DALAM cerpen “Bapa Krismas” (Mingguan Malaysia, 26 Disember 2004), watak seorang anak berumur enam tahun memberitahu bapanya bahawa dia sudah tahu Santa Klaus atau Bapa Krismas tidak wujud.
Malah, kanak-kanak itu menegaskan hadiah-hadiah yang diterima pada hari Krismas sebenarnya dibeli oleh ibu bapa. Cerpen itu turut saya rakam secara audio untuk dikongsi dengan orang ramai, khasnya menjelang Krismas.
Reaksi si bapa dalam cerpen itu yang sedih dan kecewa mencerminkan satu dilema yang sering dihadapi ibu bapa di seluruh dunia, terutamanya dalam tradisi yang melibatkan figura mitos seperti Santa Klaus.
Isu ini menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu pada umur berapa anak-anak patut diberitahu rahsia tentang Santa Klaus. Malah, dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia, apakah tradisi Santa Klaus masih relevan untuk diteruskan?
Dalam budaya Barat, Santa Klaus adalah figura ikonik yang melambangkan kegembiraan, kebaikan dan keajaiban perayaan Krismas. Tradisi itu juga wujud di Malaysia.
Bagi kebanyakan kanak-kanak, mempercayai kewujudan Santa Klaus adalah sebahagian daripada pengalaman magis yang tidak dapat dilupakan semasa mereka membesar.
Namun, seperti yang digambarkan dalam cerpen “Bapa Krismas”, terdapat satu titik di mana kanak-kanak mula menyedari Santa Klaus tidak wujud. Saat itu boleh menjadi pengalaman emosional bagi ibu bapa yang selama ini menjaga, memelihara dan meneruskan tradisi tersebut.
Penelitian mengenai psikologi kanak-kanak menunjukkan bahawa tahap perkembangan kognitif mereka memainkan peranan penting dalam sejauh mana mereka boleh memahami konsep seperti Santa Klaus.
Menurut Jean William Fritz Piaget, seorang ahli psikologi kanak-kanak terkenal dari Switzerland, pada usia enam tahun, kanak-kanak berada dalam tahap operasi konkrit.
Maksudnya, mereka mula melihat dunia dengan lebih realistik dan logik.
Pada usia ini, kanak-kanak lebih cenderung untuk mempersoalkan perkara yang tidak dapat mereka buktikan dengan pengalaman atau bukti nyata.
Oleh itu, tidak mengejutkan jika pada usia enam atau tujuh tahun, kanak-kanak mula meragui kewujudan Santa Klaus dan mencari penjelasan rasional daripada ibu bapa mereka, sebagaimana berlaku dalam cerpen “Bapa Krismas”.
Namun, tiada umur yang tepat untuk memberitahu anak-anak tentang rahsia Santa Klaus. Setiap kanak-kanak berkembang dengan cara yang berbeza.
Bagi sesetengah anak, mereka mungkin mula mempersoalkan Santa Klaus lebih awal, sementara yang lain mungkin terus mempercayainya sehingga usia remaja.
Oleh itu, penting bagi ibu bapa menilai tahap pemahaman dan kematangan anak mereka sebelum mendedahkan kebenaran tersebut. Perkara ini turut diakui ramai pakar dalam pelbagai artikel, buku dan jurnal yang saya baca khusus bagi penulisan rencana ini.
Pada pandangan pakar, pendekatan yang lebih lembut dan penuh kasih sayang untuk menjelaskan bahawa Santa Klaus adalah sebahagian daripada tradisi dan bukan kenyataan yang literal mungkin lebih sesuai digunakan.
Di Malaysia, sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, tradisi Santa Klaus sering dilihat sebagai sebahagian daripada perayaan Krismas yang dikaitkan dengan agama Kristian.
Walaupun Krismas adalah perayaan agama bagi umat Kristian, tradisi Santa Klaus telah diterima oleh masyarakat yang lebih luas, terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Islam, sebagai simbol kegembiraan dan pemberian hadiah.
Dalam beberapa kajian psikologi kanak-kanak, sosiologi dan budaya di Barat, tradisi Santa Klaus sering kali dipersembahkan dalam konteks yang lebih sekular.
Sebagai contoh, dalam banyak negara, terutama di Barat, Santa Klaus dilihat bukan sahaja sebagai figura agama tetapi juga sebagai simbol kegembiraan pada musim sejuk, pemberian hadiah dan kebersamaan.
Dalam konteks ini, tradisi Santa Klaus mungkin lebih diterima sebagai sebahagian daripada tradisi budaya atau perayaan bermotif perniagaan yang tidak berhubung langsung dengan ajaran agama.
Oleh itu, pada pandangan saya, tradisi ini boleh diteruskan dalam masyarakat bukan Islam jika ia dilihat dari sudut budaya dan keseronokan perayaan tanpa melibatkan unsur-unsur keagamaan yang sensitif.
Beberapa pengkaji sosiologi dan psikologi berpendapat bahawa memelihara tradisi Santa Klaus, terutamanya dalam konteks yang lebih sekular, boleh membantu membina suasana kebersamaan dalam masyarakat.
Christopher N. M. Lewis, dalam kajian pengaruh budaya popular menyatakan, tradisi seperti Santa Klaus boleh menjadi satu cara memupuk rasa kegembiraan dan keterikatan sosial, terutamanya dalam komuniti yang berbilang agama dan etnik.
Dengan memberi tumpuan kepada aspek pemberian hadiah dan kebersamaan, Santa Klaus boleh dilihat sebagai simbol kesatuan tanpa mengira latar belakang budaya. Perkara ini pasti lebih nyata dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Namun, dalam konteks Malaysia, penting juga mengambil kira kepekaan budaya dan agama masyarakat pelbagai kaum.
Apa-apa pun, selagi tidak melanggar undang-undang dan Perlembagaan, tentulah hak mempraktikkan tradisi Santa Klaus bukan masalah kepada sesiapa.
Isu mengenai bilakah anak-anak patut diberitahu tentang Santa Klaus dan asal usul tradisi ini dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah persoalan yang melibatkan aspek psikologi kanak-kanak dan sensitiviti budaya.
Pada usia enam hingga tujuh tahun, anak-anak mula memahami realiti dunia secara lebih logikal, ini adalah waktu yang wajar untuk mereka diberitahu bahawa Santa Klaus adalah sebahagian daripada tradisi.
Namun, dalam konteks masyarakat Malaysia yang pelbagai, tradisi Santa Klaus perlu dilihat dari perspektif budaya dan bukan agama. Tradisi itu boleh diteruskan dengan berhati-hati untuk memastikan tidak menyinggung sensitiviti kaum dan agama lain.
Dengan pendekatan yang inklusif dan penuh penghormatan terhadap kepelbagaian budaya, tradisi Santa Klaus boleh menjadi satu cara memupuk rasa kebersamaan dalam masyarakat Malaysia berbilang kaum. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










