Kerajaan gagal mengurus ekonomi, membela nasib rakyat?

Kerajaan gagal mengurus ekonomi, membela nasib rakyat?

WALAUPUN kerajaan madani menganjurkan pelbagai program, namun ia dilihat masih gagal dalam membela nasib rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM sistem politik demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita, persaingan mendapatkan kuasa oleh parti-parti politik untuk membentuk kerajaan adalah perkara lumrah. Persaingan mendapatkan kuasa dari rakyat biasa akan terserlah apabila Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Selepas pilihan raya biasanya persaingan merebut kuasa akan reda sekiranya parti atau gabungan parti politik yang membentuk kerajaan mendapat undi majoriti dan kerajaan itu pula dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan cemerlang.

Keadaan sebaliknya boleh berlaku sekiranya tidak ada mana-mana parti politik atau pakatan politik mendapat suara majoriti serta kerajaan yang dibentuk itu pula sangat lemah ikatannya ataupun tidak dapat memikul tanggungjawab dengan baik sehingga rakyat dan negara tidak dapat merasakan kemakmuran dan kesejahteraan dari pemerintahannya.

Pada ghalibnya persaingan politik itu berlaku antara ‘oposisi’ (pembangkang) dan pemerintah atau kerajaan. Kedua-duanya mendakwa memperjuangkan kepentingan dan aspirasi rakyat. Bagaimanapun parti atau gabungan parti yang membentuk kerajaan biasanya mempunyai peluang untuk membuktikan mereka mampu memenuhi harapan rakyat dan menentukan masa depan negara kerana kuasa berada di tangan mereka.

Kerajaan yang lemah dan dilihat lebih banyak menimbulkan masalah maka ia akan membuka ruang dan peluang kepada parti lawan untuk berusaha menjatuhkan kerajaan yang ada mengikut kaedah yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara.

Pembangkang akan terus berusaha mempertikai dan mengkritik apa yang dilihat atau dipersepsikan sebagai kelemahan kerajaan dengan alasan untuk menyelamat kedudukan rakyat dan negara.

Hakikatnya, segala kelemahan ketara yang ada pada kerajaan itu terutama yang berkait dengan kegagalan membangun ekonomi negara dan membela nasib rakyat akan menjadi isu politik pembangkang untuk menarik perhatian dan sokongan rakyat terhadapnya.

Dalam keadaan kedudukan masyarakat yang terbentuk dari pelbagai kelas sosial yang berbeza, keupayaan pembangkang memanipulasi kehendak kumpulan-kumpulan sosial itu akan memudahkannya mendapatkan sokongan jika kena cara dan strategi politiknya. Ini akan memudahkan pembangkang untuk merebut kuasa dalam pertarungan politik yang tujuannya adalah untuk berkuasa sering dikaitkan sebagai perjuangan dan kepentingan rakyat.

Perebutan untuk mendapat kuasa inilah yang kita lihat sedang berlaku dalam negara hari ini kerana banyak isu-isu kelemahan kerajaan terutama dalam mengurus ekonomi negara dan menunaikan janji kepada rakyat dilihat gagal dilaksanakan sehingga menerima kritikan dan kecaman banyak pihak, sekali gus menjadikan suhu politik negara sentiasa panas.

Sebenarnya perebutan kuasa dan permainan politik yang tidak berkesudahan ini berlaku sejak selepas PRU14 pada 2018. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas pilihan raya tersebut juga mengalami situasi seperti ini. Malah, ketika itu krisis dalaman sendiri yang menyebabkan kerajaan tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatanya secara mengejut yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH selepas 22 bulan memerintah.

Berikutan perletakan jawatan itu, berlaku krisis kepimpinan negara dalam suasana negara ketika itu dilanda pandemik Covid-19. Krisis akhirnya dapat diatasi dengan bijaksana oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan setelah Baginda berpuas hati Muhyiddin mendapat sokongan sebahagian besar ahli-ahli Parlimen.

Walaupun Baginda YDPA mengingatkan ahli-ahli politik menghentikan permainan politik, namun gelora politik negara masih berterusan.

Kepemimpinan Muhyidin tetap dicabar dari dalam dan luar kerajaan. Walaupun beliau telah berusaha dengan keras menyelamat negara dan nyawa rakyat dari pandemik Covid-19, termasuk mendapatkan pengisytiharan darurat pada Januari 2021 atas alasan Covid-19 semakin mengancam nyawa rakyat, namun, beliau tetap dianggap gagal membendung kesan Covid-19 dengan berkesan.

Musuh-musuh politiknya menuntut beliau melepaskan jawatan dan setelah Muhyiddin melepaskan jawatannya, pimpinan negara beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021. Bagaimanapun beliau menjadi Perdana Menteri paling singkat memerintah, iaitu selama 14 bulan walaupun Ismail Sabri berjaya mengeluarkan negara dari pandemik serta dapat menstabilkan politik negara dengan menjalin memorandum persefahaman kerjasama bersama antara kerajaan dan PH (pembangkang).

Disebabkan desakan-desakan dari dalam partinya sendiri dan juga pembangkang untuk mengadakan PRU15 menyebabkan beliau akhirnya akur untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.

Keputusan PRU15 mencatat sejarah apabila tidak ada satu pun gabungan parti yang cukup majoriti 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini telah lama membentuk kerajaan mengalami kekalahan terburuknya berbanding siri-siri PRU yang lalu. Situasi ini meletakkan kedudukan politik negara berada dalam suasana tidak menentu.

Setelah kerajaan berjaya dibentuk hasil pakatan dan persetujuan dari blok-blok politik PH (PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), UMNO dan blok-blok politik utama dari Sarawak dan Sabah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10 pada November 2022 telah melegakan semua pihak.

Semua pihak, terutamanya rakyat menaruh harapan besar kepada kerajaan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan menunaikan tanggungjawabnya memulih dan membangun ekonomi negara serta membela nasib rakyat.

KOS SARA HIDUP
Namun negara masih tidak ‘sunyi’ dengan polemik politik walaupun setelah lebih setahun Anwar memerintah kerajaan.

Ini kerana kerajaan dilihat gagal memberikan fokus dalam membela nasib rakyat dan membangun ekonomi negara dengan baik. Tidak ada program pembangunan ekonomi yang memberangsangkan, malah banyak sektor ekonomi menunjukkan kejatuhan yang ketara, termasuk penurunan nilai ringgit yang berterusan.

Kerajaan pimpinan Anwar juga dilihat gagal merasakan denyut nadi rakyat yang semakin dihimpit keperitan hidup dengan kos sara hidup yang tinggi sehingga menjejaskan kehidupan.

Program ekonomi madani yang pernah diisytiharkan Anwar tidak jelas dan terarah. Hakikatnya, kerajaan yang ada hari ini masih gagal melakukan pemulihan sosioekonomi yang benar-benar berkesan.
Kritikan-kritikan terhadap kerajaan juga diambil tindakan yang keras sehingga menyempitkan aspek kebebasan bersuara.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN