KUALA LUMPUR: Kerjasama BN dan Pas bukan satu bentuk kerjasama politik yang solid, sebaliknya hanya bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, gabungan parti itu juga gagal menamakan siapa calon Perdana Menteri kerana Pas tidak ada calon yang layak yang boleh diterima semua kaum, manakala calon daripada UMNO pula terpalit rasuah.
Katanya, Pas juga mungkin melihat isu pemimpin rasuah ini bukan sesuatu yang kondusif kepada parti itu.
“Kalau Pas pun setuju dengan calon yang ada terpalit dengan rasuah daripada UMNO, mereka sebenarnya pun tak boleh terima.
“Pas juga sebenarnya tidak ada calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri, maksud calon yang layak itu calon yang boleh diterima oleh pelbagai kaum bukan hanya kaum Melayu, Islam tetapi semua kaum boleh diterima.
“Tetapi kalau mereka hanya berasaskan kepada Melayu dan Islam sahaja, bagaimana dengan kaum-kaum lain lebih-lebih lagi Sabah dan Sarawak. Jadi sebenarnya calon itu tidak ada dan mereka seolah-olah melengahkan masa untuk mengumumkan apabila terdesak nanti, tetapi sebenarnya calon itu tidak ada,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua parti antara BN dan Pas saling tidak boleh terima calon daripada mana-mana parti itu dan ini akan menjadi polemik yang cukup besar yang bakal berlaku nanti.
Katanya, jika gabungan itu menang PRU16, persoalan itu bukan sahaja akan menjadi konflik tetapi huru-hara antara kedua-dua parti ini.
“Sebab antara kedua parti ini mereka tak pernah setuju untuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Bagi Pas, mereka nak jadi Perdana Menteri, bagi UMNO mereka tak akan bagi kepada Pas untuk jadi Perdana Menteri.
“Jadi dari sini rakyat kena menilailah bahawa ini bukan penyatuan ummah, tetapi ini adalah satu kerjasama untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan demi untuk melihat kerajaan Anwar Ibrahim ini tumbang,” katanya.
Sebab itu, katanya, apa yang dilakukan Anwar sekarang ini mereka tidak melihat ia sebagai satu yang positif tetapi mereka tetap mahu menumbangkan Kerajaan Perdana Menteri.
Jadi, katanya, rakyat harus membuka mata bahawa Kalau Anwar menjadi Perdana Menteri yang baik melalui tadbir urus yang bagus dengan tekad memerangi rasuah, kenapa mahu menggantikan dengan orang lain.
“Kalau betul nak digantikan, siapa calonnya? Kalau daripada Pas, siapa? Kalau daripada UMNO, siapa? Oleh kerana kedua-dua parti ini tak ada calon lain, pada pandangan saya eloklah Anwar Ibrahim terus dicalonkan oleh rakyat untuk menjadi Perdana Menteri satu penggal ke depan,” katanya. – UTUSAN










