Taikun hartanah Malaysia perlu tampil bersama pulih Tasik Chini

Taikun hartanah Malaysia perlu tampil bersama pulih Tasik Chini

KEADAAN Tasik Chini yang ditumbuhi pokok rasau dan memerlukan pemulihan bersepadu bagi memulihkan kembali tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera itu. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Pusat dan negeri sewajarnya mengambil contoh kejayaan Projek Eden di Cornwall, United Kingdom (UK) bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih Tasik Chini di Pekan, Pahang yang mengalami kemusnahan ekosistem kesan aktiviti pembalakan dan perlombongan.

Menerusi Projek Eden, bekas lombong seluas 12.14 hektar itu memakan masa enam tahun untuk dipulihkan dengan perbelanjaan 140 juta pound iaitu kira-kira RM850 juta. Ia sebenarnya merupakan idea pemulihan yang melibatkan strategi perniagaan.

Untuk Tasik Chini, jika kerajaan negeri dan Pusat hendak melakukan perkara sama, ia memerlukan perancangan rapi dan apa yang penting penaja-penaja kewangan. Lihat di Eden, berapa ramai pekerja mereka, penyelidik dan penyumbang, itu yang memberikan kejayaan Projek Eden.

Bagi Tasik Chini, masalahnya adalah Rancangan Khas Kawasan (RKK) Tasik Chini sudah ada, cuma siapa yang akan melaksanakannya? Siapa yang hendak bertanggungjawab menjalankan perancangannya, modal perniagaan, entiti perniagaan dan pemuliharaannya?

Adakah taikun-taikun hartanah Malaysia seperti Kumpulan Sunway, Genting Highlands dan IOI berani menjalankan projek berkenaan? Sebagai mana kejayaan Projek Eden, perlu banyak interaksi politik dan perniagaan bagi memulihkan Tasik Chini yang terosot akibat kegiatan perlombongan.

Dibimbangi jika usaha pemulihan tidak segera dilakukan, tidak mustahil Tasik Chini boleh senasib Tasik Mentiga juga di Pekan yang telah pupus dan bertukar menjadi kawasan daratan. Tasik Mentiga juga me­rupakan tasik semula jadi, na­mun musnah disebabkan kerakusan manusia me­ngaut keuntungan dengan mengabaikan keles­ta­rian alam sekitar di situ.

Di Tasik Mentiga, hutan dibersihkan dan lang­sung tidak dijaga. Kelodak se­dimen turun ke tasik. Mendakan berlaku dan tasik menjadi cetek. Lihat dan ambil contoh apa berlaku di Ta­sik Mentiga, tasik ini mati dan menjadi daratan kerana langsung tiada pemeliharaan dan pemuliharaan.

Adakah perkara sama kita mahu berlaku di Tasik Chini? Terpulang kepada pihak ber­wajib. Perlu dingat dalam lima tahun lagi iaitu pada 2029, Tasik Chini Rezab Biosfera (TCRB) akan dinilai oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebelum ini timbul tanda tanya dan kebimbangan pengiktirafan yang diterima pada 2009 itu ditarik balik. Penilaian UNESCO sepatutnya dibuat pada 2019, namun keputusan pengekalan status tersebut hanya diumumkan pada 2022.

Ambil iktibar dan segera pulihkan Tasik Chini. Tasik ini menjadi tapak pertama di negara ini yang diberikan pengiktirafan berprestij itu. Status Rezab Biosfera (RB) penting untuk dikekalkan kerana ia akan membantu melonjakkan imej Tasik Chini sebagai antara destinasi ekopelancongan utama di Pahang dan juga negara ini.

Selain itu, ia akan menjadi sumber rezeki bagi penduduk setempat di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan di Tasik Chini.

Jadi, kali ini TCRB perlu lebih bersedia dan banyak perkara perlu dilaksanakan supaya penilaian seterusnya lancar dan status tersebut kekal dipertahankan.

Antara perkara penting adalah kawasan zon TCRB. Pada asalnya, TCRB diluluskan oleh UNESCO dengan syarat dalam 10 tahun, tapak ini dapat mengukuhkan ketiga-tiga zon dengan jelas dan ditadbir di bawah satu badan yang teratur bagi memastikan pengurusannya dijadikan tempat pembelajaran untuk pembangunan mampan pada zon teras, penampan dan zon peralihan.

Ingat bahawa tasik, bukit, gunung dan pan­tai perlu dilestarikan ter­ma­suk flora dan faunanya. Jika tiada bukit dan tasik akan me­musnahkan alam sekitar, banjir akan berlaku dan yang menerima kesannya rakyat.

Semua pihak mesti me­ng­ambil bahagian dan tang­gungjawab tentang alam sekitar ini bukan sahaja kerajaan negeri dan Pusat malah taikun-taikun hartanah negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×