'Saya cuba, tapi dihalau lagi' - Utusan Malaysia

‘Saya cuba, tapi dihalau lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MASIH ingat lagi ahli Parlimen pembangkang membaca Qunut Nazilah selepas Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Machang, WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL, daripada hadir mesyuarat selama enam bulan pada Julai lalu?

Tekanan tidak berakhir di situ, beliau terus diuji dengan larangan berada di galeri awam dan tempat pegawai bertugas. Apa pun alasan pejabat Dewan Rakyat, katanya, segala tekanan datang bertubi-tubi kerana kerajaan mahu menutup mulutnya daripada terus bersuara ketika beliau sudah tidak boleh lagi berbahas.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, jurugambar, FARIZWAN HASBULLAH dan juruvideo, FARIS IDERIS di Parlimen, baru-baru ini, beliau turut mengkritik institusi Parlimen dan berkongsi tentang pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ini.

MINGGUAN Malaysia: Yang Berhormat (YB) menerima arahan dan surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang melarang mengikuti sidang dari galeri awam Dewan Rakyat. Boleh imbas kembali?

WAN AHMAD FAYHSAL: Ketika hari pertama mesyuarat Dewan Rakyat berlangsung, saya ditegur oleh bentara supaya keluar dari tempat duduk pegawai dan petugas di blok ahli Parlimen pembangkang di dalam Dewan. Semasa bentara menegur, saya tanya, mana surat?

Saya tidak boleh mengikut peraturan ini tanpa arahan bertulis. Kemudian, pada 15 Oktober lalu, surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat sampai kepada saya menyatakan larangan berada di galeri awam (tempat pelawat mengikuti sidang Parlimen) dan tempat duduk pegawai yang bertugas.

Usul yang menggantung saya selama enam bulan sebelum ini hanya mengehadkan saya daripada penyertaan di dalam mesyuarat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Khas Parlimen. Kedua-dua perkara ini adalah aktiviti utama saya sebagai ahli Parlimen. Namun, tiada pun di dalam usul itu yang membatasi keberadaan saya di Parlimen termasuk di galeri awam dan tempat duduk pegawai di belakang blok ahli Parlimen pembangkang.

Sudah hantar surat balas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat?

Belum lagi. Surat rasmi sedang proses tetapi tunggu dahulu perkara ini dibangkitkan semula oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Penggantungan terhadap YB menjejas operasi kerja?

Walaupun saya digantung daripada bersidang, tetapi ini tidak sesekali menjejaskan saya. Saya tidak pernah berhenti daripada bersuara tentang masalah rakyat. Saya pun masih mengadakan sidang akhbar di pusat media Parlimen dan saya akan menggunakan segala kemudahan di Parlimen ini demi membantu rakyat dan negara.

KENA HALAU LAGI
Jika YB ke galeri awam sekali lagi masih dilarang?

Semalam (Selasa) saya cuba, tetapi saya dihalau lagi oleh bentara. Apabila saya duduk di tempat petugas di blok pembangkang bersama pegawai lain, bentara mengiringi saya keluar Dewan Rakyat. Saya faham yang bentara hanya mengikut arahan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Sebab itu saya bangkitkan, di manakah logik dan merit saya dilarang berada di sana? Apakah taraf saya ini lebih rendah berbanding pelawat-pelawat hadir ke Parlimen? Apakah saya ini ancaman? Walaupun saya sedang digantung, namun, jika ada perbahasan menyentuh tentang negeri dan kawasan saya, saya boleh memberi maklum balas, memberi soalan, isyarat dan jawapan kepada ahli Parlimen pembangkang lain yang berbahas.

Itulah peranan saya mainkan semasa tempoh penggantungan ini. Adakah ia salah? Oleh itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti jelaskan alasan mengapa saya tidak boleh berada di kawasan berkenaan?

PARLIMEN DALAM
CENGKAMAN EKSEKUTIF
Disebabkan tekanan YB hadapi, apakah wujud cengkaman atau kawalan Eksekutif?

Mengikut konvensyen terdahulu, urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat mendahulukan Eksekutif. Cuma, yang berlaku hari ini, ‘ketimbang’ (berbanding) (menyebut secara sinis ekoran terma digunakan perdana menteri) dahulu, apa yang dilakukan nampaknya banyak perkara yang pembangkang sendiri persoal beberapa kali bagaimana urusan mesyuarat ini dikendali oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat?

Contohnya, di celah (peraturan) mana mewajibkan ahli Parlimen menjalankan pemeriksaan kesihatan? Itu sepatutnya cadangan sahaja, tidak boleh menjadi kewajiban. Banyak lagi perkara jika diteliti satu-satu boleh dipersoal apa Yang Dipertua Dewan Rakyat lakukan? Pembangkang hanya mahu semak dan imbang di dalam Parlimen, jadi, kami berharap Parlimen memberi penerangan wajar dan rakyat juga mahu tahu.

‘KERAJAAN TUTUP MULUT SAYA’
YB masih tidak menjawab soalan. Benarkah wujud pengaruh Eksekutif susulan tindakan dikenakan terhadap YB? Ada agenda politik?

Sudah tentulah penggantungan saya ini adalah campur tangan Eksekutif. Usul yang dibawa oleh menteri undang-undang untuk memastikan saya disenyapkan selama enam bulan. Apakah kerajaan bimbang jika saya ‘bising’ dalam Dewan, urus niaga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan gagal? Ini mungkin sebab utama mengapa saya didiamkan.

Antara kesalahan utama menggantung seseorang ahli Parlimen ialah menyanggah Yang Dipertua Dewan Rakyat. Berbeza dengan ahli Parlimen lain yang digantung dan sekurang-kurangnya mereka dipanggil ke peringkat jawatankuasa khas untuk membela diri. Tetapi, hanya saya seorang yang kena dan tidak dibenarkan mempertahan diri hanya kerana menggunakan dokumen melibatkan isu MAHB untuk disiasat. Jadi, institusi Parlimen dan kerajaan sudah menafikan hak keadilan. Sungguh ironi.

Ini termasuk larangan baharu terhadap YB lah?

Ya. Maksudnya, tekanan-tekanan ini saya syak ada pihak lebih atas yang tidak suka saya dilihat di dalam Dewan Rakyat dan mempengaruhi persidangan. Ahli-ahli Parlimen pembangkang lain pun mempersoal peraturan secara tiba-tiba diwujudkan ini. Pembangkang melihat tindakan ini berlebihan-lebihan dan membelakangi prinsip demokrasi berparlimen.

INSTITUSI PARLIMEN DAMBA REFORMASI
Parlimen Malaysia tidak bebas?

Parlimen hari ini masih mendambakan reformasi yang jujur dari kerajaan. Mereka sendiri melaungkan slogan reformasi institusi, tetapi, yang berlaku khususnya pengkhianatan enam ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan menyokong kerajaan.

Ini adalah satu penghinaan terhadap institusi Parlimen apabila kami sudah melakukan semampu mungkin daripada undang-undang untuk mengosongkan kerusi, tetapi, Yang Dipertua menolak atas alasan yang menurut pembangkang khilaf dan lemah.

‘SPEAKER’ KADANG-KADANG ADIL, TIDAK ADIL
YB menerima cara-cara Tan Sri Johari Abdul dalam Dewan Rakyat?

Ada masanya beliau adil, adakalanya kami mempersoal kredibilitinya dalam menguruskan majlis mesyuarat. Contohnya, mengapa hadkan jawapan atau soalan untuk pembangkang dan lebih kepada backbenchers sedangkan soalan mereka tidak ‘menyengat’ seperti soalan kami?
Rakyat mahu semak dan imbang Parlimen harus diperkasa. Tetapi, kami disekat dengan mengehadkan peluang dalam perbahasan dan soal jawab.

Kebanyakan YB dan wakil rakyat pembangkang lain dilayan adil?
Belum adil sepenuhnya dan kami menuntut perkara ini dilakukan melalui reformasi institusi Parlimen khususnya melibatkan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen.

PEMILIHAN BERSATU 2024

Pemilihan kali ini tidak semeriah yang kami lalui pada 2020 ketika kami menerajui kerajaan Persekutuan. Tetapi, ini masih menunjukkan Bersatu adalah parti yang rakyat masih berminat menyertai dan terlibat sebagai pemimpin. Jadi, penyertaan yang aktif dalam kalangan ahli Bersatu yang mahu bertanding di semua peringkat cawangan, bahagian dan nasional menunjukkan Bersatu ada masa hadapan yang baik dan cerah.

Apa YB tawarkan kepada rakyat?

Semua sudah maklum saya bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Sebagai bakal bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), saya membawa legasi pengalaman bersama parti dan sayap Pemuda untuk membantu kepimpinan baharu mempersiap jentera Pemuda mendepani siri pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) nanti.

Pencapaian YB selama menyandang jawatan Ketua Armada Bersatu?

Sepanjang empat tahun ini saya berjaya menyatukan semula sayap Armada dan hal ini sudah disahkan oleh ramai perwakilan dan ahli Armada. Ketika saya menawarkan diri bertanding jawatan ini, waktu itu berlaku pergeseran tajam antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Exco Armada, Muzammil Ismail. Apabila saya masuk sebagai kuasa ketiga dan timbalan menteri, Syed Saddiq digantung kerana tidak menyokong parti dalam Parlimen.
Saya juga melahirkan ramai wakil rakyat Armada di zaman Perikatan Nasional (PN) memerintah, tetapi, ini bukan jasa saya seorang sahaja. Sebaliknya, hikmah kebijaksanaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi laluan dan peluang kepada calon-calon muda bertanding dan menang pilihan raya.

SEPAK TERAJANG POLITIK
YB berasa cukup ‘bertaring’ kah?

Saya sudah melalui sepak terajang politik sepanjang empat tahun dalam Armada dan sebagai ahli Parlimen muda. Saya dimaki, dipuji, dikhianati, ini semua asam garam sudah saya lalui. Dengan pengalaman ini mengajar saya menjadi lebih berhati-hati dan matang.

