SUDAH hampir sebulan negara digemparkan dengan isu melibatkan sebuah entiti perniagaan, GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) atas pelbagai dakwaan melibatkan eksploitasi kanak-kanak, agama Islam, penyebaran serta pengamalan ajaran menyeleweng selepas beberapa siri pendedahan yang dibuat oleh pelbagai pihak.
Namun apa yang menarik perhatian saya adalah berkaitan keperluan penyeragaman fatwa berkait ajaran dibawa pengikut dan ahli GISBH yang dipercayai merupakan saki-baki dan penyambung legasi kumpulan Al-Arqam pimpinan Ashaari Muhammad. Ajaran tersebut difatwa sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 1994.
Perkara 74(2) dan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua perkara berkaitan agama Islam dan hukum syarak adalah di bawah bidang kuasa negeri, termasuk hal ehwal kefatwaan. Oleh kerana pengurusan fatwa diuruskan oleh setiap negeri, banyak fatwa yang diputuskan berbeza antara satu negeri dengan negeri lain.
Beberapa hukum dan fatwa tertentu juga mungkin hanya dikeluarkan oleh satu negeri dan tidak di negeri lain kerana isu tersebut adalah khusus kepada negeri berkenaan.
Walaupun begitu, usaha penyelarasan fatwa terus digiatkan melalui penubuhan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, yang ditubuhkan pada tahun 1970 berdasarkan Perkara 11 Peraturan MKI, yang asalnya dikenali sebagai Jawatankuasa Fatwa MKI.
Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan raja-raja Melayu sebagai ketua agama memberikan persetujuan untuk penyelarasan amalan dan pematuhan dalam hal ehwal agama Islam. Jawatankuasa ini, walaupun ditubuhkan secara pentadbiran, namun memainkan peranan penting dalam penggubalan dasar berkaitan Islam dan hukum- hukumnya.
Peraturan 14 MKI memperincikan tugas jawatankuasa ini, iaitu untuk menimbang, memutuskan dan mengeluarkan fatwa atas perkara-perkara berkaitan agama Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja.
Fatwa yang diputuskan akan diserahkan kepada MKI, yang kemudiannya mengemukakannya bersama pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum diwartakan di negeri berkenaan.
Muzakarah berfungsi sebagai medium penyelidikan, penyelarasan dan penyeragaman fatwa bagi negeri-negeri di Malaysia.
Prosedur muzakarah selari dengan prosedur pengeluaran fatwa di peringkat negeri, yang mana fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh para mufti bersama-sama Jawatankuasa Fatwa Negeri mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Muzakarah tidak menjejaskan kuasa Ketua Agama Islam Negeri dalam urusan pengeluaran fatwa.
Keahlian Muzakarah terdiri daripada semua mufti negeri dan ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, mewakili pelbagai latar belakang termasuk alim ulama, profesional, pakar serta wakil dari bidang kehakiman dan undang-undang. Muzakarah tidak hanya tertumpu pada permasalahan fikah serta akidah, tetapi juga meliputi pelbagai isu seperti pembangunan negara dalam bidang ekonomi, sains dan perubatan, sosial, perundangan, selain secara keseluruhannya menyentuh kepentingan nasional.
KESERAGAMAN FATWA
Melihat isu GISBH, terdapat keperluan untuk penyeragaman fatwa dibuat di seluruh negeri kerana ia dilihat sebagai isu yang menyentuh kepentingan nasional.
Ini adalah disebabkan ahli, pengikut dan operasi perniagaan syarikat ini tidak terhad di sesebuah negeri sahaja namun dilaporkan berkembang di seluruh negara dan turut mempunyai rangkaian di beberapa negara lain.
Polemik ini turut membuka ruang desakan dari pelbagai pihak supaya badan-badan fatwa di negara ini segera untuk mengeluarkan fatwa rasmi mengenai ajaran yang bawa oleh golongan ini.
Perlis telah mengeluarkan fatwa berkaitan isu ini dan beberapa negeri lain turut menyatakan hasrat untuk membincangkan di peringkat jawatankuasa fatwa negeri masing-masing seperti Terengganu dan Selangor.
Namun Kelantan menyatakan tiada keperluan mengeluarkan fatwa baharu kerana sudah memadai dengan pengharaman Al-Arqam.
Ini sedikit sebanyak menimbulkan konflik yang sepatutnya ditangani dengan berhemah dan harmoni bagi membendung penyebaran ajaran sesat selain memudahkan pihak penguatkuasa mengambil tindakan susulan bagi sebarang pelanggaran fatwa akan diwartakan kelak oleh negeri-negeri terlibat sekali gus mengelakkan kekeliruan masyarakat Islam terhadap ketetapan hukum atau fatwa di Malaysia.
Antara contoh fatwa yang dilihat berjaya diselaraskan di seluruh negara adalah Pengharaman Kumpulan Hizbut Tahrir yang juga menyentuh isu kepentingan nasional dan melibatkan gerakan rangkaian meluas di tanah air ini.
Antara langkah yang boleh diambil bagi merealisasikan penyeragaman fatwa ini adalah dengan melakukan pindaan terhadap peruntukan undang-undang dalam akta/enakmen/ordinan Pentadbiran Agama Islam Negeri dan berkaitan fatwa. Ia boleh dilakukan dengan memasukkan penerimaan Jawatankuasa Fatwa Negeri terhadap pandangan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI khususnya melibatkan kepentingan nasional dan setiap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri hendaklah diwartakan.
Isu GISBH memerlukan penyeragaman fatwa di Malaysia. Walaupun fatwa di bawah bidang kuasa negeri, penyeragaman amat diperlukan bagi menangani isu-isu kepentingan nasional yang melibatkan pelbagai negeri seperti kes ini yang memiliki pengaruh luas termasuk di peringkat antarabangsa.
MKI berperanan penting dalam penyelidikan, penyelarasan dan penyeragaman fatwa di peringkat nasional. Namun, konflik timbul apabila terdapat perbezaan pandangan antara negeri-negeri mengenai keperluan untuk mengeluarkan fatwa khusus terhadap ajaran GISBH. Ini mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan menyukarkan penguatkuasaan pelanggaran fatwa yang diwartakan.
Penyeragaman fatwa bukan sahaja membantu menangani penyebaran ajaran sesat tetapi juga memperkukuhkan kesatuan hukum syarak di Malaysia.-UTUSAN
DR. Mohamed Rashid Ab. Razak ialah Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi (CENTRIS) merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










