KUALA LUMPUR: Seramai 13 individu yang sebelum ini dipercayai mengikut ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light telah mengisytiharkan keluar daripada agama Islam.
Sumber berkata, kesemua 13 individu itu kini dipercayai berada di luar negara.
“Setakat ini, seramai 13 pengikut ajaran telah mengisytiharkan mereka keluar agama Islam.
“Rakaman video yang memaparkan pengikut kumpulan berkenaan yang tular di media sosial sebenarnya merupakan rakaman pada 2024, namun dimuat naik semula baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Difahamkan, ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light kini berpusat di United Kingdom (UK) sejak 2021.
Semalam tular rakaman video memaparkan enam lelaki membuat pengakuan terbuka keluar daripada agama Islam yang didakwa sebagai Islam versi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tular di media sosial sejak kelmarin.
Menerusi video yang dikongsikan seorang pengguna di platform Threads itu, kesemua individu terbabit memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia, termasuk dari Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur sebelum membuat pengakuan secara berasingan.
Dalam video terbabit, terdapat individu yang melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengisytiharkan dirinya keluar daripada Islam yang dikaitkan dengan Jakim.
Mereka turut mendakwa kini mengikuti ajaran yang dianggap sebagai Islam sebenar, iaitu agama Ahmadi keamanan dan cahaya.
Pada 2024, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Antara kepercayaan dan amalan ajaran berkenaan yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.
Selain itu, pengikut ajaran berkenaan mendakwa Imam al-Mahdi iaitu Muhammad al-Hassan al-Askari mempunyai penolong atau ansar yang terdiri daripada 12 orang yang dianggap sebagai keturunannya secara maknawi/rohani.
Dalam masa sama, pengikut ajaran berkenaan menafikan konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum serta keseluruhannya yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis.
Pengikut ajaran itu juga mendakwa syurga yang didiami oleh Nabi Adam dan Hawa ialah di dunia.
Malah syurga akhirat itu adalah di dunia, manakala neraka pula membawa maksud matahari termasuk membuat dakwaan palsu terhadap rasul, nabi dan isteri baginda. – UTUSAN