Berapa lama lagi masa diambil bagi mengukuhkan Bersatu di arena politik negara ketika usia Bersatu baharu lapan tahun? Ini merujuk kepada dakwaan yang parti gagal membentuk naratif dan tiada dasar jelas?

Di usia lapan tahun Bersatu ini dikira amat muda, tetapi, kami sudah melahirkan dua perdana menteri semasa mentadbir kerajaan Persekutuan dan ini pencapaian yang baik. PKR yang sudah berjuang lebih 20 tahun pun baharu melahirkan seorang perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Tetapi, kalau inilah ukurannya, tidak patut kita jadikan sandaran untuk Bersatu ke hadapan. Ada cabaran lebih besar menanti di garis masa hadapan.

Maksud YB?

Sekarang Bersatu berdepan persoalan tentang kelangsungan parti menyaksikan Bersatu adalah parti politik paling kuat menerima tekanan daripada kerajaan Madani. Akaun parti dibeku, presiden dikenakan pertuduhan bermotif politik di mahkamah, malah ahli Parlimen kami juga‘dicuri’, dirasuah sehingga menyokong kerajaan.

Penganalisis politik yang duduk di menara gading juga mengeluarkan kritikan yang jelas dan tidak jelas kerana mereka tidak duduk di kerusi kami. Tetapi, saya menerimanya sebagai asas memperbaiki parti. Saya yakin, selepas pemilihan parti, kami akan ada barisan kepimpinan baharu, mencorak masa hadapan parti dan sama ada kami boleh hidup atau mati selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

ARMADA BERSATU vs ARMADA BERSATU
Dikatakan Ketua Pemuda UMNO lebih lantang dan berani berbanding YB dalam memperjuang isu melibatkan Islam dan Melayu. Betulkah?

Saya dengan beliau jelas sekali berbeza dari segi latar belakang, umur, karakter dan sebagainya. Mungkin kami berdua berkongsi ideologi yang sama sebagai nasionalis Melayu Islam. Tetapi, kami tidak bersaing sesama sendiri dan secara terus. Jadi, beliau ada kelebihan sendiri, begitu juga saya.

Tiada siapa dapat menafikan kelantangan saya dalam isu BlackRock sehingga saya digantung daripada bersidang. Ini adalah isu nasional dan beliau lebih memainkan isu perkauman dan agama yang bagi saya bukanlah sepenuhnya bermasalah, tetapi, saya dan rakan-rakan pemuda PN dan Pas, kami ada mekanisme tersendiri.

Bukan semua perkara dipolitikkan yang boleh membahayakan masyarakat contohnya rusuhan kaum. Setiap tutur kata dan pergerakan kami boleh menentukan kestabilan dan kemakmuran negara. Jika saya terlampau radikal bersama Pas, mahu terbalikkah rakyat kita seperti Peristiwa 13 Mei 1969? Kami tidak mahu bermain hingga ke peringkat ini, walaupun kami boleh untuk memenuhi aspirasi politik seperti itu. Tetapi, saya yakin, ini politik cara lama yang tidak patut saya ulangi.

Benarkah Bersatu terhutang budi kerana banyak bergantung dengan kekuatan Pas?

Saya tidak menafikan majoriti kerusi Bersatu sebahagian besar hasil kerjasama kukuh dengan Pas, jadi, kebergantungan ini lebih bersifat saling melengkapi. Tetapi, ada juga kawasan yang Pas tidak bertanding di sana dan Bersatu sendiri boleh menang melawan UMNO, malah di Sabah dan Sarawak. Bersatu dan Pas saling terhutang budi kerana logo, bahan kempen, jentera adalah sumbangan besar daripada kedua-duanya.

BELANJAWAN 2025
Bagaimana belanjawan negara kali ini, menarik?

Belanjawan 2025 tidak memenuhi aspirasi golongan yang benar-benar bekerja untuk negara. Maksud saya golongan pertengahan disalah erti sebagai ‘maha kaya’, profesional, produktif, membela dan membantu menaikkan ekonomi negara menjadi golongan paling ditekan akibat belanjawan.

Banyak cukai baharu diperkenal, menarik subsidi yang memberi kesan langsung kepada gaya hidup dan kelangsungan golongan pertegangah yang majoriti mengikut penafsiran baharu kerajaan adalah ‘maha kaya’. Golongan muda pula bakal memasuki alam pekerjaan di bandar dan luar bandar akan terkesan walaupun banyak perkara akan diteruskan seperti skim tunai. Tetapi, secara keseluruhan, ini akan memberi kesan kepada anak muda yang bekerja.

TERKILAN
YB terkilan tidak terlibat berbahas usul Belanjawan 2025?
Tentulah saya terkilan kerana mesyuarat Parlimen kali ini melibatkan belanjawan negara yang paling meriah. Banyak ruang saya boleh bercakap dan berhujah. Namun, apabila saya dikekang, saya hilang peluang keemasan membawa suara Parlimen Machang dan Malaysia. Anda pun tahu, saya adalah barisan hadapan paling lantang, konsisten, hujah berisi berdepan kerajaan. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN