SUDAH sebulan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan bagi 2024 berlangsung. Dalam tempoh itu, tumpuan banyak terfokus kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan kenaikan gaji penjawat awam.
Sambutan ini adalah tempoh yang baik sekali gus satu mercu tanda ke atas pengukuran prestasi Steven Sim Chee Keong sejak dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia kira-kira hampir lima bulan sebelumnya iaitu pada 12 Disember 2023.
Dengan pengalaman sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan selama 20 bulan mulai 2 Julai 2018 disusuli pengalaman sebagai Timbalan Menteri Kewangan II selama 12 bulan mulai 9 Disember 2022, lantikan ini adalah pengiktirafan ke atas kemampuan dan potensi beliau.
Beliau sendiri berkelulusan Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Malaya (UM) yang ditambah dengan Sarjana Pengurusan Pembangunan Lestari dari Sunway University di bawah tokoh-tokoh terkemuka seperti Profesor Dr. Jeffrey Sachs dan Profesor Datuk Dr. Woo Wing Thye.
Masih diingat kata-kata Steven Sim sewaktu memulakan tugas, iaitu tekad untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Misi strategik 3K kementerian juga diperkenalkan, iaitu memperkasakan kebajikan, kemahiran, dan keberhasilan pekerja.
Satu langkah positif yang mendapat sambutan rakyat ialah penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia dengan akronim KSM menjadi Kesuma yang merupakan perkataan lama dalam bahasa Melayu yang bererti ‘bunga’ bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian.
Selaras dengan kandungan buku beliau bertajuk Being Malaysia yang menggesa rakyat Malaysia untuk menuntut perubahan sosial bagi mencapai masyarakat ideal di mana demokrasi, tadbir urus yang baik, hak asasi manusia dan keadilan wujud, inilah yang dilaksanakan beliau di Kesuma.
Berpengalaman dalam dunia korporat yang berasaskan bukti dan didorong oleh data, Steven Sim cuba membawa pendekatan kejuruteraan dalam dunia politik, di mana semua produk bukan sekadar kata-kata dan graf serta carta tetapi ia produk nyata yang boleh diuji oleh pengguna.
Ini terbukti bila dalam tempoh 100 hari Steven Sim mengetuai Kesuma beliau telah berjaya menghasilkan produk nyata yang boleh diukur yang sangat impresif, iaitu 80 pembaharuan, selain merekodkan jumlah bekerja yang tertinggi dalam sejarah seramai 16.51 juta orang pekerja.
Kesemua 80 pembaharuan yang diperkenalkan dalam tempoh singkat ini pula boleh dirangkulkan dalam empat tema utama iaitu gaji pekerja yang lebih wajar, kemahiran pekerja yang lebih tinggi, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja dan tatakelola yang lebih baik.
Projek rintis dasar gaji progresif yang dilaksanakan Kesuma bersama Kementerian Ekonomi pada bulan Jun dengan sasaran penyertaan oleh 1,000 syarikat dijangka akan mampu memacu pampasan upah yang lebih baik serta memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja.
Usaha memperkasakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan rakyat juga dilaksanakan dengan sasaran untuk memberi perlindungan kepada 1 juta pencarum di bawah Skim Pekerjaan Sendiri dan 500,000 suri rumah di bawah Skim Suri Rumah pada tahun 2024.
Lebih penting lagi ialah pengenalan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri di mana sekali lagi Kerangka Dasar ini merupakan satu produk nyata yang boleh diuji dengan tiga teras, 11 strategi, 48 prakarsa, lima pemacu perubahan dan dua pemangkin dasar.
Keupayaan Kesuma menghasilkan dokumen besar Kerangka Dasar dalam tempoh yang singkat adalah satu kejayaan membanggakan kerana ia melibatkan ramai pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, town hall dan portal kaji selidik atas talian.
Kerangka Dasar ini merangkumi berbagai-bagai isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh dan tenaga kerja golongan rentan.
Selain itu, aspek-aspek penting lain yang turut terkandung di dalamnya ialah hal ehwal pekerja sektor gig, isu-isu berkaitan latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ke atas pasaran kerja dan sebagainya.
Kerangka yang akan memandu penghasilan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan menjadikan Kesuma antara kementerian pertama yang mempunyai dokumen dasar utama yang selaras dengan RMK-13 kelak.
Di bawah Steven Sim juga, Kesuma go all out untuk pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat dengan peruntukan RM2.56 bilion bagi memastikan setiap rakyat mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui upskilling, reskilling dan cross-skilling.
Ini selaras dengan komitmen Kesuma untuk melahirkan sekurang-kurangnya 35 peratus tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran baharu dalam ekonomi abad ke-21 ini termasuk dengan menyediakan peluang kemahiran berkualiti tinggi kepada pekerja melalui HRD Corp.
Paling mutakhir, HRD Corp di bawah seliaan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahul Hameed Dawood, akan menyediakan lebih 25,000 kursus berkaitan tenaga mahir dan kemahiran sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) yang akan berlangsung dari 24 ke 30 Jun ini.
Semua ini adalah bukti kesungguhan Steven Sim membela golongan pekerja dan ini diakui antara lainnya oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat, yang terpegun dengan tindakan proaktif beliau menjadi menteri pertama turun ke lapangan bagi bertemu Cuepacs di ibu pejabat kesatuan itu.
Inilah ciri Menteri yang kita mahukan: Kuat bekerja dan kurang bercakap perkara tidak perlu. – UTUSAN
DR. Nik Mawardi Mohamed adalah penganalisis sosiopolitik tempatan.










