HARI ini kita melihat Gaza dan Tebing Barat bukan sahaja dibom, seperti mana gambar dan video yang kerap dilihat di media sosial dan dada berita.
Gaza sebenarnya ujian kepada seluruh masyarakat dunia, di mana ia menguji kesedaran setiap manusia, sama ada kita memilih untuk melawan penjajahan atau sebaliknya. Perasaan kita bercampur baur melihat kediaman dihancurkan dan kanak-kanak dibunuh. Namun, bagaimana kita menulis sejarah pada hari ini dalam bersolidariti untuk Palestin?
Adakah kita hanya menjadi pemerhati kepada pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan? Atau sekadar membiarkan diri meratapi pemergian saudara kita di Palestin dan akhirnya melupakan keperitan mereka? Atau mungkin juga kita menjadi antara mereka yang berada di barisan hadapan untuk terus mempertahankan Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang telah dicemari dan dihina?
Saya mahu mengajak ‘kita semua’ hari ini berfikir sejenak, adakah apa yang kita lakukan untuk Palestin selama ini benar-benar berbaloi ataupun tidak. Persoalan-persoalan ini pastinya mula muncul kerana melihat seolah-olah tiada penyelesaian tuntas ke atas bumi Palestin walaupun pelbagai usaha yang dilakukan.
Mungkin ada antara kita berfikir bahawa peranan mereka dalam perjuangan ini tidak signifikan apabila merasakan tiada kuasa untuk memberi impak. Mungkin kita rasa klise dengan pernyataan seperti kebatilan akan terus bertapak apabila kebenaran berdiam diri. Namun, ini adalah hakikatnya.
Kebenaran adalah senjata yang ampuh, Malah, berdiam diri tidak bermakna menjadi neutral seperti pendekatan yang diambil sebahagian kecil daripada kita, kerana jika mengambil pendekatan neutral dalam ketidakadilan, sebenarnya kita telah memilih untuk bersama dengan penjajah. Sebab itu, dalam isu Palestin, tiada istilah neutral kerana garis sempadannya jelas, bahawa negara itu hari ini sedang dijajah dan penjajahnya adalah rejim haram Israel.
Andai kata kita tidak mampu untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang berjuang di barisan hadapan, janganlah pula kita menyebarkan naratif palsu atau cuba untuk mengabsahkan tindakan Israel. Jika tidak mampu untuk melawan penjajah secara fizikal, sekurang-kurangnya gunakanlah keupayaan kita untuk menghentikan kezaliman ini dengan kata-kata dan penulisan.
Ingat, peperangan di Gaza ini bukan sekadar konflik ketenteraan yang dicanangkan media Barat, tetapi ia adalah perang terhadap kesedaran, memori dan kebenaran itu sendiri. Inilah matlamat yang cuba dihapuskan oleh tentera Israel di Palestin. Apa yang disasarkan pada hari ini bukan sekadar tanah, tetapi hak untuk hidup dan maruah.
Israel mengharapkan tindakan mereka ke atas rakyat Palestin hari ini akan memadamkan api-api perjuangan, tetapi ia sebenarnya telah merebak dan tidak mampu lagi untuk dipadam.
Ketika mana api-api perjuangan merebak ke serata dunia, Israel cuba untuk mencucuk jarum halus perpecahan dengan cuba menajamkan pertembungan kelompok-kelompok di dalam dunia Islam.
Kita disibukkan dengan isu pertelagahan mazhab yang tidak berkesudahan. Selain itu, kita juga dilekakan dengan pertembungan fikrah jemaah yang tujuannya sama iaitu islahiyyah dan islamiyyah. Fitnah dan adu domba seakan normal dimainkan sesama mereka yang menerima tarbiyah sedangkan musuh utama sedang memerhati pertelagahan ini dengan suka hati.
Mungkin kita anggap ini hanya perbezaan, namun jika ia tidak diuruskan, boleh menjadi barah yang akan merasakan kekuatan umat dari dalam.
MELEMAHKAN ISLAM
Sedar atau tidak kita pada hari ini, sejauh mana pertelagahan yang berlaku dalam dunia Barat, mereka tetap boleh bersama jika ia melibatkan dunia Islam. Oleh sebab itu, mereka melihat satu cara untuk menghina dan memijak maruah negara-negara Arab dan Islam adalah dengan terus menguasai Palestin yang menjadi kekuatan umat Islam dari sudut politik dan tarbiyah.
Sebab itu, seperti yang pernah diutarakan Ismail Raji Al-Faruqi bahawa dunia hari ini tidak akan lari daripada peperangan di antara Islam dan Barat daripada pelbagai sudut dengan pusat kepada pertembungan ini terletak di Palestin.
Palestin hari ini telah merungkai kebobrokan kuasa dunia yang rakus dan tidak adil, dan kerana itulah tanda kita menyokong Palestin untuk sentiasa bercakap benar, walaupun ia memberi kesan yang besar kepada kedudukan kita.
Tanda kita sokong Palestin adalah dengan tidak membenarkan penipuan dan tidak menggambarkan penjajah sebagai mangsa. Di samping itu, bersolidariti untuk Gaza juga perlu menjaga lidah, bercakap baik atau diam.
Di era lambakan data dan maklumat hari ini, bacaan terhadap peristiwa dan pertembungan kuasa di dunia sering terperangkap dalam perspektif yang bersifat ‘sekarang dan di sini’ sahaja. Kesannya, kita tidak dapat memahami landskap besar pertembungan kuasa dan implikasinya kepada masa hadapan negara dan bangsa.
Kita dilambakkan dengan pelbagai maklumat yang bukan menjad tujuan utama perjuangan pada hari ini menyebabkan ia sekadar penat dan tidak fokus.
Saya menulis ini sebagai peringatan untuk kita bersama-sama muhasabah. Mungkin ini hanya coretan kerdil namun peringatan ini perlu supaya kita kekalkan kepada objektif yang sama iaitu untuk membebaskan Palestin dan mengembalikan kemuliaan terhadap Masjid Al-Aqsa.
Dengan banyak perbezaan yang mungkin ada pada setiap daripada kita hari ini, janganlah sehingga ia melalaikan daripada tanggungjawab sebagai hamba, khalifah dan da’i. Palestin menyatukan kita semua.-UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Persatuan Cinta Gaza Malaysia.










