SAYA baca tulisan Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar bertajuk Siapa mampu cabar di Kedah? (Mingguan Malaysia 16 Mac 2025). Saya akui pengamatan beliau mengenai gaya merakyat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah benar.
Dengan asal usulnya dari Kuala Nerang, dalam daerah Padang Terap, Kedah, saya tahu apa yang ditulis adalah dari kefahaman dan pengalaman sebagai individu berlatar hampir sama. Padang Terap sama seperti Sik, daerah asal Muhammad Sanusi – yang disebut oleh Pengarang Utusan Malaysia itu sebagai kawasan hulu.
Ia merujuk kepada wilayah timur Kedah merangkumi daerah Padang Terap, Sik, Baling, sebahagian Pendang dan Pokok Sena dan di selatan daerah Kulim. Itulah kawasan yang geografi, latar budaya, karakter dan paling ketara dialek atau loghat pertuturan penduduknya tidak sama dengan kawasan hilir yang dianggap bahagian perdana di Kedah.
Kawasan hilir yang lebih hampir dengan pantai turut merangkumi daerah Kuala Muda dan Kota Setar yang lebih maju, moden dan taraf ekonomi penduduk yang lebih tinggi.
Perbezaan ini menyebabkan timbul sentimen kurang enak dalam kalangan penduduk hulu kerana mereka berasakan ‘kekayaan’ negeri hanya lalu sahaja di hadapan mereka tanpa mereka dapat menikmatinya.
Kawasan hulu sememangnya kaya dengan hasil ekonomi seperti balak dan galian yang menjadi sumber kekayaan negeri.
Namun oleh kerana sektor ekonomi banyak berpusat di hilir, penduduk di kawasan hulu hanya mampu melihat ‘kekayaan’ lalu di hadapan mereka.
Justeru, kemunculan Muhammad Sanusi dalam kancah pentadbiran negeri dianggap satu rahmat bagi penduduk hulu, terutama dengan keazamannya untuk membangunkan daerah timur Kedah.
Ironinya, Muhammad Sanusi bukanlah Menteri Besar pertama dari hulu. Datuk Seri Mahdzir Khalid juga orang hulu. Tetapi Mahdzir lebih dilihat berkelas elit disebabkan kemunculannya dalam politik Kedah adalah dengan ‘wahyu’ dan tidak dikenali sebagai pemimpin yang pernah bergelumang dengan rakyat.
Muhammad Sanusi dengan karakter dan penampilannya, dirasakan lebih merakyat. Ekspresinya adalah ekspresi rakyat. Itu karakter semula jadi beliau yang tidak dibuat-buat, karakter yang hanya ada pada anak kampung yang masih kuat berakar pada asal usulnya.
Karakter ini tidak pernah ada pada Menteri Besar lain sebelum ini. Datang ke bazar Ramadan dengan menunggang motosikal berjersi bola, seluar trek dan berselipar bersama anak bongsunya, Sofia, itulah Menteri Besar Kedah yang sekarang ini.
Bergurau senda dengan anak- anak remaja seperti beliau sebaya dengan mereka malah Muhammad Sanusi sendiri pegang telefon merakam gambar bersama, siapa yang tidak terpesona dengan pemimpin seperti ini?
Cuma dalam tulisan itu pandangan yang dinyatakan oleh bekas Ketua Pengarah Jasa, Dr. Zaharudin Sani Zabri agak kurang tepat atau dalam dialek hulu Kedah, kurang molek untuk didengar.
Mengandaikan kedudukan Muhammad Sanusi tidak selamat kerana ‘tradisi’ beberapa Menteri Besar Kedah terdahulu yang ‘digulingkan’ adalah kenyataan tanpa asas kukuh.
Membayang nasib beliau akan sama dengan bekas-bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, Datuk Seri Ahmad Bashah Md, Hanipah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah tidak berasas.
Perlu diperbetulkan, Syed Razak digugurkan akibat masalah kesihatan. Azizan, selain Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpinnya kalah piihan raya, beliau juga menghadapi masalah kesihatan serius.
Zaharuddin turut menyebut mengenai tekanan (disebut tekanan keras) daripada pimpinan Pas Pusat untuk Muhammad Sanusi tidak lagi dilantik Menteri Besar selepas pilihan raya akan datang.
Katanya, “Muhammad Sanusi dilihat sebagai liabiliti kepada Pas kerana kelantangannya, tatakelola, isu peribadi dan dakwaan gagal dalam pentadbiran.”
Ingin saya tegaskan di sini kenyataan itu sama sekali tidak benar. Setakat ini, tidak ada tekanan sama ada yang lembut ataupun keras untuk kerusi Menteri Besar Kedah.
Pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, Muhammad Sanusi selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah memimpin parti menang 33-3 di peringkat negeri manakala Parlimen 14-1. Bukankah ini satu keputusan yang sangat cemerlang?
Justeru, apa munasabahnya untuk seorang pemimpin parti yang memimpin pasukan mencapai kemenangan besar ditukar tanpa sebab yang mewajarkan?
Muhammad Sanusi sendiri adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN. Dalam Pas, beliau memegang jawatan yang sama sejak 2019. Dalam hierarki Pas, Ketua Pengarah Pilihan Raya adalah satu jawatan kanan dilantik oleh Presiden. Sebagai ketua tertinggi jentera pilihan raya, jawatan yang cukup berpengaruh dalam menentukan sebarang keputusan parti mengenai pilihan raya, termasuk pemilihan calon. Ini menunjukkan tahap kepercayaan dan keyakinan pucuk pimpinan parti terhadap Muhammad Sanusi.
Lebih tidak dapat diterima akal apabila Zaharuddin menyatakan kemungkinan Muhammad Sanusi akan direhatkan terus selepas pilihan raya. Dengan sokongan rakyat yang begitu padu, ini kenyataan yang jelas menongkah hakikat dan tidak mencerminkan realiti.
Agak mendukacitakan apabila seorang sarjana seperti beliau mengutip maklumat dengar cakap (hearsay) untuk jadi kenyataan media. Beliau juga ada menyebut mengenai kegagalan dalam pentadbiran. Ini satu tuduhan yang sangat serius dan perlu dibuktikan. Kegagalan yang bagaimana dimaksudkan?
Asas bagi kecemerlangan pentadbiran oleh mana-mana Menteri Besar ialah hubungan yang baik dengan Pegawai Tadbir Negeri. Di Kedah, kumpulan ini dikenali sebagai KCS (Kedah Civil Service).
Sejak diangkat menjadi Menteri Besar bermula 17 Mei 2020, Muhammad Sanusi diketahui mempunyai hubungan yang sangat baik dengan KCS yang ketika itu diketuai Datuk Amar Sheikh Mahmood Naim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri. Hubungan baik itu berterusan apabila Datuk Seri Norizan Khazali mengambil alih tempat Amar yang bersara dua tahun lalu.
Dari segi pencapaian, banyak rekod baharu dicapai bawah pentadbirannya. Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang sejak sekian lama menjadi ‘duri dalam daging’ dalam pentadbiran Negeri Kedah, kini awan mendung itu sudah berlalu. Jika pada 2019 sewaktu di bawah pentadbiran Mukhriz, SADA mencatatkan kerugian sebanyak RM36.29 juta, pada tahun lalu (2024), syarikat itu merekodkan keuntungan RM70.79 juta.
Tanpa meninjau terlalu dalam, ramai orang tahu bahawa Kedah kini menjadi tumpuan dalam sektor pelaburan dengan statistik yang sangat menakjubkan.
Pada 2021, pelaburan diluluskan untuk Kedah berjaya dibawa masuk sebanyak RM68.3 bilion, kemudian RM13,1 bilion (2022), diikuti RM28.7 bilion (2023). Tahun lalu (2024), sebanyak RM45.8 bilion nilai pelaburan diluluskan masuk ke Kedah.
Jika angka-angka sebesar itu sebelum ini hanya berlegar dalam kalangan negeri tertentu, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor, namun sejak 2021, Kedah cukup konsisten sebagai pencabar baharu. Adakah ini juga boleh dianggap kegagalan mentadbir negeri?
Tidak kurang penting bagi memastikan kelancaran pentadbiran ialah hubungan elit politik dengan istana. Dalam hal ini, umum mengetahui hubungan beliau dengan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin adalah sangat mesra.
Dalam kalangan yang rapat, sudah tidak menjadi rahsia hubungan mereka berdua boleh diumpamakan seperti ‘bapa dengan anak’. Demikian juga dengan Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah.
Zaharuddin turut mengaitkan nama Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang juga bekas Setiausaha Politik sebagai calon Menteri Besar. Nama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut disebut.
Ini satu perkara yang sangat mengarut dan tidak pernah timbul dalam Pas. Satu lagi yang disebut isu peribadi. Harap Zaharuddin bersedia untuk menjelaskan apa isu peribadi yang dimaksudkan?
Saya menyimpulkan kenyataan Zaharuddin lebih kepada maklumat dengar cakap atau yang diandaikan beliau tanpa memahami apa yang sebenarnya berlaku di bawah. Mungkin ini cubaan mencalarkan wibawa pemimpin Kedah.-UTUSAN
MUHAMAD Mat Yakim adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah.










