MUKADIMAH
SEDEKAD lalu sejarah penerbangan Malaysia terukir menyaksikan Rayani Air Sdn. Bhd. hadir sebagai syarikat penerbangan tambang murah, patuh syariah pertama negara dan keempat di dunia.
Bagaimanapun, masalah kekurangan dana menanggung keseluruhan operasi penerbangan, menyebabkan syarikat berdepan rangkaian masalah yang membawa kepada penutupan selepas lima bulan beroperasi sejak 2016.
Lebih malang, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kerana Rayani Air tidak mempunyai kemampuan kewangan dan pengurusan bergerak sebagai syarikat penerbangan komersial.
Mingguan Malaysia membawa pengasas, RAVI ALAGENDRRAN ABDULLAH mengimbau kembali peristiwa hitam itu. Pengurus Besar (Kejuruteraan dan Penyelenggaraan), ABDUL HALIM ABDUL WAHAB turut berkongsi pengalaman ketika berkhidmat denan syarikat itu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka optimis, Rayani Air akan terbang semula dengan wawasan baharu yang sedang dirangka. Ikuti wawancara bersama wartawan, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN, juruvideo, FARIS IDERIS dan jurugambar, SADDAM YUSOF di Shah Alam baru-baru ini.
MASIH ADA
MINGGUAN MALAYSIA: Di mana Rayani Air sekarang selepas menutup operasi?
RAVI: Sejak kami menutup operasi, sepanjang tempoh itulah saya berusaha menghidupkan semula Rayani Air, tetapi, masih belum mendapatkan rakan kongsi, pelabur mana-mana termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan bank untuk memastikan hasrat saya tercapai. Sekarang belum ada yang berminat. Kami sudah berusaha mendapatkan pinjaman daripada bank, namun, tidak lepas.
KERAJAAN TIDAK SOKONG
Apa yang berlaku ketika kemuncak operasi sehingga penutupan Rayani Air?
Kami ada banyak masalah terutama melibatkan dana dan syarikat memang kekurangan dana untuk beroperasi sepenuhnya. Kami tidak dapat membayar gaji kakitangan dan ini menyebabkan mereka mogok. Selain itu, Rayani Air tidak mendapat sokongan daripada kerajaan.
Saya dan isteri yang mengusahakan syarikat ini menggunakan wang sendiri. Jadi, dengan wang yang terhad bagaimana mungkin kami meneruskan perkhidmatan ketika tiada bantuan dan sokongan kerajaan?
Kami menyediakan perkhidmatan penerbangan patuh syariah pertama negara dan keempat di dunia, apa salahnya kerajaan membantu menyelamatkan Rayani Air ketika itu? Malangnya, tiada yang mahu bantu.
Apa pekerjaan anda lakukan selepas penutupan Rayani Air?
Selain menguruskan syarikat ini, saya juga melakukan pekerjaan lain dalam bidang perkapalan yang mana saya bertindak sebagai kontraktor perkapalan untuk Jabatan Laut di bawah Kementerian Pengangkutan. Beginilah bagaimana saya meneruskan kehidupan pada masa sama tetap menguruskan Rayani Air.
Bayaran balik tiket penumpang sudah selesai?
Kami sudah selesaikan tunggakan gaji pekerja yang menghantar emel tuntutan bayaran gaji dan mereka yang tidak menghantar emel tuntutan tidaklah menerimanya. Bagaimanapun, setahu saya 95 peratus sudah pun menerima gaji. Pun begitu, kami masih memuktamadkan bagi bayaran balik tiket penumpang yang tidak sempat meneruskan penerbangan.
Adakah pembayaran balik tiket masih berjalan?
Tidak, kerana kami tiada dana dan sedang mencari pelabur. Jika sesiapa yang berminat melabur bersama kami, dipersilakan. Kesemua tuntutan yang ada pun tidak banyak dan pada 2018, kami bayar kakitangan dan keutamaan pada waktu itu adalah mereka yang beragama Islam kerana menyambut Hari Raya.
