Jijoe tutup musim Grand Prix New Zealand

Jijoe tutup musim Grand Prix New Zealand

Azizulhasni Awang akan mengakhiri saingan musim ini di Grand Prix New Zealand, Cambridge dari 4 hingga 7 Disember ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal mengakhiri saingan musim ini di Grand Prix New Zealand, Cambridge dari 4 hingga 7 Disember ini dalam usaha mengumpul mata kelayakan ke Kejohanan Dunia tahun depan.

Penyertaan itu menyaksikan Azizulhasni menjadi satu-satunya pelumba negara yang beraksi di New Zealand, manakala baki skuad kebangsaan akan menyertai kejohanan Kelas 2 di Tagaytay, Filipina pada tarikh sama.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, perlumbaan terakhir itu penting buat Azizulhasni sebelum skuad negara memberikan tumpuan sepenuhnya kepada misi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bermula tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kejohanan di New Zealand pada awal Disember ini, hanya Azizulhasni akan beraksi untuk mengumpul mata ke Kejohanan Dunia tahun depan, manakala pelumba lain akan bertanding di Tagaytay,” kata Harnizam.

Mengulas kempen negara pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China baru-baru ini, Harnizam mengakui jadual pertandingan yang padat, khususnya selepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia, menyukarkan pelumba mengekalkan prestasi kemuncak secara konsisten.

Menurutnya, Azizulhasni turut berdepan keletihan mental dan fizikal selepas mengharungi siri perlumbaan yang berturut-turut sehingga menjejaskan persembahannya dalam acara keirin di Shanghai.

“Kita sedar agak mustahil untuk pelumba mencapai prestasi kemuncak sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga bulan berturut-turut, dan Azizulhasni sudah memberikan yang terbaik meskipun keletihan mental akibat jadual perlumbaan memberi sedikit kesan,” katanya.

Dalam pada itu, Harnizam menegaskan peluang Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk memburu slot individu ke LA28 masih terbuka meskipun tidak beraksi pada Kejohanan Dunia kali ini.

Katanya, mata yang dikumpul menerusi acara pecut berpasukan tidak dikira bagi kuota individu, sekali gus membolehkan Shah terus bersaing memburu kelayakan Olimpik menerusi laluan yang tersedia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini