BERDASARKAN statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, negara kita mempunyai lebih satu juta industri kecil dan sederhana (IKS). Industri ini menyumbang sebahagian besar pertumbuhan ekonomi negara.
Dari segi sumbangan IKS kepada ekonomi negara, sektor ini merupakan antara penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara 35 hingga 40 peratus.
Umumnya, terdapat pelbagai definisi IKS mengikut aspek-aspek tertentu sesuatu perniagaan seperti nilai output, jumlah kerja yang diupah, saiz aset tetap, modal, jualan dan sebagainya.
Bagi industri kecil, modal berbayarnya adalah kurang dari RM500,000 dan memiliki tenaga kerja tetap antara lima hingga 50 orang, manakala bagi industri sederhana pula memiliki modal berbayar antara RM500,001 hingga RM2.5 juta dan mempunyai tenaga kerja tetap diantara 51 hingga 75 orang atau pekerja sepenuh masa tidak melebihi 150 orang.
Industri ini kebanyakannya beroperasi di kawasan luar bandar atau desa yang mengeluarkan barangan seperti makanan, perabot, batik, songket, kraf tangan, tembikar, labu sayong dan sebagainya.
Selain faktor kemudahan pembiayaan (pinjaman) kewangan, kejayaan IKS turut bergantung kepada sikap pengguna dalam memilih produk barangan. Jika semakin besar pengguna di negara kita memilih barangan keluaran tempatan ini, maka ia akan menjadi memajukan dan membangunkan industri ini sekali gus sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi domestik.
KEMPEN
Oleh itu, kempen galak rakyat membeli barangan tempatan mestilah berterusan dan konsisten. Ia juga boleh dilakukan melalui pendidikan atau literasi konsumerisme yang mengutamakan pembelian barangan buatan tempatan.
Selain memajukan sektor IKS, budaya kepenggunaan yang sihat dapat mengurangkan barangan import dari negara luar. Budaya konsumerisme yang bersifat patriotik ini dapat menerapkan rasa bangga dan keyakinan terhadap industri tempatan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai rakyat yang cenderung dan berbangga menggunakan barangan import terutamanya dalam kalangan golongan yang berada. Ia adalah isu konsumerisme yang berkait rapat dengan taraf sosioekonomi seseorang.
Sikap mengutamakan barangan import atau barangan berjenama dari luar negara ini mengungkapkan kelas sosial dan gaya hidup pengguna di negara kita. Pastinya dalam kalangan orang berada budaya konsumerisme yang bersifat high standard atau high class cenderung mengutamakan barangan import berjenama.
Ironinya, ada dalam kalangan ahli politik kita yang beria-ia berkempen agar rakyat mengutamakan barangan tempatan tetapi mereka sendiri mengutamakan barangan import.
Psikologi kepenggunaan yang kurang sihat ini harus disingkirkan dari jiwa rakyat. Sekiranya mereka memiliki keyakinan tinggi tehadap barang keluaran tempatan maka, ia akan mendorong sektor IKS terus berkembang maju dan berdaya saing.
Apa pun, kita tidak boleh membuat justifikasi bahawa mereka yang menggunakan barangan import tidak patriotik terhadap negara. Cuma mereka boleh dianggap kurang patriotik dalam konteks penggunaan barangan tempatan. Sikap mereka ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan kempen belilah barang buatan tempatan.
Oleh itu, kempen menggalakan rakyat membeli barang buatan tempatan harus disemarakkan. Kempen ini akan memberikan banyak kebaikan seperti dapat meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, mengurangkan pengaliran mata wang negara ke luar negara dan menaikkan imej negara di mata dunia.
Malah, terdapat juga kualiti barangan tempatan lebih baik daripada barangan import dan ada yang telah berjaya menebus pasaran serantau dan antarabangsa.
Dalam konteks rantaian kemajuan ekonomi domestik yang lebih besar, IKS dapat memajukan ekonomi asas negara seperti sektor pertanian yang akan terus berkembang kerana dalam sektor pemerosesan atau pembuatan makanan amat memerlukan bahan asas tersebut.
Pengguna pula dapat mengurangkan perbelanjaan kerana harga barangan tempatan biasanya lebih murah berbanding barangan import, selain dapat menikmati barangan yang bermutu setanding dengan barangan yang diimport.
Pada hemat saya amat bagus sekali sekiranya agensi terbabit memperkenalkan Anugerah IKS terbaik setiap tahun atau dua tahun sekali mengikut kategori barangan yang dikeluarkannya.
Pasaraya dan kedai-kedai runcit juga patut memperbanyakkan barangan keluaran tempatan kerana wujud kencenderungan rakyat mencari barang-barang keluaran tempatan.
Bagi umat Islam di negara ini yang merupakan pengguna produk halal cenderung untuk mencari atau mengutamakan barangan keluaran muslim, terutama barang makanan yang diusahakan oleh rakyat kita sendiri.
Yang penting pengguna boleh mendapatkan barangan buatan tempatan dengan harga yang berpatutan. Dalam masa yang sama kerajaan wajar menyediakan peruntukan yang besar untuk merangsang lebih banyak IKS tempatan.
Bimbingan yang berterusan untuk pengusaha IKS yang baharu atau bermasalah mesti disediakan melalui agensi yang berkaitan untuk memastikan wujudnya aktiviti IKS yang cergas dan berdaya saing.
TAMBAH BAIK
Kerajaan juga harus menambah baik program pembangunan usahawan IKS secara bersepadu merangkumi aspek penyediaan infrastruktur, kemudahan pembiayaan, pembangunan modal insan, pembangunan produk, keupayaan penggunaan perniagaan digital, pembangunan penjenamaan dan promosi serta sebagainya.
Justeru, agensi-agensi yang berkaitan pembangunan IKS harus mempertingkatkan peranannya supaya objektif yang dipikul benar-benar berkesan. Harus ada jaringan kerjasama yang baik dan berkesan dengan agensi-agensi sokongan yang lain.
Kesimpulan, kempen Beli Barang Buatan Malaysia mesti dijalankan secara berterusan supaya rakyat mengutamakan barangan keluaran tempatan. Ia mampu memberikan kesan positif kepada kemajuan dan pertumbuhan IKS di negara, sekali gus membangun dan memajukan rantaian ekonomi domestik.
Ia juga boleh dianggap sebagai manifestasi semangat patriotik melalui amalan konsumerisme yang mengutamakan barangan tempatan yang kini kualitinya setaraf dengan barang yang import dari luar negara.-UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