Kami sudah siarkan di Facebook rasmi syarikat supaya penumpang menghantar permohonan tuntutan melaluinya dan mereka yang tidak berbuat demikian hanya lebih kurang lima peratus sahaja.
PERLU RM50 JUTA DANA
Berapa jumlah dana diperlukan untuk beroperasi semula?
Kami perlukan sekurang-kurangnya RM50 juta. Lagipun, hutang kami tidak banyak, hanya RM18 juta yang saya kena bayar melibatkan katerer, alat gantian dan lain-lain.
Seberapa sukar mendepani cabaran ketika itu?
Sangat mencabar kerana kami kurang dana. Saya cuba memulihkan syarikat ini dengan menggunakan dana sendiri yang memakan modal sangat besar sehingga jutaan ringgit. Hanya ada dua pesawat dan usianya 26 tahun dan ada beberapa masalah teknikal.
PESAWAT RAYANI AIR KINI DI IRAN
Di mana kapal terbang Rayani Air sekarang?
Sudah tiada lagi kerana kami sudah serahkan semula kapal terbang yang kami sewa. Setakat pengetahuan saya, kapal itu sekarang berada di Iran. Jika anda jejak semula nombor siri pesawat kami, anda akan tahu di mana pesawat itu berada.
WAWASAN BAHARU
Bagaimana anda menghilangkan persepsi buruk masyarakat sebelum ini dan memberi keyakinan kepada penumpang Rayani Air tidak lagi berdepan masalah sama jika kembali beroperasi?
Kami tidak perlu buat jenama baharu dan kami belajar daripada kesilapan lalu. Kami akan melantik juruterbang yang bekerja dengan lebih profesional dan mengikut arahan, dengan harapan mereka tidak melawan.
Selalunya, jurutera dan juruterbang yang akan ada masalah. Apabila jurutera cakap boleh terbang (berlepas), tetapi, kapten kapal pula cakap tidak boleh. Jadi, saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana kedua-duanya tidak memberi kerjasama.
Bagaimanapun, saya percaya jenama kami tetap sama walaupun tidak lagi beroperasi. Insya-Allah, jika tiada halangan, kami akan tampil dengan imej, wajah, wawasan dan pasukan baharu yang lebih baik.
KONSEP PATUH SYARIAH
Mengapa muncul dengan idea menggunakan patuh syariah ketika itu?
Ketika itu saya belum memeluk agama Islam dan masih beragama Hindu. Saya tidak tahu konsep patuh syariah ini bagaimana?
Tetapi, saya dan seluruh pasukan berbincang bagaimana mahu menyediakan perkhidmatan penerbangan patuh syariah, cara mendapatkan kelulusan dan sebagainya.
Pada masa sama, saya menerima kritikan daripada pelbagai pihak kerana mereka persoal bagaimana mungkin seorang yang bukan beragama Islam ini beria-ia mahu melaksanakan perkhidmatan penerbangan patuh syariah di Malaysia? Walaupun beragama Hindu ketika itu, saya amat memuliakan Islam.
Apa konsep ini mengecilkan jumlah sasaran penumpang anda?
Tidaklah. Penumpang kami terbuka untuk semua status sosial masyarakat.
Dalam tempoh lima bulan beroperasi, berapa ramai sempat menaiki pesawat ini?
Sambutan daripada penumpang untuk kesemua sektor amat menggalakkan, tetapi, saya tiada perinciannya.
TIDAK MAHU TERKUBUR
Mengapa masih teruskan usaha hidupkan syarikat kembali?
Sebenarnya, sayang (rugi) jika menguburkan penerbangan ini begitu sahaja ketika kami sudah mempunyai jenama yang dikenali sebagai penerbangan patuh syariah pertama negara.
