percaya dengan konsep Malaysian Malaysia?
Malaysia untuk rakyat Malaysialah. Apa masalahnya Malaysia untuk rakyat Malaysia? Mengapa konsep ini dimomokkan sesetengah pihak? Kami sudah berkali-kali menyatakan parti mendukung apa yang ada dalam Perlembagaan.
SUKA MAIN GAME, TENGOK GUSTI
Apa aktiviti YB di luar konteks profesionalisme atau pekerjaan?
Saya suka main permainan video, tonton Youtube dan gusti. Kadang-kadang kita perlu ‘padam suis’ sekejap, tidaklah asyik-asyik fokus pada politik dan kerja sahaja.
TAWAKAL
YB sentiasa kelihatan tenang dan tidak goyah berdepan kecaman orang. Apa petuanya?
Tawakal, percaya dan yakin kepada Allah SWT.
LIM GUAN ENG TIDAK TERSINGKIR
Bekas Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dipilih semula dalam CEC DAP. Benarkah ada cubaan singkirkan beliau daripada kepemimpinan parti?
Kadang-kadang apa yang dibaca dalam berita tidak tepat, malah ada juga ‘rempah ratus’ yang ‘dimasukkan’. Sudah tentu dalam mana-mana persaingan akan ada pihak bertindak seperti itu, tetapi, yang penting sekarang semua pihak harus rapatkan saf dan beri kepercayaan kepada Anthony untuk terus terajui parti.
Walau apa pun usaha yang digembar-gemburkan di luar sana, usahlah pandangan ke belakang sebaliknya mahu ke hadapan kerana dalam masa tiga tahun akan datang adalah mencabar kerana kami berada dalam kerajaan dan akan menghadapi satu lagi pusingan pilihan raya.
MASUK PARTI JANGAN KEJAR JAWATAN, KUASA
Apakah kita perlukan lebih ramai lagi orang Melayu dalam DAP?
Sudah tentu kami pun mahu lebih ramai orang Melayu masuk parti ini, tetapi yang penting mereka masuk bukan kerana mahukan jawatan dan kuasa. Tetapi, benar-benar percaya dengan prinsip perjuangan parti.
Sekarang dalam DAP, orang mungkin hanya menumpukan pada orang dalam CEC macam saya, Young Syefura atau wakil rakyat. Tetapi, sebenarnya dalam setiap lapisan kepimpinan kami juga ada orang Melayu yang lain dalam sayap pemuda, wanita bahkan dalam majlis perbandaran di seluruh negara yang kami berada. Maksudnya, di setiap peringkat terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu.
Memang ada juga usaha mendapatkan lebih ramai ahli DAP berbangsa Melayu dalam parti, tetapi, kami tidak mahu DAP suka bermegah-megah dengan jumlah ahli yang ramai semata-mata, sebab kami mahu pastikan mereka benar-benar faham dan hayati prinsip perjuangan parti. – Mingguan Malaysia










