PRK Nenggiri bukan petanda UMNO, BN sudah kembali

PRK Nenggiri bukan petanda UMNO, BN sudah kembali

KEMENANGAN di PRK Nenggiri tidak boleh dilihat sebagai tanda bahawa BN telah memenangi hati pengundi Melayu di seluruh Kelantan atau negeri-negeri lain. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos lalu menimbulkan pelbagai reaksi dan analisis mengenai dinamik politik terkini di Kelantan.

Walaupun kemenangan ini disambut dengan rasa gembira oleh penyokong BN, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mengingatkan bahawa terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa kemenangan ini adalah petunjuk jelas mengenai kembalinya sokongan pengundi Melayu kepada UMNO di seluruh Kelantan, apatah lagi di seluruh negara.

Kenyataan Johari adalah satu penilaian yang realistik dan bijaksana kerana kemenangan di Nenggiri, walaupun bermakna, tidak boleh dianggap sebagai representasi keseluruhan keadaan politik di Kelantan yang memiliki 42 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Dalam Pilihan Raya Negeri pada 2023, BN hanya mendapat 44 peratus sokongan Melayu. Walau bagaimanapun, dalam PRK 2024, sokongan Melayu kepada BN meningkat kepada 59 peratus. Pengundi muda yang sebelum ini menyokong PN dengan 52 peratus dalam PRN 2023 pula menunjukkan peralihan kepada BN dalam PRK 2024 dengan sokongan meningkat kepada 65 peratus.

Beberapa faktor mungkin menjadi punca peralihan undi ini. Kempen TikTok dan media sosial BN yang lebih berkesan telah memainkan peranan besar dalam menarik minat pengundi muda Melayu.
Dengan menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan mesej-mesej yang mudah difahami dan relevan dengan isu semasa, BN berjaya menjangkau pengundi-pengundi yang sebelumnya mungkin kurang terlibat.
BN juga berjaya menggunakan pendekatan ceramah kelompok dan mendekati pengundi secara peribadi dengan lebih efektif. Mereka bukan sahaja berjaya menyampaikan mesej politik mereka, tetapi juga mengambil langkah untuk membawa pengundi keluar untuk mengundi.

Satu lagi faktor yang mempengaruhi keputusan PRK ini adalah rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi terhadap kerajaan negeri Kelantan. Ramai pengundi merasa diabaikan, terutama dalam hal pembangunan dan penyediaan perkhidmatan asas. Ini mendorong mereka untuk menggunakan PRK ini sebagai satu bentuk protes dengan memberikan sokongan kepada BN.

Namun, perlu diingat bahawa sokongan kepada BN dalam PRK ini mungkin bersifat sementara. Ada kemungkinan bahawa pengundi hanya memberikan undi kepada BN sebagai strategi untuk mendapatkan manfaat dalam PRK ini dan mereka mungkin kembali kepada pilihan asal mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) kelak.

Ini biasa terjadi dalam beberapa PRK di Kelantan sebelum ini. Contohnya, PRK DUN Semerak pada 1997, calon BN, Datuk Kamarudin Md. Nor, menang mengalahkan calon Pas, Datuk Wan Mohd Fauzi Husain, tetapi dalam PRU10 pada 1999 calon Pas, Hussin Awang pula yang menang.
Begitu juga PRK DUN Pengkalan Pasir pada 2005 apabila calon BN, Datuk Hanafi Mamat menang mengalahkan calon Pas, Datuk Hanifa Ahmad, tetapi dalam PRU 12 pada 2008 calon Pas, Datuk Hanifa Ahmad pula yang menang.

Perkara sama terjadi dalam PRK DUN Pengkalan Kubor pada 2014 apabila calon BN, Mat Razi Mat Ail, menang mengalahkan calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim, tetapi dalam PRU 14 pada 2018 calon Pas, Wan Roslan Wan Hamat pula yang menang.
Perlu juga diingatkan, DUN Nenggiri adalah sebuah kawasan yang secara tradisional dianggap sebagai kubu kuat BN. Sejarah pilihan raya di kawasan ini menunjukkan kecenderungan pengundi yang stabil terhadap BN, walaupun terdapat perubahan arus politik di peringkat nasional.

Nenggiri adalah sebuah kawasan pedalaman yang mempunyai sejarah sokongan kuat kepada BN, terutamanya kerana kehadiran Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, seorang tokoh politik veteran yang mempunyai pengaruh besar di kawasan tersebut.

Pengaruh peribadi beliau dan jaringan kuat dengan penduduk setempat memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan BN di Nenggiri. Faktor ini adalah unik kepada Nenggiri dan tidak terdapat di kebanyakan kawasan lain di Kelantan, yang menjadikan kemenangan ini tidak representatif kepada DUN-DUN lain.

Oleh itu, kemenangan di Nenggiri juga harus dilihat dalam konteks khusus kawasan tersebut. Situasi yang ada di sana tidak wujud di kawasan lain di Kelantan, PN masih mempunyai pengaruh yang kuat melalui penguasaan mereka dalam isu-isu agama dan pentadbiran negeri.
Justeru, kemenangan di Nenggiri tidak boleh dianggap sebagai penanda perubahan besar dalam landskap politik di seluruh negeri Kelantan atau negara.

Kawasan Nenggiri juga mempunyai cabaran tersendiri, di mana isu-isu seperti pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan kebajikan masyarakat setempat menjadi tumpuan utama kempen pilihan raya. BN yang dilihat lebih berupaya memberikan perhatian kepada isu-isu ini, mungkin berjaya menarik minat pengundi melalui janji-janji pembangunan dan penyelesaian masalah setempat.

Kemenangan di kawasan pedalaman yang mundur seperti Nenggiri mungkin memberikan gambaran positif terhadap prestasi BN di kawasan tersebut, tetapi realitinya, keadaan politik di DUN lain, terutamanya di bandar dan kawasan pinggir bandar, berbeza sama sekali.

Kemenangan di PRK Nenggiri tidak boleh dilihat sebagai tanda bahawa BN telah memenangi hati pengundi Melayu di seluruh Kelantan atau negeri-negeri lain. Nenggiri adalah kawasan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan ia tidak mewakili DUN-DUN lain yang mempunyai keperluan, isu dan demografi yang berbeza.

Sokongan pengundi kepada BN dalam PRK ini juga mungkin bersifat sementara dan tidak semestinya berlanjutan ke PRU yang akan datang. Oleh itu, BN perlu terus bekerja keras dan memahami perubahan dinamik politik di Kelantan dan di seluruh negara jika mereka ingin mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN