Pas tidak boleh berpakat singkirkan Bersatu

Pas tidak boleh berpakat singkirkan Bersatu

Pas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak boleh berpakat dengan mana-mana parti politik lain untuk menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Selangor, Na’im Brundage berkata, Pas juga tidak semestinya perlu keluar daripada PN selepas memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan PN sebarang keputusan besar termasuk perkara berkaitan kedudukan atau tindakan terhadap parti anggota, perlu dibuat melalui Majlis Presiden PN.

Jelasnya, Majlis Presiden dianggotai oleh semua presiden parti anggota dan keputusan majlis itu perlu dibuat secara konsensus, bukan secara majoriti mudah.

“Oleh itu, tiada parti anggota PN boleh dibuang atau disingkirkan tanpa persetujuan semua presiden parti anggota, termasuk presiden parti anggota yang ingin disingkirkan itu (Bersatu).

“Secara realistik daripada sudut politik, amat sukar untuk Pas dan Bersatu terus bekerjasama dalam rangka PN jika hubungan politik antara kedua-dua parti itu telah terputus.

“Pas perlu segera menjelaskan kedudukannya dalam PN kerana Pas sendiri yang memilih untuk menghentikan hubungan politik dengan Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Status PN menjadi tanda tanya selepas Pas bertindak memutuskan kerjasama politiknya dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta, namun tidak membabitkan PN.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan memandangkan kedua-dua parti merupakan pengasas kepada gabungan itu sejak Ogos 2020, sebelum disertai Gerakan pada Februari 2021 dan diikuti MIPP pada April 2024.

Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan Gerakan dan MIPP bagi membincangkan kedudukan semasa parti itu dalam PN, minggu ini.

Disoal sama ada PN adalah milik Bersatu atau Pas, Na’im berkata, perikatan itu bukan hak milik mana-mana parti politik secara individu.

Jelasnya, Perlembagaan PN juga tidak menyatakan secara spesifik tentang ‘pengasas’ perikatan itu.

“PN bukan milik Pas atau Bersatu. PN ialah sebuah gabungan parti politik dan bukan hak milik mana-mana parti politik secara individu.

“Komposisi parti anggota PN terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP. Oleh itu, boleh dikatakan PN adalah milik bersama parti-parti anggota ini, tertakluk kepada Perlembagaan PN.

“Perlembagaan PN tidak menyebut secara khusus istilah ‘pengasas’. Namun, berdasarkan sejarah penubuhan PN pada Ogos 2020, Pas dan Bersatu adalah antara parti utama yang terlibat dalam pembentukan dan pendaftaran PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN