SEBAGAI mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Timbalan Naib Canselor, Dekan, Timbalan Dekan dan Ketua Jabatan di universiti itu, saya ingin menyumbang pendapat mengenai peristiwa Bruce Gilley yang telah memburukkan negara kita ini.
Sejak dulu, UM memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa seperti Dekan dan Ketua Jabatan di setiap fakulti yang ingin membawa penceramah ke UM, dengan tujuan memperkayakan ilmu.
Tidak kiralah sama ada penceramah itu datangnya dari dalam atau luar negara.
Pemberian kepercayaan melalui proses turun kuasa kepada fakulti dan jabatan di bawahnya oleh pihak Pengurusan Tertinggi UM semenang perlakuan yang betul dan munasabah kerana sebab-sebab berikut:
Jabatan dikendalikan oleh pakar-pakar dalam bidang yang berkenaan dengan penceramah yang hendak diundang.
Di atas jabatan, ada pula Dekan dan Timbalan-Timbalan Dekan yang berwajib mengawasi aktiviti -aktiviti yang hendak dijalankan oleh jabatan dan fakulti.
Kuasa yang diperturunkan oleh Naib Canselor kepada Dekan dan Ketua Jabatan itu adalah semata-mata untuk melicin dan menjamin keberkesanan serta kecekapan dalam pentadbiran urusan universiti.
Bukankah penurunan kuasa diamalkan di mana-mana sahaja, demi untuk tujuan itu?
Langkah ini dapat menjamin supaya tidak berlakunya pengurusan micro (micromanaging), di mana seorang Ketua Eksekutif bersifat autotarian, mengintai setiap langkah pegawai di bawahnya.
Itulah yang telah saya lakukan ketika memegang jawatan-jawatan di UM dulu, kecuali dalam hal-hal yang mencurigakan.
Dalam kes Bruce Gilley ini, saya yakin Naib Canselor telah menjalankan tugasnya dengan setimpal dan sepatutnya.
Lagi pun, beliau dengan serta-merta telah mengambil tindakan mengemaskini polisi, prosedur dan garis panduan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Saya berharap Dekan dan Ketua Jabatan berkenaan “tidak mengetahui” mengenai perwatakan sebenar Bruce Gilley ini apabila mereka mengundangnya ke UM.
UM telah menaburkan banyak jasa kepada negara. Tidak terbilang banyaknya. Janganlah kerana pijat, kelambu dibakar. Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan untuk memberi panduan.
Prof. Dr. Hashim Yaacob ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.










