Hentikan kezaliman, minggu orientasi bukan platform buli

Hentikan kezaliman, minggu orientasi bukan platform buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini isu buli suai (ragging) ketika program orientasi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sekali lagi menjadi tajuk perbualan hangat.

Hal ini bukan sekadar panas diperkatakan dalam kalangan pelajar IPT, tetapi turut mendapat perhatian warga maya di media sosial.

Amat menyedihkan apabila pada zaman kecerdasan buatan (AI) ini pun, masih ada di antara kita yang belum mampu memerdekakan pemikiran masing-masing daripada dibelenggu budaya buli suai.

Ke mana perginya akhlak dan tatasusila kita? Adakah tindakan sebegini melambangkan nilai intelektual yang sering diangkat tatkala berbicara soal pemikiran mahasiswa?

Seperti biasa, apabila sesuatu isu menjadi tular di media sosial, masing-masing akan berkongsi pengalaman.

Lazimnya, setelah itu, akan timbul pula perdebatan antara warga maya tentang apa yang diperkatakan.

Rentetan itu, timbullah persoalan, adakah program orientasi masih relevan dan diperlukan hari ini? Atau adakah ia sekadar acara syok sendiri, hanya membazir waktu dan duit universiti?

Bagi saya, dalam menilai hal ini, perkara paling penting yang harus diambil kira ialah tujuan mereka menganjurkan program orientasi.

Jika tujuannya tidak jelas dan dianjurkan hanya sekadar kerana mengikut trend, maka jadilah ia sebuah program syok sendiri yang tidak bermanfaat, walaupun tanpa wujudnya unsur buli suai.

Jika matlamatnya baik, kita harus memastikan kerangka program dan cara pelaksanaannya juga tepat dan berkesan agar dapat mencapai matlamat yang mahu dituju.

Pun begitu, perancangan yang baik dan teliti semata-mata, jika tidak disertakan usaha bersungguh-sungguh juga tidak akan membuahkan kejayaan.

Sudah tentulah, matlamat yang baik tidak mungkin dicapai jika kita memilih cara yang salah.

Saya bersyukur kerana masalah sebegini tidak kedengaran di universiti tempat saya menuntut ilmu.

Malah, program orientasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kami panggil sebagai Minggu Taaruf ialah satu program penting yang amat besar maknanya kepada warga universiti.

Maka, semua acara sepanjang minggu tersebut dirancang teliti dan dilaksanakan secara profesional dengan turut melibatkan pihak pengurusan universiti secara serius.

Mungkin tradisi universiti kami berlainan dan program orientasi berjalan dengan tertib tanpa adanya seloroh, tingkah laku kasar atau menjerit-jerit di dalam dewan.

Malah, para pemudah cara mesti mematuhi protokol yang ketat semasa bertugas. Namun, tentu sahaja ada pelajar yang tidak berpuas hati dengan jadual padat dan peraturan yang ditetapkan.

Bagi kebanyakan pelajar, pengalaman melangkah masuk ke IPT ibarat melangkah ke dunia baharu yang sangat berbeza.

Realitinya, perjalanan dan cabaran hidup di universiti tidak serupa berbanding kehidupan di sekolah, waima di sekolah berasrama penuh sekali pun.

Mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam suasana baharu, yang mungkin berlainan daripada apa yang diangankan.

Pelaksanaan program orientasi bertujuan menyambut kedatangan pelajar baharu serta memperkenalkan pelbagai perkara penting yang perlu mereka ketahui.

Ia merangkumi hal-hal berkaitan akademik, sosial serta peraturan universiti.

Justeru, perhatian serta penglibatan mereka dalam setiap aktiviti yang dirancang sangat penting bagi memudahkan urusan di universiti kelak.

IPT harus menentukan kriteria yang tepat dalam pemilihan pemudah cara. Mereka harus melalui latihan intensif bagi memastikan persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Justeru, jika semuanya dirangka dengan betul dan dilaksanakan secara profesional, maka program orientasi akan menjadi kenangan manis buat mahasiswa selain tidak akan timbul soal buli suai.

Mungkin umum hanya melihat di sudut kekasaran dari pihak pemudah cara tanpa melihat cabaran yang terpaksa mereka tempuhi.

Pengalaman ketika bertugas semasa program orientasi tatkala menuntut di Pusat Asasi UIAM di Gambang membuka mata saya akan cabaran yang tidak terduga yang harus kami ditempuhi.

Sebenarnya, tugas pemudah cara bukanlah mudah. Adakalanya kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku serta permintaan yang memeningkan di luar skop tugas dan tanggungjawab kami.

Maka, di sinilah perlunya kebijaksanaan dan persediaan diri sebelum menggalas tanggungjawab ini.

Bagi saya, pelajar IPT harus mampu membezakan mana yang baik dan mana yang salah.

Usah kita bercakap soal idea, perubahan besar dan hebat yang boleh dibawa oleh mahasiswa jika kita masih merasa seronok menindas orang lain.

Jangan terbawa-bawa sikap buruk yang akhirnya hanya akan menjatuhkan maruah kita sendiri serta universiti selaku tempat menuntut ilmu.

PROGRAM orientasi institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan menyambut kedatangan pelajar baharu serta memperkenalkan pelbagai perkara penting yang perlu mereka ketahui sepanjang menuntut di universiti.

 

 

FIKIR WARAS, BUKAN BALAS DENDAM
Ada yang berkata amalan buli suai berterusan kerana tindak balas pelajar akibat apa yang telah mereka lalui dahulu. Namun, kita harus belajar untuk berfikir secara waras dan tidak menyimpan dendam.

Adakah betul, adil dan munasabah tindakan kita jika menyakiti orang lain hanya kerana pernah diperlakukan sedemikian?

Malah, apakah keuntungan yang peroleh daripada perbuatan kita itu?

Jika merasa puas dan gembira kerana dapat mempersendakan, mengejek atau berkelakuan buruk terhadap orang lain, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita.

Perkara salah biarpun dilakukan berkali-kali tetap akan salah dan tidak akan menjadi betul.

Kebijaksanaan lahir daripada keupayaan kita menggunakan akal dengan betul dan bukannya secara songsang. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Maka, kita harus berusaha menanam rasa bertanggungjawab dalam diri dan tidak bertindak mengikut nafsu.

Jika dengan kuasa yang tidak seberapa pun sanggup menindas orang lain, apakah tindakan kita jika suatu masa nanti mendapat kuasa yang lebih besar? Hentikan kezaliman.

Bersama-samalah kita menumpukan usaha untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN