PETALING JAYA: Subsidi benih padi perlu disalurkan secara terus kepada pesawah dan bukan kepada pengilang bagi memastikan bantuan kerajaan itu benar-benar dinikmati golongan sasaran.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kaedah itu membolehkan pesawah memilih pembekal berdasarkan harga dan kualiti benih, sekali gus mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pengeluar.
Menurutnya, harga benih padi di pintu kilang ketika ini sekitar RM56 sekampit, namun kadar itu hanya harga panduan dan bukannya harga kawalan, sedangkan kerajaan memberikan subsidi RM20.60 bagi setiap kampit.
“Harga RM56 di pintu kilang itu hanya harga panduan, bukan harga kawalan. Apabila sampai kepada pengguna, harganya tidak menentu, terutama di kawasan yang jauh daripada pembekal seperti Melaka dan Johor sehingga boleh mencecah RM70 sekampit tanpa subsidi.
“Jadi, sasaran subsidi itu ke mana? Sebab itu kami cadangkan subsidi disalurkan terus kepada pesawah supaya mereka dapat memilih pembekal yang menawarkan benih berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan pesawah mendakwa subsidi benih padi ketika ini belum cukup membantu mengurangkan beban mereka apabila masih perlu membayar harga benih yang tinggi, dengan harga berbeza mengikut kawasan dan kos pengedaran.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid mencadangkan supaya penyaluran subsidi secara terus dilaksanakan menerusi sistem seperti e-dompet atau platform khusus bagi membolehkan pesawah menggunakan bantuan itu ketika membeli benih.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menetapkan harga benih padi yang seragam di seluruh negara dengan mengambil kira kos logistik dan pengedaran bagi mengelakkan perbezaan harga yang ketara antara kawasan.
“Sekurang-kurangnya kerajaan perlu mewujudkan sistem harga tetap supaya harga kepada pengguna selaras dan tidak berlaku manipulasi harga,” katanya. – UTUSAN











