PENULIS kaum India yang menceburi bidang sastera kebangsaan masih mengharapkan suntikan motivasi dan galakan dari luar untuk membantu mereka terus menghasilkan karya sastera kebangsaan.
Demikianlah keputusan umum yang dapat dibuat hasil perbualan dan perbincangan saya dengan 11 rakan penulis kaum India, baru-baru ini.
Sesungguhnya, tidak ramai kaum India di Malaysia terlibat dalam sastera kebangsaan, berbanding sastera Tamil dan Inggeris. Perincian boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021) yang merupakan tesis sarjana sastera tulisan saya.
Perbincangan saya dengan 11 penulis pula bertujuan mengenal pasti kekangan dihadapi dalam tempoh lima tahun lalu (2020-2024).
K. Pragalath, seorang wartawan di sebuah portal berita dan turut menulis cerpen serta rencana pada 2020 dan 2021. Dia mengaku mendapat semangat apabila membaca antologi terbitan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) dan berbual dengan rakan-rakan penulis.
Malangnya, kesibukan kerja hakiki dan ketiadaan masa untuk menyemak serta membetulkan manuskrip sendiri menjadi alasan Pragalath tidak menghasilkan karya bahasa kebangsaan sejak 2022.
Masalah kesihatan dan kewangan pula menjadi punca S. Annadurai, guru pakar bahasa Jerman dari Petaling Jaya, Selangor tidak menghasilkan sebarang karya sejak 2022.
Sebelum itu, beliau berjaya menulis sajak, cerpen dan rencana susulan menyertai bengkel penulisan anjuran Kavyan. Membaca antologi Kavyan, berbual dengan rakan-rakan penulis dan bukan penulis, serta membaca karya penulis tempatan dan luar negara menjadi penyuntik semangat kepadanya.
M. Inba Malar berpengalaman menjadi kaunselor berdaftar di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan. Inba Malar menulis karya bahasa Tamil di majalah tempatan sejak 1986.
Pada 2021, tiga karya bahasa kebangsaan termuat dalam antologi Paling: Sepilihan Memorabilia hasil galakan keluarga dan motivasi kendiri. Namun, ketiadaan idea dan bahan cerita menjadi alasan dia tidak menghasilkan karya baharu selepas itu.
Seorang lagi individu yang turut menulis karya bahasa Tamil ialah C. Poomagal. Dia menjadi guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Sambanthan, Subang Jaya, Selangor dan mengaku masih baharu dalam penulisan karya bahasa kebangsaan.
Hasil galakan keluarga dan rakan-rakan, motivasi kendiri dan penglibatan dalam aktiviti Kavyan membolehkannya menghasilkan dua sajak yang termuat dalam antologi Impi (2024).
Namun begitu, kesibukan kerja membuatkan guru ini tidak dapat memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja penulisan, bahkan tidak tahu ke mana karyanya sesuai dihantar.
Kesibukan kerja di sebuah syarikat percetakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pula menjadi punca A. Durgadewi tiada masa terluang untuk menulis. Sebelum ini, hasil galakan keluarga dan rakan-rakan, dia berjaya menulis sebuah cerpen dalam antologi Meredah Kabus (2021).
BENGKEL PENCETUS MOTIVASI
Bengkel penulisan Kavyan menjadi pencetus motivasi kepada seorang lagi guru, M. Murali, dari Kota Tinggi, Johor. Ada beberapa karyanya tersiar di portal dalam talian sejak 2020 dan termuat dalam antologi Kavyan.
Guru ini yang turut menulis karya bahasa Tamil menyenaraikan tiada motivasi diri, tiada sokongan pembaca, tiada idea untuk karya dan kesibukan kerja sebagai punca kurang menghasilkan karya. Tambahan pula, beliau sedang menyambung pengajian peringkat sarjana.
Seorang lagi guru yang masih aktif menulis sejak 2021 ialah Malini Lakshmi Bai. Sajak, cerpen dan rencana beliau tersiar di portal dalam talian dan antologi terbitan Kavyan.
Turut aktif menghasilkan karya sejak 2020 ialah Richard Ignacy yang kini tinggal di Putrajaya dan bakal menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penulis kaum India yang tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk berkarya ialah A. Arul Das dari Mantin, Negeri Sembilan. Arul Das menulis purata dua karya setahun sejak 2020 di majalah dan jurnal. Buku swaterbit berjudul Komuniti India Kawasan Mantin Negeri Sembilan 1900-1999 dijadualkan terbit bulan ini.
“Kesibukan menjaga ibu bapa yang uzur, kerja hakiki, masalah kesihatan serta ketiadaan masa untuk menyemak dan membetulkan manuskrip menjadi alasan saya tidak mampu lebih aktif menulis,” kata guru ini.
Seorang lagi guru yang aktif menulis sajak, cerpen, rencana dan wawancara di portal dalam talian serta antologi sejak 2020 ialah C. Anuradha dari Banting, Selangor.
Tidak lupa juga penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang yang terus aktif menulis cerpen, rencana serta catatan pengalaman dalam bahasa kebangsaan dan Tamil di akhbar, antologi mahupun portal dalam talian.
Dalam perbincangan kami, saya perhatikan bahawa penulis yang masih aktif menulis menerima beberapa suntikan dari luar, selain motivasi kendiri. Misalnya, galakan keluarga dan rakan-rakan serta aktiviti dan bengkel penulisan Kavyan.
Penulis seperti Richard, Anuradha, Mahendran dan Malini turut mendapat motivasi apabila membaca semula karya sendiri dan antologi terbitan Kavyan atau membaca karya penulis Malaysia dan luar negara.
Pengalaman menonton drama, filem atau dokumentari serta perbualan santai dengan rakan-rakan juga mencetuskan idea selain memberi motivasi untuk kekal bersemangat menghasilkan karya.
Apa pula situasi yang mampu membuatkan para penulis kaum India ini kembali aktif menulis karya bahasa kebangsaan pada tahun ini? Amat nyata, suntikan semangat dan motivasi dari luar sangat diharapkan rakan-rakan penulis yang terlibat dalam perbincangan.
Bengkel penulisan dan bedah karya anjuran Kavyan serta motivasi daripada rakan-rakan amat diperlukan dan diharapkan. Bayaran honorarium yang lumayan pula menjadi impian Pragalath, Arul Das, Durgadewi dan Murali.
Pertandingan menulis khas untuk peserta bukan Melayu dengan hadiah lumayan turut dianggap boleh mencetuskan minat. Pada masa sama, rata-rata berjanji akan menulis jika ada masa lapang.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










