MENELITI setiap kali titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, perkara mengenai perpaduan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan baginda.
Nasihat mengenainya berulang kali baginda tekankan, ini termasuklah kepada wakil-wakil rakyat yang bersama memegang tanggungjawab mentadbir kerajaan baginda di Negeri Sembilan.
Ia seperti mana titah baginda pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 tahun lalu.
Baginda tegas mahukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengenepikan agenda politik sempit, sebaliknya saling bekerjasama demi rakyat negeri ini.
“Beri fokus kepada projek-projek dan program yang telah dirangka agar dapat diterjemahkan dan dapat dirasai oleh rakyat.
“Adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli yang berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat agar sama-sama bersedia bergerak membina sebuah negeri dan negara yang teguh bersatu, sejahtera dan makmur.
“Ketahuilah bahawa ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat di luar sana. Dunia digital tanpa sempadan hari ini menjadikan segala tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang berhormat akan segera diketahui dan dinilai oleh rakyat,” titah baginda pada masa itu.
Sebagai ketua dan payung agama Islam di Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz juga sentiasa cakna dalam memastikan syiar agama semakin kukuh dan perkasa di negeri ini.
Peranan masjid dan surau sebagai tempat menyebarkan lagi syiar Islam juga sentiasa menjadi perhatian baginda.
Menurut Tuanku Muhriz, masjid bukan setakat tempat untuk mendirikan solat bahkan sebagai pusat perkembangan ilmu, penyebaran dakwah, pusat aktiviti sosial dan medan penyatuan ummah.
Sejak 2023, sebanyak enam buah masjid baharu telah siap dibina di negeri ini dan pada tahun ini sebanyak empat buah lagi masjid baharu juga akan dibina.
Isu penderaan dan eksploitasi kanak-kanak yang melibatkan sebuah organisasi baru-baru ini telah menzahirkan rasa dukacita Tuanku Muhriz. Baginda tegas menyatakan bahawa perbuatan sedemikian tidak seharusnya timbul dan ditonjolkan oleh umat Islam.
Sebaliknya menurut baginda, adalah menjadi tanggungjawab dan amanah kepada umat Islam untuk menunjukkan nilai-nilai Islam sebenar dalam amalan kehidupan seharian.
Kesal dengan apa yang berlaku, Tuanku Muhriz juga telah menitahkan supaya kanak-kanak yang diselamatkan dapat dibela nasib termasuk memastikan mereka terus mendapat pendidikan perdana sekali gus kembali kepada masyarakat.
Mencerminkan kedaulatan diraja sebagai payung pemerintahan, baginda juga sentiasa memberikan komitmen dan sokongan dalam semua aspek termasuk dalam bidang pendidikan.
TINGKAT MUTU PEMBEDAHAN NEGARA
Menurut Delaila Abdullah yang merupakan seorang pentadbir di Pejabat Antarabangsa Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Tuanku Muhriz telah memberikan sumbangan besar dalam latihan pembedahan di negara ini.
Sebagai Ahli Kehormat RCSEd, baginda merupakan inspirasi di sebalik penubuhan Biasiswa Kembara Tuanku Muhriz (TMTF) pada 2018.
Kata beliau, geran tahunan berkenaan telah memberikan peluang kepada felo dan ahli kolej untuk menimba pengalaman dan latihan lanjut dalam bidang pembedahan di luar bandar.
“Tuanku Muhriz telah membawa prinsip dan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke tahap yang lebih tinggi apabila program tersebut memberi impak besar kepada masyarakat luar bandar di Negeri Sembilan.
“Di bawah naungan TMTF, penduduk di kawasan terpencil Sabah, Sarawak dan Pahang juga telah menikmati manfaat daripada lawatan pendidikan ini apabila pakar-pakar bedah yang menerima biasiswa berkenaan menjalani latihan di sana.
“Inisiatif penajaan ini adalah satu usaha yang amat dikagumi. Penerima biasiswa telah menjelajahi pos-pos terpencil menggunakan apa sahaja mod pengangkutan untuk memberikan khidmat mereka kepada penduduk kampung,” kata Delaila lagi.
Bidang ekonomi, sukan, kesihatan, adat dan kebudayaan juga selalu menjadi perkara utama yang didahulukan baginda.
Sepanjang tahun lalu, Tuanku Muhriz bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda iaitu, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin tidak ketinggalan mencemar duli hadir dalam pelbagai majlis dan acara.
Jika tidak bagi menyempurnakan acara majlis, kehadiran baginda berdua tidak lain adalah untuk bertemu dan menyantuni rakyat jelata. Istilah raja berjiwa rakyat dan raja serta rakyat berpisah tiada bukanlah hanya ungkapan.
Begitu dekat Tuanku Muhriz dengan jelatanya, begitu kasih rakyat kepada baginda. Bersempena dengan Hari Keputeraan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Ke-77 pada hari ini, didoakan baginda dilanjutkan usia dan dikurniakan kesihatan yang baik bagi memerintah demi kemakmuran Negeri Sembilan. Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










