Kejar populis negara tidak bertahan lama

Kejar populis negara tidak bertahan lama

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BULAN ini menandakan masuknya 20 bulan Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin kerajaan sebagai Perdana Menteri, melepasi rekod 17 bulan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 15 bulan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagaimana pentadbiran terdahulu, kerajaan pimpinan Anwar juga tidak terlepas dengan kritikan dan serangan pihak tertentu. Ada yang menuduh bukan-bukan mengenai ‘survival’ Melayu. Tidak kurang juga mempersoalkan isu subsidi.

Kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN yang sudah berkhidmat di bawah pentadbiran Anwar sebagai Menteri Pendidikan Tinggi dan kini selaku Menteri Pertahanan menjawab satu persatu pendekatan yang diambil kerajaan.

 

KENAPA TIDAK POPULIS?

Yang kerajaan buat ialah membuat perkara yang wajar untuk negara. Kalau nak jadi populis, bolehlah dibiarkan pinjam lagi duit, bagi rakyat macam-macam. Tetapi kita akhirnya menjadikan rakyat terutama orang Melayu tahap kebergantungan yang sangat tinggi kepada kerajaan dan ia tidak baik dari segi jangka panjang. Begitu juga soal membaiki ekonomi, membetulkan soal subsidi. Memang akan ada kesan.

Jadi, kesannya bila barang naik apa semua, mungkin di situ kerajaan perlu perbaiki. Tetapi beri kerajaan ini keyakinan dan masa. Nanti kita akan dapat lihat yang penting kerajaan tidak abaikan tanggungjawabnya. Soal seperti agenda bumiputera masih diteruskan, soal bantu orang susah dan miskin masih diteruskan. Hanya sekarang ada orang yang sudah biasa dapat macam-macam, alih-alih dia tidak dapat.

Pembangkang ingin popular akan cakap semua tindakan kerajaan salah. Kalau dia jadi kerajaan agaknya dia akan teruskan apa semua. Memanglah dia terpaksa, sebab dia ingin dapat kuasa juga. Sama macam dulu, bila Pakatan Harapan (PH) ini jadi pembangkang dia cakap macam itu, tetapi bila duduk dalam kerajaan dia akan timbang betul-betul. Maka saya percaya kerajaan ini akan terus dapat bertahan.

KALAU TIDAK POPULIS, BAGAIMANA NAK TARIK SOKONGAN RAKYAT?
Jadi, di sinilah sebenarnya rakyat perlu mempunyai kewarasan dan rakyat betul-betul dapat menilai. Mana ada kerajaan yang tak nak popular, kerajaan ini boleh jadi populis.

Apabila tahap kebergantungan rakyat terlalu tinggi. rakyat sendiri tidak menyumbang kepada kekuatan negara. Semuanya bergantung kepada kerajaan dan kerajaan pula bergantung kepada dana dan nilai-nilai yang kukuh yang ada pada masyarakat, akhirnya negara itu akan rugi.

Contoh terbaharu, Bangladesh yang tidak dapat memenuhi dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang dapat memenuhi permintaan. Jumlah graduan yang keluar tinggi tetapi berbanding dengan jumlah pekerjaan sangat sedikit.

Hari ini kita dengar berita, peluang pekerjaan di Johor dalam bidang kemahiran dalam 70,000 lebih tetapi yang diisi dalam 50,000. Maknanya, kita terbalik dengan Bangladesh.

Kita sudah nampak ekonomi semakin pulih dan baru-baru ini rating yang dibuat oleh badan-badan penarafan antarabangsa menunjukkan kita berada pada landasan yang tepat dan kukuh. Kita percaya ini akan terus meningkat. Maknanya negara ini akan terus maju dan akan terus dapat dibawa ke depan.

Soalnya, negara maju, negara yang ada kekuatan, negara memiliki segala sumber sebagainya. Adakah dengan tambah pemberian kepada rakyat ataupun meningkatkan keberdayaan rakyat.

Pada saya, perlu kita tingkatkan keupayaan keberdayaan rakyat. Pembangunan kemajuan ekonomi, kita tidak mahu rakyat menjadi peminta. Bagi menentukan rakyat turut terlibat dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi, kita mesti sediakan rakyat.

Bagaimana kita sediakan rakyat? Bukan dengan beri dia subsidi, kita sediakan rakyat dengan kita memahirkan dia ataupun pastikan dia berpengetahuan jadi dia boleh menyertai. Jadi apabila ekonomi berkembang, ada peluang-peluang kerja, dia boleh ambil. Yang ini kena dibetulkan, barulah orang Melayu akan selamat.

AGENDA BUMIPUTERA TIDAK DIKETEPIKAN
Keputusan kerajaan melalui Majlis Ekonomi Bumiputera menetapkan bahawa semua kementerian mesti memantapkan lagi usaha untuk menjayakan agenda bumiputera.

Setiap kementerian mesti ada unit-unit penyertaan bumiputera bagi tujuan bumiputera menyertai, memiliki dan menguasai ekonomi.

Banyak pemain dalam kementerian memang terdiri daripada bumiputera. Kita akan jaga, pelihara dan pastikan dia dapat berkembang.

Soalnya semua usaha ini perlu kita pastikan benar benar dapat dirasai. Hari ini memang banyak manfaat yang bumiputera peroleh tetapi soal menakut-nakutkannya itu nampaknya menguasai dia.

Itu perkara tidak baik, jadi apabila keadaan itu berlaku nanti, satu ketika, kita sekali lagi mengulangi, kita kufur nikmat. Apa benda yang baik untuk kita, kita sebenarnya tidak menghargai dan kita tolak.

YAKIN KERAJAAN BERTAHAN
Insya-Allah. Bagi masa ekonomi akan ditunjukkan. Soal usaha untuk rakyat, kerajaan akan dapat laksanakan.

Apa yang dilakukan (kerajaan) boleh dianggap sebagai satu pengorbanan, kalau tidak ada siapa nak berkorban, masing-masing parti fikirkan dia ingin dapat kuasa, dia tidak mahu berkorban, akhirnya negara ini yang mana patut jadi matlamat kita yang lebih besar akan gagal.

Bila negara gagal, negara susah, rakyat dapat kesan. Jadi ini memang keadaan-keadaan yang memang sedang kita lalui, seperti subsidi diesel.

Perjuangan kita apabila berada dalam kerajaan dan bagaimana kita pun tahu isu-isu yang dimainkan, jadi ini peluang untuk kita jelaskan, terserah kepada rakyat. Yang penting kita harap rakyat dapat beri keyakinan kepada kita.

Lebih-lebih lagi beri peluang untuk kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri dalam Parlimen Gua Musang untuk mewujudkan jambatan antara rakyat dan kerajaan persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×