TIGA perkataan ini delusi, ilusi dan amnesia selalunya dikaitkan dengan individu yang mempunyai masalah mental.
Mereka yang dikaitkan dengan tiga perkara ini biasanya akan hidup dalam dunia sendiri tanpa memperdulikan apa berlaku kepada orang lain. Iaitu sama ada dunia khayalan atau imaginasi atau dunia yang hanya ada mereka sendirian tanpa mempedulikan persekitaran atau kelompok di keliling.
Ilusi adalah persepsi yang salah tentang realiti sebenar ataupun mengiktiraf perkara yang samar-samar. Khayalan pula adalah kepercayaan terhadap realiti yang tidak wujud.
Kadang kala delusi ini adalah hasil daripada kepercayaan seseorang terhadap sesuatu yang disampaikan tanpa usul periksa, hingga menjadi pegangan sambil mempercayai itu adalah realiti.
Elemen delusi, ilusi dan amnesia ini bukan sekadar berlaku kepada individu, tetapi juga kepada organisasi dan pemimpin politik.
Ahli falsafah terkenal India, Sri Adi Sankaracharya pernah berkata bahawa politik adalah duniawi dan boleh diistilahkan sebagai ilusi.
Katanya, apabila orang ramai termasuk pemimpin tenggelam dalam ilusi ini, mereka yang tidak percaya dengan ilusi dan cuba berpolitik dengan cara yang betul terpaksa berperang dengan mereka yang tenggelam dalam khayalan dan persepsi yang salah.
Satu perkataan yang akan memburukkan situasi golongan yang tenggelam dalam delusi, ilusi dan amnesia ini adalah bongkak atau arrogant. Apa pula kaitannya dengan pemimpin dan parti politik?
Berdasarkan kepada suara-suara di akar umbi, ada yang bimbang para pemimpin politik di negara ini mula berdelusi dan ilusi pada masa sama menjadi bongkak disebabkan amnesia.
Ini bukan ditujukan kepada satu parti tertentu sahaja. Tetapi beberapa parti sama ada yang mempunyai kuasa, memiliki sedikit kuasa atau hanya menumpang kuasa orang lain.
Parti yang kalah dalam pilihan raya umum lalu misalnya, lupa yang mereka sebenarnya sudah tidak ada kuasa semata-mata kerana kini dibenarkan menumpang sedikit kuasa dalam kerajaan.
Mereka ini lupa bahawa kuasa yang sedikit itu boleh hilang sekelip mata jika pakatan itu berubah. Mereka mungkin sedar, tetapi disebabkan delusi dan ilusi mereka mengketepikan faktor bahawa dengan hidup menumpang kuasa orang lain itu, kemungkinan mereka akan hilang kuasa selama-lamanya boleh berlaku.
Kerana dibelenggu delusi dan ilusi ini pemimpin merasakan apa yang mereka buat itu betul. Mereka kini ada kuasa. Ada jawatan dan kerajaan malah diberikan beberapa jawatan lain yang penting hingga lupa bahawa kedudukan partinya ibarat telur di hujung tanduk tanpa ada asas yang kuat untuk berpijak dan mungkin akan tersingkir pada pilihan raya akan datang.
Mereka mempercayai perkara yang jelas salah dan yakin dengan kepercayaan tersebut hingga tidak boleh ditegur atau menerima pandangan lain.
Di sinilah munculnya arrogant untuk mempertahankan apa juga keputusan yang dibuat berdasarkan delusi dan ilusi itu yang mana satu hari mereka akan hanya hidup dalam amnesia dengan mengkhayalkan kejayaan masa lalu.
Kadang-kadang disebabkan delusi dan ilusi ini juga para pemimpin lupa akan apa yang mereka pernah cakapkan sebelum ini. Apa janji-janji yang telah ditabur untuk mendapatkan kuasa.
Mereka menjadi khayal di puncak kuasa hingga menidakkan apa yang sepatutnya orang bawahan dapat berdasarkan kepada janji-janji yang pernah ditaburkan.
Ini semua disebabkan politik kita dibelenggu oleh delusi, ilusi dan amnesia. Hingga mereka yang berada ditampuk kuasa kadang-kadang terlupa bagaimana mereka mendapat kuasa itu dan apa cara yang digunakan semasa mereka berusaha mendapatkan sokongan rakyat bagi mengangkat mereka di takhta kuasa.
Yang tiada kuasa pula lupa kenapa mereka jadi seperti itu gara-gara diberikan sedikit talian hayat untuk meneruskan kehidupan berpolitik dalam kerajaan. Hingga tidak sedar masa depan organisasinya kini masih tidak jelas dan akar semakin mereput merapuhkan kekuatan yang masih tersisa.
Ada satu kumpulan lagi yang cukup berpuas hati dengan apa yang ada. Bagi mereka menjadi kerajaan kepada kelompok yang kecil sudah diibaratkan menguasai sebuah negara.
Mereka tenggelam angan dan khayalan memerintah kelompok yang kecil itu hingga lupa untuk mencaturkan perkara yang lebih besar dan yang lebih penting.
Mereka dibelenggu oleh dinding-dinding delusi dan ilusi yang mengatakan inilah kejayaan optimum mereka. Cukup dengan apa yang dimiliki dan tidak perlu lagi berusaha lebih kerana apa yang dimiliki sekarang melebihi daripada apa yang diangankan.
Ini semua menimbulkan persoalan siapa yang rakyat harus percaya dan berpaut pada masa akan datang? Siapa yang harus mereka yakini mampu memimpin negara ke arah yang lebih baik pada masa akan datang? Siapa, kumpulan mana yang mampu memberikan kehidupan yang lebih kepada mereka?
Jika para pemimpin terus bersikap bongkak kerana dibelenggu delusi dan ilusi sukar untuk rakyat mencari satu entiti, satu kumpulan, satu parti yang benar-benar mampu meneraju negara pada pilihan raya akan datang.
Jika ada yang menang sekali pun selepas ini, mereka sekadar mengisi kekosongan yang ada untuk terus berkhayal dan bermimpi tanpa mempedulikan realiti yang dialami oleh rakyat dan negara.
Imam al-Ghazali berkata, khayalan dan angan-angan akan mendorong seseorang melakukan empat perkara termasuk tidak setia, hilang amanah, tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










