KEMUNCULAN teknologi baharu pada masa kini telah banyak memberi ruang dan peluang pada kita semua untuk mengunakannya sebagai bahan bukti ketika berlakunya perkara yang tidak diingini. Antaranya adalah kemunculan video kamera seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta dashcam sudah menjadi satu keperluan utama oleh semua pihak pada masa kini bagi membendung kegiatan jenayah serta bagi melindungi diri masing-masing terhadap sebarang tuduhan yang tidak berasas. Kamera badan (BWC) adalah peranti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital.
Sudah sampai masanya pengunaan kamera badan ini diwajibkan untuk semua anggota penguatkuasa yang ada dalam Malaysia tanpa mengira unit atau bahagian dan ini termasuklah semua pegawai polis, pegawai kastam, pegawai imigresen, badan penguatkuasa di semua kementerian, pihak penguatkuasa kerajaan tempatan (PBT) serta pihak penguatkuasa di jabatan agama Islam.
Penggunaan kamera badan oleh semua pihak penguatkuasa ini diyakini dapat membendung sebarang aktiviti salah laku seperti penyalahgunaan kuasa atau rasuah, serta dapat melindungi pihak penguatkuasa itu sendiri daripada sebarang tuduhan yang dilontarkan kepada mereka daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ia juga boleh menjadi bukti yang kuat bagi menyokong sesuatu hujah atau pertikaian dalam proses perbicaraan kes mahkamah sama ada kes sivil ataupun kes jenayah. Jika diteliti, Akta Keterangan 1950 [Akta 56] yang merupakan sebuah akta yang paling utama sekali dalam negara kita yang mengawal selia proses pemberian bahan bukti dalam semua kes-kes mahkamah, maksud bukti atau keterangan itu telah dinyatakan dengan jelas sekali di bawah Seksyen 3 sebagai “meliputi”:
(a) Segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi-saksi berhubungan dengan perkara- perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan; (b) Segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah: dokumen-dokumen sedemikian disebut keterangan dokumen.
Penggunaan ayat “meliputi” di dalam Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] menunjukkan bahawa penggunaan bahan bukti dalam kes-kes mahkamah tidak hanya terpakai atau terhad terhadap penggunaan bahan bukti yang datang dari saksi-saksi ataupun dokumen biasa sahaja.
Perkara ini telah dipersetujui oleh pihak mahkamah sendiri melalui beberapa kes mahkamah seperti kes Chin Seow Noi v PP [1994] 1 SLR, Dilworth & Ors v Commissioner of Stamps, [1899] AC 99, [1895-99] All ER Rep Ext 1576, Corporation of Portsmouth v Smith & Ors. (1883) 13 QBD 184, Abdul Rashid & Anor v PP [1994] 1 SLR 119, Lee Yuan Kwang & Ors v PP [1995] 2 SLR 349, PP v Rozmaan bin Jusoh & Anor [1999] 2 SLR 181, Noliana Binti Sulaiman v PP [2000] 4 MLJ 752 dan lain-lain lagi.
Oleh demikian, kita juga boleh menggunakan mana-mana bahan bukti yang sesuai untuk membantu dan menyokong sesebuah proses perbicaraan kes mahkamah dan ini termasuklah video kamera. Video kamera boleh menjadi sebuah bahan bukti yang kuat sekiranya ia memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan melalui undang-undang.
Jika dilihat dengan teliti juga, video kamera ini juga boleh dikategorikan sebagai salah sebuah bahan bukti dokumen. Jika dirujuk kepada Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] juga, definisi dokumen itu sendiri adalah luas dan ia boleh meliputi juga video kamera. Video kamera boleh diterima sebagai sebuah bukti dokumen sekiranya ia memenuhi syarat pengesahannya mengikut Seksyen 61 sehingga 66 Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Video kamera juga boleh diterima sebagai bukti berbentuk digital atau elektronik. Bukti berbentuk digital atau elektronik juga boleh diterima dibawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Seksyen 90A, 90B and 90C Akta Keterangan 1950 [Akta 56] memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan bukti berbentuk digital atau elektronik yang juga lebih dikenali sebagai bukti yang dihasilkan atau dikeluarkan melalui komputer.
Penerimaan bahan bukti berbentuk digital atau elektronik juga telah banyak kali diterima oleh pihak mahkamah seperti kes-kes mahkamah yang berikut iaitu Gnanasegaran a/l Pararajasingam v PP [1997] 3 MLJ 1, CA, Hanafi Mat Hassan v PP [2006] 4 MLJ 134, CA, Ahmad Najib bin Aris v PP [2009] 2 MLJ 613, FC, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) v Khoo Nee Kiong [2003] 4 MLJ 216, PP v Ong Cheng Heong [1998] 6 MLJ 678 dan lain-lain lagi.
Walaupun penggunaan kamera video ini dilihat penting sebagai bahan pembuktian, kita harus memastikan ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk tujuan jenayah atau mengganggu privasi seseorang. Terdapat juga insiden penyalahgunaan kamera video untuk kegiatan hendap atau skodeng seperti yang berlaku pada mangsa di dalam tandas dan bilik salinan pakaian di pusat membeli belah seperti yang telah dilaporkan sebelum ini dalam negara kita tidak beberapa lama dulu.
Perlu diketahui, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan perbuatan hendap atau skodeng. Ini berdasarkan pindaan yang telah dilakukan ke atas Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Acara Jenayah [Akta 593] yang telah menjadikan tindakan menghendap atau skodeng sebagai satu kesalahan jenayah dalam negara kita.
Dengan kelulusan kedua-dua RUU tersebut, perbuatan menghendap atau skodeng menjadi satu kesalahan jenayah yang membolehkan pelaku disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].Dengan adanya peruntukan baharu dalam undang-undang berkaitan kesalahan menghendap atau skodeng ini, ia dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat keselamatan diri mereka dalam perkara ini adalah dilindungi dan terjamin. – UTUSAN
DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










