PERTIKAIAN bayaran royalti minyak antara Kerajaan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan semakin kusut apabila kedua-dua pihak saling bercanggah hujah mengenai isu tersebut.
Keadaan tersebut berlaku apabila pemimpin-pemimpin antara kerajaan terlibat membuat penafsiran berbeza terhadap perjanjian di antara kerajaan negeri itu dengan Petronas pada 1975 berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan pada 1974 serta di bawah Akta Laut Malaysia 2012.
Kekusutan tersebut semakin tersimpul disebabkan perbezaan politik antara pemerintah Kerajaan Terengganu dan Persekutuan ketika ini yang dilihat menyukarkan lagi usaha mengurai pertikaian tersebut secara harmoni.
Pada masa sama, rakyat di Terengganu pula mengharapkan perbalahan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diselesaikan secara bertolak ansur demi kelancaran pembangunan di negeri ini pada masa depan.
Selain itu, terdapat juga pihak mencadangkan Terengganu supaya pertikaian berhubung tuntutan royalti minyak antara kedua-dua pihak itu dibawa ke mahkamah seperti yang pernah dilakukan Kerajaan Kelantan pada 2010, sebelum menarik balik saman tersebut selepas sembilan tahun kemudian.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan, Terengganu dan Kelantan tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.
Malah, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) telah menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut.
“Perjanjian Pembayaran Wang Tunai (Cash Payment Agreement) yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan kedua-dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperoleh (won and saved) di Kelantan dan Terengganu dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.
“Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada negeri Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah negeri Kelantan dan Terengganu,” kata Azalina.
Sehubungan itu, istilah royalti digunakan Kerajaan Terengganu ditafsirkan sebagai silap kerana hasil petroleum diteroka dan diperoleh Petronas berpunca dari dasar laut terbuka berada di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan tetap menyalurkan wang ihsan kepada Terengganu kerana kedudukannya terdekat dengan kawasan pengeluaran petroleum bagi melaksanakan projek dan pembangunan untuk manfaat rakyat di negeri itu.
Bagaimanapun, Kerajaan Terengganu pula mempunyai pandangan berbeza apabila tetap tegas menyatakan perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Petronas mengakui hasil petroleum ditemui dan diteroka Petronas adalah hak negeri Terengganu.
Kerajaan Terengganu berhujah, menurut senarai negeri, tanah adalah bidang kuasa berada di bawah kerajaan negeri, justeru, hasil petroleum dijumpai di perairan Terengganu ia sebagai hak negeri.
Sehubungan itu, pada sidang Parlimen, baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tunggakan pembayaran royalti minyak kepada negeri itu pada 2023.
Ahmad Samsuri mendakwa, tindakan menekan rakyat Terengganu berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang menjadi antara tonggak nilai pentadbiran kerajaan.
Untuk rekod, sehingga Oktober tahun lalu, Ahmad Samsuri memberitahu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan hak rakyat negeri Terengganu sekitar RM1.5 bilion.
“Tetapi kerajaan negeri hanya menerima RM510 juta, jumlah ini adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022.
“Terimaan ini juga jauh daripada anggaran dana khas (wang ihsan) dalam Belanjawan Tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690,” kata Menteri Besar Terengganu itu.
Dalam pada itu, terdapat suara-suara dalam kalangan pemimpin Pas tempatan di Terengganu mendesak Perdana Menteri mengembalikan royalti minyak kepada Terengganu kerana mendakwa tindakan menyekat bayaran tersebut sebagai menzalimi rakyat negeri itu.
NAFI
Sementara itu, Anwar menafikan tuduhan Ahmad Samsuri bahawa Kerajaan Perpaduan bertindak meminggirkan hak Terengganu berhubung isu bayaran wang ihsan.
Ini kerana, kerajaan pimpinannya terbukti tidak pernah bertindak bersifat zalim dengan menyekat peruntukan kepada Terengganu, cuma bayaran tersebut diberikan terus kepada rakyat dan bukan menerusi ahli Parlimen.
“Cuma kita tak bagi melalui ahli Parlimen, kita beri kepada rakyat. Kita tumpu pada miskin, kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, di kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan sama ada kuam, agama, kawasan atau parti,” tegas Anwar.
Pada tahun ini, Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan peruntukan belanja pembangunan bagi Terengganu kepada RM1.59 bilion berbanding RM1.55 bilion pada 2023.
Malah, kerajaan Persekutuan juga melunaskan pemberian wang ihsan untuk Terengganu sebanyak RM786 juta berdasarkan hasil petroleum pada 2023.-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Terengganu.










