Kembali kepada klasik, lama tetapi bernilai - Utusan Malaysia

Kembali kepada klasik, lama tetapi bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa yang kita harapkan masuk ke Tahun Baharu 2025? Gaji naik? Ada bonus? Kaya? Kejayaan demi kejayaan, kekayaan demi kekayaan?

Benar! tidak boleh dinafikan itu semua tuntutan hidup. Semua berkehendakkannya. Tinggal lagi, harus berusaha keras mencapainya. Rezeki tidak pernah salah alamat. Bila sudah berusaha, berdoa dan tawakallah.

Dalam mengejar materialistik, suatu perkara paling besar yang kita terlepas pandang atau sengaja buat tak pandang adalah soal – adab. Nampak klise bab ini mahu diperdebatkan, namun inilah sebenarnya isu yang kita harus bereskan sebaik sahaja menjejak kaki ke 2025.

Lihat sekeliling kita. Data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja mendedahkan sejumlah 2,337 berusia antara 16 hingga 40 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan rasuah. Seawal 16 tahun lagi sudah masuk perangkap ini.

Ini rekod terbaharu dalam tempoh lima tahun sejak 2020 hingga tahun ini. Dalam jenayah rasuah, penglibatan penjawat awam sahaja mencecah 50 peratus. Jenayah ini mengakibatkan negara hilang RM277 bilion dalam tempoh lima tahun lalu. Kerugian berdasarkan perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun 2018 hingga 2023.

Amaun RM277 bilion itu terlalu besar. Jika ikut perancangan yang betul ikut peraturan, jumlah itu boleh digunakan untuk meningkatkan infrastruktur awam termasuk membaiki sekolah dan hospital.

RASUAH, SCAMMER
Itu bab rasuah, belum lagi masuk isu scammer atau penipuan dalam talian. Data mangsa scam ini amat dahsyat. Sindiket ‘scammer’ dalam talian ini menjadikan warga emas sasaran berkualiti, dengan nilai kerugian dialami golongan itu melebihi RM807.8 juta sejak 2021.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan lebih RM2.678 bilion kerugian keseluruhan akibat kes penipuan dalam talian ini bagi tempoh 2021 hingga 2023. Daripada jumlah itu, 20 peratus babitkan mangsanya warga emas dengan kerugian lebih RM552.5 juta.

Tahun 2024 setakat Ogos sahaja, sejumlah 1,916 warga emas menjadi mangsanya dengan nilai kerugian terkumpul lebih RM255.3 juta.

Realitinya tidak kira sama ada seseorang itu bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau lain-lain etnik, faktor yang menjamin maju atau mundurnya sesuatu kaum dan negara, isunya adalah rasuah. Bagi orang Melayu yang tercermin tampaknya dalam perkhidmatan dan perjawatan awam, jaminan kunci kemajuan adalah sejauh mana kita mengerti bahaya rasuah. Untuk maju, harus dibasmi perilaku ini.

Sebab itu apa sahaja libatkan perlakuan rasuah, scam atau soal-soal jenayah dan isu moral ini, ia bertitik tolak dari cara pengendalian adab dalam kehidupan.

Dalam menongkah cabaran Malaysia hari ini, perkhidmatan awam yang menjadi tonggak negara perlu memiliki sikap amanah, rajin, berani dan berdisiplin. Perhatikan Korea Selatan yang dibangunkan dengan Hwarangnya dan Jepun (dengan Bushidonya) menggerakkan sikap-sikap ini yang tumbuh meresap dan dipraktikkan dalam kalangan pemimpin atasan dan menengahnya yang berjaya.

Di sebalik episod-episod pendakwaan terhadap pelaku rasuah membabitkan bekas pembesar kerajaan dan yang masih dalam kerajaan, kita wajar akui perang politik Melayu hari ini akan terus berpanjangan.

Dengan pilihan raya kecil (PRK) yang acap kali menyusul, bersambung dengan siri pilihan raya negeri, sebelum diikuti pilihan raya umum ke-16, kekalutan politik tidak akan berhenti. Malah kian menggila – ibarat barisan pokok bakau atau tebatan yang tidak mampu mengekang ombak atau bah yang membadai.

Cara tidak diperhitungkan, asalkan matlamat tercapai. Kaedah ini akan memanjangkan tabii kawan jadi lawan, sekali gus membiakkan korupsi dalaman. Kaedah ini membunuh sifat luhur, sekali gus membunuh budaya kemelayuan kita. Ia membunuh politik demi perolehan jawatan dan pangkat – kuasa.

DIDIKAN ORANG TUA
Pemain-pemain politik kita hari ini, tidak kira yang mana satu, pasti sekali `impikan’ memperjuang satu jenama politik untuk “membela bangsa, agama dan tanah air”. Slogan itu amat cantik, tapi malang amalannya tidak seindah mana. Kita orang Melayu sendiri terasa bersalah dalam hal ini kerana sebanyak sedikit turut disedut ke dalam politik kabilah ini – yang mengamalkan politik `orang kita’ dan `orang dia’ selagi politik bernama politik.

Apa pun kita perlu kembali kepada bab penjagaan adab. Sudah ramai insan yang berfikir di sekeliling kita – yang kita kenal, baca hukum-hakam, aturan, prinsip hidup dan capaian mereka telah berpulang ke hadrat-Nya.

Orang-orang lama ini, berpengalaman serta berpengaruh dengan diri mereka sendiri umpama “khutub khanah dan bahan sejarah” telah kembali ke rahmatullah.

Orang-orang penting seperti negarawan, profesor yang disanjungi, guru serta ahli korporat yang berjasa besar kepada anak bangsa dan tanah air ini ramai telah berpulang. Pemergian mereka umpama membawa pergi ilmu, budi dan budaya Melayu itu.

Kita amat perlukan iklim politik baharu yang lebih segar, matang dan keluar daripada bayangan politik lama yang menjengkelkan. Negara perlukan lebih ramai ahli politik muda berwibawa bersama ahli politik senior yang mempunyai hikmah yang tinggi untuk terus membangunkan negara.

Antaranya yang teramat penting adalah kepatuhan dan penguatkuasaan rule of law. Undang-undang hanya bermakna bila kehendak dan arahannya dipatuhi. Walau apapun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan.

Sesekali teringat ungkapan ahli falsafah ulung Yunani, Plato (427 SM – 347 SM):
“Sayugianya, seorang ahli politik itu lahir dari manusia ‘kepala’, bukannya manusia ‘dada’, apa lagi ‘perut’”.

Huraiannya – `manusia kepala’ adalah orang yang baik, bijak dan lebih mementingkan isi daripada aspek pembungkusannya.

`Manusia dada’ – mereka yang lebih menonjolkan kekuatan fizikal, laparkan publisiti dan kekuasaan.
Dan `manusia perut’ pula lebih mementingkan nafsu serakah.

Diakui, ikut mana pun, aspek pemikiran seseorang tetap terasas dan bergantung kepada pendidikan yang kukuh, lagi mantap dari segi keilmuan.

Kembali kepada klasik, cara didikan lama orang tua kita. Yang paling utama dan mustahak berkisar dari soal penjagaan sahsiah dan adab. Selamat Tahun Baharu 2025. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN