SEBAIK sahaja Israel dan Hamas mengumumkan kesepakatan gencatan senjata di Gaza selepas 471 hari umat Palestin melalui episod pembantaian habis-habisan, Malaysia tidak mengambil masa lama menjadi antara negara pertama secara sukarela merancang pemulihan semula wilayah itu.
Tidak sampai dua minggu kesepakatan itu dicapai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.
Usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat negara ini.
Tentunya keputusan kerajaan ini sedikit sebanyak mampu mengembalikan semula ‘nyawa’ rakyat Palestin walaupun kekejaman rejim Israel itu tidak mampu menghidupkan kembali lebih 46,000 nyawa dengan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Malaysia tidak keseorangan dalam menggerakkan misi ini. Ia turut disepakati bersama Jepun untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD). Ia melalui penubuhan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.
Mesyuarat Menteri CEAPAD Keempat (CEAPAD IV) akan diadakan di Malaysia, tahun ini. Platfrom ini merangkumi program pembinaan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan menyeluruh serta pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin.
Mesyuarat Peringkat Kerja CEAPAD yang diadakan pada 18 Julai tahun lalu mengulangi keperluan mendesak untuk meningkatkan koordinasi dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza serta kepentingan pemulihan dan pembinaan semula jangka panjang, selain reformasi tadbir urus bagi memastikan pembangunan mampan di Palestin.
Hasrat Malaysia membangunkan semula Palestin turut disambut negara-negara ASEAN yang menyatakan sokongan sama selepas disuarakan Anwar melalui peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Semangat membantu saudara seagama yang masih berjuang untuk mendapat hak tanah air mereka juga mendapat sanjungan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika lawatan beliau ke Malaysia pada 10 dan 11 Februari lalu.
Menurut Erdogan, Turkiye dan Malaysia tidak pernah berhenti mengutuk kekejaman dan lantang bersuara memperjuangkan hak rakyat Palestin di semua platform antarabangsa, termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Sebelum ini, Turkiye menghantar lebih daripada 100,000 tan bantuan kemanusiaan dan sebagai reaksi jelas, negara itu turut menamatkan hubungan perdagangan dengan Israel.
Begitu juga Malaysia sudah menghantar lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah yang memanfaat jutaan rakyat Palestin sejak Oktober 2023 dengan kerjasama NGO dengan kesemua sumbangan disalurkan melalui akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Jelas Erdogan, dalam langkah yang diambil kedua-dua pihak, perlu menilai apa yang boleh dilakukan dalam aspek pembangunan semula infrastruktur dan kemudahan asas.
Dengan kemusnahan di Gaza yang dianggarkan kira-kira AS$100 bilion (RM447 bilion), Israel dan kerajaan Benjamin Netanhayu perlu bertanggungjawab dan mesti membayar pampasan atas kemusnahan yang mereka lakukan.
MALAYSIA KONSISTEN BANTU PALESTIN
Mengulas mengenai usaha Malaysia bersama negara yang menyokong pembangunan semula Palestin, Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, inisiatif Malaysia itu berpotensi mengukuhkan kedudukan negara sebagai penyokong utama Palestin di rantau Asia.
Malah, katanya, Malaysia konsisten menyokong Palestin sejak era Tun Dr. Mahathir Mohamad, termasuk menubuhkan Tabung Palestin yang mengumpul lebih RM100 juta sehingga 2023.
“Kerjasama dengan Jepun, sebuah kuasa ekonomi Asia, memberi kredibiliti kepada usaha ini kerana Jepun terkenal dengan kepakaran dalam pembinaan semula pasca-konflik. Inisiatif CEAPAD yang melibatkan negara-negara Asia Timur menunjukkan Malaysia mampu menggerakkan kerjasama serantau untuk isu kemanusiaan global,” katanya.
Malaysia berjaya mengekalkan hubungan diplomatik yang seimbang, walaupun kritikal terhadap Israel, Malaysia masih menerima pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM41.7 bilion dari Amerika Syarikat (AS) pada 2023.
Kebanyakan negara Barat mengiktiraf keperluan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa mengira pendirian politik dan Malaysia mengambil pendekatan berprinsip yang fokus kepada aspek kemanusiaan, bukan politik semata-mata.
Mungkin ada cakap-cakap dalam kalangan rakyat tentang usaha beria-ia kerajaan untuk membantu membangunkan Palestin, sedangkan banyak lagi kawasan terutama di pedalaman negeri-negeri masih lagi ketinggalan.
Hakikatnya, kerajaan tidak melupakan pembangunan domestik. Kerajaan memperuntukkan RM400 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) (2021-2025) yang memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar.
Bantuan kemanusiaan ke luar negara biasanya melibatkan peratusan kecil daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan. Usaha membantu Palestin boleh membuka peluang kerjasama ekonomi baharu yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, jelas pakar hubungan antarabangsa itu.
Kesimpulannya, inisiatif Perdana Menteri dalam CEAPAD menunjukkan keupayaan Malaysia mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan global sambil terus membangunkan negara. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara Islam progresif yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Walau bagaimanapun, kebiadaban Israel yang mahu meneruskan kelakuannya dengan cadangan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah yang mereka diami selama ribuan tahun tidak boleh dipandang enteng. Namun ia tidak harus menjadi penghalang untuk terus membela rakyat Gaza.
Dengan kesepakatan antara negara-negara yang mahu bersama membina semula Gaza, sudah tentu, kita boleh membawa Gaza kembali bangkit dalam masa yang sangat singkat, asalkan wang pampasan yang rakyat Gaza berhak mendapatnya, perlu turut dikumpulkan dari Israel.
Begitu juga rumah dan tanah yang dirampas Israel dan penyangak harus dikembalikan kepada rakyat Palestin. Apa yang penting kita perlu meningkatkan usaha untuk penubuhan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia Putrajaya.










