TEKNOLOGI telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian sama ada lingkungan peribadi mahupun kerjaya. Namun, ia juga turut membawa cabaran tersendiri yang boleh menjadi ancaman produktiviti di tempat kerja. Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh para pekerja di Malaysia ialah gangguan digital.
Gangguan digital merujuk kepada situasi seseorang terganggu atau teralih perhatian akibat penggunaan teknologi digital seperti telefon pintar, komputer atau peranti elektronik lainnya. Isu gangguan digital penting bagi Malaysia kerana Malaysia menjuarai sebahagian besar laporan mengenai trend penggunaan Internet, peranti digital dan media sosial.
Laporan Proxyrack pada 2023 mendedahkan Malaysia merupakan negara kedua di dunia selepas Emiriah Arab Bersatu dalam penggunaan media sosial. Dalam kajian berasingan, Proxyrack turut menyatakan bahawa Malaysia menduduki tangga ketiga dunia dalam masa melihat skrin peranti dengan purata lapan jam enam minit sehari.
Dalam kajian tinjauan Meltwater pula, pengguna media sosial di Malaysia melebihi purata penggunaan global iaitu dua jam 31 minit. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini ialah kos internet yang agak murah di Malaysia dan kadar ketersambungan internet yang tinggi di Malaysia iaitu 96.8 peratus pada 2023.
Tidak dinafikan Internet boleh dimanfaatkan untuk pencarian maklumat dan pembelajaran kendiri di samping medium komunikasi jarak jauh utama untuk menyelesaikan tugas-tugas harian. Namun, tinjauan
Pengguna Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2022 mendapati tiga cara teratas penggunaan Internet di Malaysia selain berkomunikasi ialah melayari media sosial dan menonton atau memuat turun video.
Penggunaan Internet untuk pencarian maklumat dan membaca bahan terbitan hanya di tempat kelima dan keenam dalam tinjauan tersebut. Ini merupakan isyarat penting kepada para pekerja di Malaysia untuk berwaspada dengan perangkap gangguan digital.
Salah satu tanda-tanda utama gangguan digital dalam kalangan pekerja ialah kehilangan fokus dalam menjalankan tugas harian. Penggunaan telefon pintar yang berlebihan di tempat kerja seringkali mengakibatkan seseorang sukar untuk mengekalkan fokus pada tugas yang diberikan.
Kajian terkini mendapati purata masa fokus bagi seseorang individu ialah 40 saat bermaksud kita akan terganggu dan kehilangan fokus setiap 40 saat dengan perkara-perkara di sekeliling kita. Konflik perhatian ini diburukkan lagi dengan rantaian notifikasi daripada media-media sosial dan aplikasi tertentu.
Gangguan digital juga menyebabkan pekerja cenderung untuk menghabiskan masa yang berlebihan untuk hal-hal yang tidak berkaitan dengan tugas kerja, seperti melayari laman sosial atau bermain permainan digital. Suatu ketika dahulu, jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat melaksanakan polisi pelayaran Internet secara terpilih iaitu akses pelayaran Internet ke laman web atau media sosial yang tidak relevan dengan tugas akan disekat.
Namun kini, polisi tersebut tidak praktikal memandangkan jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat perlu membangun dan mengembangkan kehadiran mereka dalam dunia digital khususnya melalui laman web sendiri dan media-media sosial. Maka, para pekerja tidak lagi dikekang penggunaan Internetnya justeru risiko gangguan digital semakin meningkat di tempat kerja.
Perubahan emosi yang ketara juga merupakan kesan daripada gangguan digital yang perlu diberi perhatian. Pekerja yang mengalami gangguan digital kronik cenderung untuk mengalami kegelisahan, tekanan mental, dan kemurungan akibat tekanan yang diberikan oleh penggunaan teknologi yang tidak terkawal. Penggunaan gajet khususnya telefon dan komputer peribadi yang berpanjangan akan memberikan kesan negatif kepada postur tubuh sekaligus menyumbang kepada ketidakstabilan emosi pekerja.
Langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi gangguan digital dalam kalangan pekerja di Malaysia sewajarnya melibatkan tiga peringkat iaitu nasional, organisasi dan individu. Di peringkat nasional, kita boleh mencontohi negara-negara yang mengangkat hak individu untuk menyahsambung (right to disconnect) seperti undang-undang El Khomri di Perancis dan Akta Kod Amalan di Ireland yang memberi perlindungan kepada para pekerja yang tidak mahu diganggu khususnya secara digital selepas waktu bekerja.
Di peringkat organisasi, kesedaran ancaman gangguan digital perlu digerakkan di samping menyediakan khidmat kaunselor bagi mereka yang sudah terlibat dengan gangguan digital. Kursus-kursus produktiviti seperti pengurusan masa dan radas pengurusan perlu tersedia di organisasi supaya pekerja celik gangguan digital. Pihak pengurusan juga perlu turut melibatkan diri dalam menyediakan persekitaran kerja yang menyokong penggunaan teknologi secara bijak dan produktif.
Di peringkat individu, langkah yang boleh diambil termasuklah menetapkan had masa untuk penggunaan teknologi, melakukan pembahagian masa dengan bijak antara kerja dan rehat, dan mengamalkan aktiviti luar untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi yang berlebihan. Nilai-nilai seperti disiplin dan integriti perlu diperkukuh bagi mengelakkan diri terjebak dalam rutin yang tidak produktif akibat gangguan digital dan terlepas pandang tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan.
Dalam dunia yang semakin mendigital, gangguan digital mungkin tidak dapat dilenyapkan sepenuhnya namun boleh diminimumkan agar para pekerja di Malaysia boleh keluar daripada kitaran kesibukan palsu menuju produktiviti tulen. – UTUSAN
MOHAMAD Ikhwan Al Syahid Abdullah Tahir ialah Perunding Latihan Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa Jurulatih Bertauliah Kerajaan Digital di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