Niat saya juga bukan mahu buat duit, namun, jika ada sesiapa yang berminat melabur, maka, bolehlah kami memulakan operasi kembali. Lagipun kami tidak pernah berdepan insiden yang buruk, hanya kekurangan dana, pelaburan dan pasukan teknikal.
Berapa lama masa diambil untuk muncul kembali jika Rayani Air berjaya mendapatkan pelabur?
Kami perlukan masa antara sembilan hingga satu tahun untuk kembali. Saya perlu berjumpa dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Mavcom untuk menghidupkan Rayani Air.
LESEN ASL
Lesen sudah batal bukan?
Ya, ASL kami sudah batal dan manual penerbangan ada dengan CAAM. Untuk menghidupkan lesen ini mudah sahaja. Isunya sekarang adalah dana dan pelabur.
Bagaimana mendapatkan semula lesen penerbangan yang sudah batal?
Kami akan berbincang dengan pihak berkuasa.
Bulan ke berapa masalah mulai timbul?
Kami beroperasi hanya lima bulan dan masalah bermula pada bulan ketiga. Saya yang berusaha mendapatkan dana untuk memastikan operasi harian berjalan kerana piawaian ASL mesti terbang setiap hari. Ada jadual penerbangan yang perlu dipatuhi.
Apa perancangan seterusnya?
Saya tidak boleh beritahu lebih terperinci tetapi, sudah pasti ada perancangan yang lebih teratur. Kata orang belajar daripada kesilapan. Dengan wawasan baharu kami, Insya-Allah jika berhasil, kami akan melakukan yang lebih baik kerana saya percaya, peluang sentiasa ada.
MUFLIS
Rayani Air sudah diisytihar muflis bukan?
Ya, benar. Sekarang hutang Rayani Air di bawah pengurusan Jabatan Insolvensi. Tetapi, sekali kami melancarkan Rayani Air selepas satu tahun nanti, kami akan mula beli hutang mereka. Beri kami tempoh masa dahulu.
TIADA KEUNTUNGAN
Apakah Rayani Air sempat menjana keuntungan sebelum menutup operasi?
Sebenarnya, anda hanya akan dapat melihat keuntungan yang ketara selepas dua tahun pertama beroperasi. Sekurang-kurangnya kami perlu terbang selama dua tahun barulah dapat melihat bentuk pulangannya bagaimana.
Apabila gagal, bangkit semula
MINGGUAN MALAYSIA: Apa pengalaman anda bekerja di Rayani Air?
ABDUL HALIM: Sebelum ini saya bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan lain kemudian bekerja dengan Rayani Air. Walaupun dengan pengalaman yang ada, tetapi, semuanya baharu bagi saya kerana bekerja dalam bidang pengurusan yang mana kami bertanggungjawab untuk seluruh operasi. Jadi, sama ada berjaya atau gagal, saya sebahagian daripada mereka.
PENGALAMAN MENGURUS
Bagaimana anda berdepan tekanan dan cabaran di kemuncak penutupan Rayani Air?
Walaupun saya pernah bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan lain sebelum ini, namun, kami tiada pengalaman untuk memulakan penerbangan baharu dan segalanya bermula dari bawah.
Walaupun kami mempunyai pasukan yang baik ketika itu dengan memenuhi semua keperluan dan peraturan sehinggalah kami berjaya mulakan, tetapi, cabaran paling getir kami perlu mengejar tarikh akhir untuk melancarkannya yang mana kami perlu menyiapkan dokumen, kapal terbang, pasukan dan banyak lagi. Memandangkan Rayani Air adalah penerbangan baharu, jadi, semua orang menyaksikannya dan kami perlu fokus kepada kerja untuk menyiapkan semua tarikh akhir.
PENUHI PIAWAIAN
Apakah ada halangan lain daripada kerajaan atau mana-mana pihak dalam usaha menghidupkan kembali Rayani Air?
Tiada halangan untuk seseorang memulakan penerbangan baharu di Malaysia, cuma, anda perlu mencapai kehendak dan memenuhi piawaian Mavcom dan CAAM. Selagi anda memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan, maka, tiada halangan untuk menubuhkan penerbangan baharu.
Rayani Air tidak terlibat dengan masalah teknikal ketika penerbangan?
Ada beberapa masalah teknikal ketika itu seperti yang berlaku di Langkawi, kemudian ada masalah enjin kerana kapal berusia.
Mengapa tidak ambil pesawat baharu?
Ini semua melibatkan kos, kerana kos pesawat baharu adalah dua kali ganda. Lagipun, kami baru bermula ketika itu dan kekurangan dana. Sebab itulah kami bermula dengan sewa kapal dan meskipun berusia, tetapi masih okay kerana setiap dua tahun akan buat penyelenggaraan.
CUBA LAGI
Apakah masih ada peluang Rayani Air kembali atau menjadi tinggal sejarah dalam penerbangan Malaysia?
Dalam satu-satu keinginan, pengasas penerbangan sudah mempunyai visi untuk memulakan Rayani Air, namun, gagal. Tetapi, kami mahu cuba lagi dan apa salahnya untuk melakukannya? Namun, dengan syarat kami buat dengan cara yang teratur dan belajar daripada kesilapan lalu.
Lagipun, Rayani Air syarikat penerbangan patuh syariah pertama, rakyat Malaysia pasti berminat (untuk terbang) jadi, apa salahnya kita cuba sekali lagi? Syaratnya ada pelabur yang berminat. Lagipun, model perniagaan kami sudah ada, tetapi, saya sedar setiap perniagaan itu ada turun dan naiknya. Sama ada rakyat Malaysia terima atau tidak, apa-apa sahajalah kerana yang berlalu sudah berlalu tetapi sekarang kami berfikir ke hadapan.
Apa perkembangan boleh dilihat sekarang?
Visi dan misi ke arah pengoperasiannya semula itu ada. Lagipun, pengasas beritahu yang mereka mahu melihat Rayani Air terbang semula. Jadi, kesemua rancangan mesti rapi.
Sekarang apa yang kami lakukan adalah duduk bersama dan berbincang bagaimana membuat rancangan dengan teratur untuk memastikan Rayani Air bernyawa kembali. Selain itu, kami akan meneliti semula segala hutang yang masih berbaki.
SEDIH
Apa perasaan anda melihat pekerja yang berkhidmat dalam Rayani Air, namun hilang pekerjaan?
Sudah tentulah kami sedih. Konsepnya sama dengan anda menamatkan persekolahan dan meninggalkan rakan-rakan. Jika kami kembali di lapangan terbang, kami akan beri peluang kepada kakitangan lama yang masih berminat untuk kembali kepada syarikat asal mereka.
Ini objektif dan keutamaan kami dengan memberi mereka peluang semula. Kemudian, penumpang-penumpang yang masih belum menerima bayaran balik daripada kami, sila datang kerana dalam Islam pun, hutang wajib dibayar.
MYAIRLINE
MYAirline menerima nasib yang sama seperti Rayani Air. Apa pendapat anda?
Saya tidak mahu membuat perbandingan antara perkhidmatan kami dengan syarikat penerbangan lain. Kami juga tidak bersaing dengan syarikat penerbangan sedia ada, sebab itulah kami bermula dengan konsep patuh syariah.
Bergantung kepada rakyat jika mereka berminat untuk terbang bersama kami.
Lagipun, MYAirline dalam model perniagaan yang berbeza. Jadi, sukar untuk kami mengulas tentang kegagalan mereka kerana setiap organisasi mempunyai masalah masing-masing. Seperti kami, dana tidak cukup dan pelbagai lagi masalah, begitu juga dengan MYAirlines. Tetapi, di akhirnya, mereka juga cuba bangkit. Apabila gagal, bangkit semula. – Mingguan Malaysia










