IPG, Felda perlu bantu jayakan TVET dalam industri kelapa sawit

IPG, Felda perlu bantu jayakan TVET dalam industri kelapa sawit

HARGA minyak sawit mentah dijangka berlegar pada RM4,750 pada November 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini menteri perladangan dan komoditi mencadangkan untuk memasukkan atau menggabungkan kaedah memetik buah kelapa sawit dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyelesaikan masalah kekurangan pekerja. Menurut beliau, akibat daripada kaedah memetik buah kelapa sawit masa kini yang kurang cekap menyebabkan kerugian berbilion ringgit. Ladang kelapa sawit yang melebihi 5.6 juta hektar memerlukan penuai yang profesional dan menggunakan teknologi tinggi.

Idea ini sebenarnya telah lama difikirkan oleh banyak pihak termasuk agensi kerajaan berkenaan, pihak industri dan institusi penyelidikan. Ada universiti yang telah menjalankan penyelidikan bersama agensi kerajaan dan swasta, namun kebanyakan penyelidikan masih di peringkat asas atau penyesuaian dari produk asal dan tidak menyeluruh. Semua penyelidik ini mesti dikenal pasti, dipantau dan dibantu dalam penambahbaikan penemuan atau inovasi mereka.

Ada penemuan hasil kerja pelajar yang tertangguh atau terbengkalai apabila pelajar itu menerima ijazah. Projek yang baik perlu dikenal pasti segera dan membawa mereka bersama industri bagi meneruskan idea dan projek yang boleh dimanfaatkan. Gabungan kepakaran dan bantuan kewangan yang cukup perlu bagi menghasilkan teknologi yang terbaik.

Sebagai contoh, satu teknik mengutip buah kelapa sawit terlerai telah dicipta oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia lebih suku abad lalu. Sehingga kini, masih tiada pembangunan dan inovasi yang berkesan akibat daripada tidak diberikan tumpuan serius. Inovasi itu mungkin boleh ditambah baik dengan teknologi penderia dan kecerdikan buatan.

Buah kelapa sawit yang gugur di bawah pokok merupakan petunjuk di mana tandan buah sudah boleh dituai. Buah terlerai juga berlaku semasa tandan buah jatuh. Sudah sekian lama buah terlerai yang mempunyai peratusan minyak tinggi ini masih dikutip secara tradisional walaupun ada peralatan yang sudah lama dicipta.

Banyak lagi contoh dalam proses memetik buah kelapa sawit, mengumpulkan dan membawa ke kilang untuk diproses mendapatkan minyak tidak dibangunkan secara cekap dan berkesan. Akhirnya proses penuaian buah kelapa sawit tidak dapat memaksimumkan keuntungan dan masih memerlukan banyak tenaga manusia. Begitu juga dengan proses membaja, meracun dan membersihkan kawasan. Semua data yang tepat berkaitan aktiviti di ladang dan di kilang perlu bagi memastikan keuntungan maksimum dan berdaya saing.

Penggunaan robot yang dilengkapkan dengan sistem penderia, internet dan kecerdasan buatan adalah antara kaedah penyelesaian yang baik. Untuk menjayakan ini, pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) akan menjadi aliran baharu bagi menyokong program TVET yang sedia ada.

Proses pembangunan bakat mengambil masa yang lama, daripada memberikan kesedaran, membangunkan minat dan melatih bakat di samping penyelidikan yang berterusan. Program TVET memerlukan perancangan strategik daripada sekolah hingga ke universiti atau institut latihan. Perancangan yang baik dan berkesan melibatkan pembangunan kurikulum, jurulatih dan infrastruktur serta peruntukan kewangan dan pengurusan yang cekap amat diperlukan.

Dasar TVET Negara 2030 sangat suntuk untuk dicapai bagi melahirkan pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Pelaksanaan yang bersungguh-sungguh diperlukan seperti termaktub dalam panduan program TVET awam dan swasta bersama 12 kementerian lain berkaitan TVET serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan keterangkumannya.

Program TVET berkaitan industri kelapa sawit sangat mendesak memandangkan pengurusan ladang kelapa sawit yang sangat kompleks dari segi muka bumi, keluasan ladang dan kemahiran pekerja. Proses mengenal pasti pakar yang aktif di institusi penyelidikan dan universiti mesti disegerakan dan dibantu dengan peruntukan kewangan dan kerjasama dengan pihak industri. Penemuan baharu di universiti tidak sekadar menghasilkan pelajar dan kertas kerja saintifik tetapi mesti diakhiri dengan penggunaan di ladang. Latihan berfokus melibatkan komuniti Felda misalnya boleh membantu mencapai matlamat kerajaan.

Pada tahun 2022, sektor kelapa sawit dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM20 bilion akibat kekurangan pekerja. Justeru itu di zaman IR 4.0, industri perladangan kelapa sawit mesti ke arah teknologi tinggi dengan penggunaan penderia untuk kejituan, automatik serta menggunakan sistem robot untuk pemantauan, penuaian dan lain-lain perkhidmatan perladangan.

Pengenalan kepada robot boleh menjadikan pengajaran dan pembelajaran menarik dalam sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan kemahiran pengaturcaraan komputer. Melalui robot, pelajar dapat membangunkan asas kognitif dan matematik yang merentas disiplin kejuruteraan, dan sains termasuk kejuruteraan mekanikal, elektronik, maklumat, sains komputer dan lain-lain. Ciptaan atau inovasi robot boleh menghasilkan mesin yang pintar.

Memandangkan kelapa sawit merupakan pendapatan utama negara, penyelidikan pembangunan dan inovasi berkaitan pengurusan ladang hinggalah efluen kilang perlu diteruskan dengan dana yang lebih besar, berfokus dan bersepadu. Pendekatan STIE akan menggalakkan pembangunan teknologi dan inovasi dari segi mudah, cekap dan menguntungkan di samping mewujudkan usahawan moden.

Pengumuman Menteri Pendidikan baru-baru ini tentang pembangunan Hab STEM di 27 kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) boleh menjadi pelengkap kepada program TVET negara. Melalui kelengkapan makmal sains, ruang bengkel teknologi, bilik komputer, dan peralatan relevan seperti robotik, kit elektronik serta pencetak 3D di IPG dapat dimanfaatkan oleh guru-guru STEM dan TVET dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi. Sekolah yang sesuai di kawasan Felda boleh di jadikan Hab STEM dan TVET dibawah penyeliaan IPG. – UTUSAN

AHMAD Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN