LONDON: Tentera Britain menaiki dan menahan sebuah kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan ‘armada bayangan’ Russia di Selat Inggeris awal pagi Ahad, kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Dalam operasi selama enam jam, anggota-anggota Komando Marin Diraja bersama sejumlah penguat kuasa terlatih daripada Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) memintas kapal berkenaan dan buat pertama kali menaikinya dengan sokongan Tentera Udara Diraja (RAF).
Menurut Kementerian Pertahanan Britain (MoD), kapal Smyrtos kini ditahan dan dipantau di perairan luar pantai selatan England ketika siasatan diteruskan.
“Operasi yang berjaya ini memberikan satu lagi tamparan kepada Russia dan mengingatkan mereka yang membantu membiayai perang Presiden, Vladimir Putin di Ukraine bahawa kami tidak akan membiarkan mereka bersembunyi,” kata Starmer.
Berdasarkan data laman penjejakan kapal MarineTraffic, Smyrtos berlayar menggunakan bendera Cameroon dan kini berlabuh berhampiran pantai Weymouth di Selat Inggeris.
Kapal itu memulakan pelayarannya dari pelabuhan Ust-Luga di Russia pada 5 Jun sebelum memasuki Selat Inggeris dari arah barat pada Sabtu.
Kapal itu dikenakan sekatan pada Julai 2025 dan sejak itu telah menukar namanya daripada Myrtos kepada Smyrtos serta menukar bendera pendaftarannya sebanyak dua kali.
Menurut MoD, Russia menggunakan armada bayangan yang terdiri daripada kapal tangki minyak bagi mengelakkan sekatan antarabangsa ke atas eksport minyaknya.
Kementerian itu berkata, armada yang merangkumi lebih 700 kapal tersebut mengangkut kira-kira 75 peratus minyak Russia yang dikenakan sekatan dan menjadi talian hayat penting kepada Kremlin.
Pada Mac lalu, Starmer mengumumkan tentera Britain kini mempunyai kuasa untuk menaiki kapal yang dikenakan sekatan ketika melalui perairan negara itu.
MoD berkata, Britain telah mengenakan sekatan terhadap lebih 500 kapal setakat ini.
Sekatan tersebut melarang kapal terbabit memasuki pelabuhan Britain ia turut menghalang syarikat dan individu negara itu daripada menyediakan perkhidmatan kewangan, insurans atau pembrokeran kepada kapal yang mengangkut minyak Russia.
Operasi itu berlaku selepas seminggu Britain dilanda peletakan jawatan beberapa pegawai kanan berhubung Pelan Pelaburan Pertahanan (DIP) kerajaan yang dijadual diterbitkan menjelang sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bulan depan selepas tertangguh sebelum ini.
Perancis sebelum ini menahan dua kapal tangki minyak di Laut Mediterranean, iaitu Deyna pada Mac dan Grinch pada Januari, sebelum kedua-duanya dibebaskan selepas menjelaskan denda.
Kapal tangki minyak Deyna yang berdaftar di bawah bendera Mozambique dan disyaki sebahagian daripada armada bayangan Rusia
Perancis turut membebaskan sebuah kapal tangki minyak, Grinch yang disyaki sebahagian daripada armada bayangan Rusia yang digunakan untuk mengelak sekatan antarabangsa, selepas pemiliknya membayar denda jutaan euro, Februari lalu. – AGENSI










