Sambutan Bulan Kebangsaan untuk hargai perjuangan kemerdekaan

Sambutan Bulan Kebangsaan untuk hargai perjuangan kemerdekaan

TEMA Sambutan Hari Kebangsaan, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ menekankan kebebasan rakyat dari unsur-unsur negatif dalam menafsirkan semangat patriotik dan menggalakkan pemikiran yang progresif dalam integrasi sosial dan ekonomi. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PaDA 21 Julai lalu, di Cyberjaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil inisiatif untuk merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 sempena perayaan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos dan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September.

Majlis ini tidak sekadar menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan, tetapi juga bertujuan untuk menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan etnik, agama atau fahaman politik, dengan mengamalkan prinsip Malaysia Madani.

Tahun lepas, tema Hari Kebangsaan ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ mencerminkan semangat perpaduan, patriotisme yang tinggi dan cinta mendalam terhadap negara dalam memenuhi harapan rakyat.

Dalam amanat pertama Hari Kebangsaan beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 30 Ogos 2023, Perdana Menteri menegaskan bahawa untuk mencapai aspirasi negara sebagai sebuah negara hebat, adalah penting untuk memastikan kebebasan minda dan jiwa rakyat dari pandangan kolonialisme dan pemikiran kuno.

Beliau menegaskan bahawa untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan, semua lapisan masyarakat perlu memiliki jiwa merdeka yang menolak untuk menjadi alat atau dieksploitasi oleh golongan elit untuk keuntungan peribadi yang merugikan negara.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini pula mengusung tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, yang menekankan kebebasan rakyat dari unsur-unsur negatif dalam menafsirkan semangat patriotik dan menggalakkan pemikiran yang progresif dalam integrasi sosial dan ekonomi untuk memperkukuhkan kesatuan dan harmoni dalam kalangan rakyat.

Anwar, dalam ucapan beliau pada 21 Julai, menekankan bahawa sambutan Hari Kebangsaan tahun ini harus menjadi satu titik tolak baharu untuk mempertunjukkan kehebatan rakyat dan negara. Beliau menegaskan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar satu tugas, tetapi satu tanggungjawab untuk semua warga Malaysia, tanpa mengira latar belakang.

Serentak itu, Anwar mengarahkan semua pihak, termasuk sektor awam dan swasta, mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sepanjang tempoh sambutan bulan Kebangsaan selaras dengan inisiatif 1Rumah 1Jalur Gemilang (1R1JG) yang diketengahkan oleh Kementerian Komunikasi bagi menyemarakkan semangat sambutan tahun ini.

“(Orang) dahulu bagi cincin untuk perjuangan, sekarang kita tidak sanggup, kena ingat supaya jangan ada keterlanjuran, kita tidak minta cincin, tidak minta jam, yang saya minta ialah kibarkan Jalur Gemilang. Kalau (ada) orang yang enggan, kirim salam kepada mereka. Ini soal jati diri, maruah, harga diri,” kata Anwar.

Ingatan Perdana Menteri supaya anak-anak muda mengerti makna sebenar kemerdekaan yang dicapai negara sejak sekian lama juga amat bertepatan dengan masa. Kemerdekaan ini adalah hasil daripada pengorbanan generasi terdahulu yang rela berkorban darah, air mata dan keringat demi negara.

Pentingnya nilai ‘Jiwa Merdeka’ dalam memahami kemerdekaan Malaysia tidak boleh disangkal. Kemerdekaan ini merupakan hasil dari visi dan pengorbanan besar dari polis, tentera serta pejuang yang berani menyerahkan segalanya demi negara tercinta.

Walaupun pada masa itu, rakyat tidak mempunyai pelbagai keilmuan dan kemahiran teknikal tetapi semangat, keberanian, keikhlasan dan cita-cita mereka membangkitkan semangat untuk menegakkan negara yang berdaulat dan merdeka.

Kini hanya jiwa merdeka mampu memastikan kekuatan dan identiti sejati semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang. Dalam konteks ini, perjuangan Anwar sendiri adalah satu cerminan yang penting. Beliau berjuang secara gigih untuk membebaskan jiwa rakyat Malaysia daripada belenggu ketidakadilan dan penindasan.

Jika pada zaman dahulu Nabi Musa AS berkorban dengan bantuan mukjizatnya untuk membebaskan Bani Israel daripada perhambaan Firaun, Anwar tidak kurang pahit getirnya dalam perjuangan membebaskan rakyat Malaysia daripada kebejatan pemerintahan terdahulu sehingga beliau dipenjara dan dihadapkan dengan berbagai-bagai musibah sebelum berjaya.

BEBAS
Kini usaha beliau untuk mengembalikan martabat rakyat dengan memerdekakan jiwa mereka wajar disokong sepenuhnya. Jiwa merdeka bermaksud jiwa bebas bukan sahaja dari penjajahan fizikal tetapi juga dari cengkaman apa-apa anasir dalaman mahupun luaran.

Melalui tindakan dan kata-katanya, beliau telah menggerakkan kesedaran akan pentingnya memelihara kebebasan sejati, tidak hanya dari penjajah luar, tetapi juga dari segala bentuk penindasan dalaman yang mengancam integriti dan keadilan dalam negara ini.

Malaysia Madani tidak akan menjadi kenyataan jika rakyatnya tidak membebaskan jiwa mereka dari perhambaan. Jiwa merdeka adalah jiwa yang bebas dari ketakutan dan ketidakadilan selain memiliki keupayaan untuk berfikir secara kritis dan progresif.

Kemerdekaan yang sebenar hanya dapat dicapai apabila para pemimpin negara bertindak dengan integriti dan kesetiaan kepada prinsip-prinsip kemerdekaan yang sejati. Untuk itu, Malaysia Madani sebagai satu konsep perlu dijadikan satu realiti yang perlu dihidupkan.

Seperti kata Anwar, “Malaysia Madani ini adalah untuk mengisi kemerdekaan. Apa erti kemerdekaan kalau jenis pimpinan yang kita pilih itu sama dengan penjajah, guna kuasa merompak kekayaan negara, diambil untuk mereka atau untuk negara mereka.”

Kesimpulannya, sambutan bulan Kebangsaan ini mengingatkan kita untuk sentiasa menghargai warisan kemerdekaan yang diperjuangkan dengan pengorbanan besar. Ia juga menjadi panggilan kepada kita semua untuk menghidupkan kembali semangat jiwa merdeka dalam setiap aspek kehidupan.

Ini adalah sebagai peringatan bahawa kemerdekaan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah tetapi satu anugerah yang harus dijaga dengan penuh penghargaan dan tanggungjawab.-UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×