PADANG BESAR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Penggantungan itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, yang berkata surat berhubung tindakan berkenaan sudah dikeluarkan minggu lalu.
Bagaimanapun, Izizam menafikan beliau terbabit dalam penyebaran surat penggantungan yang tular di media sosial sejak kelmarin.
“Ya betul, surat dikeluarkan minggu lepas lagi, tetapi bukan saya yang tularkan. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan Bersatu Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan dan memaklumkan keputusan penggantungan keahlian Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar.
Menurut surat berkenaan, Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada 13 Oktober lalu memutuskan untuk menggantung hak keahlian Abu Bakar di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU bagi tempoh dua penggal pemilihan parti.
Tindakan itu didakwa diambil berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Susulan keputusan itu, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan dipegang dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama BERSATU sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.
Bagaimanapun, notis itu menyatakan Abu Bakar masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk membela diri dan mendapatkan pertimbangan lanjut.











