Musim sejuk ancam nyawa 1.4 juta rakyat Gaza

Musim sejuk ancam nyawa 1.4 juta rakyat Gaza

Musim sejuk Gaza
PENDUDUK Gaza membetulkan khemah tempat tinggal sementara mereka selepas berdepan ribut musim sejuk di Semenanjung Gaza pada minggu lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1.4 juta rakyat Gaza yang masih berlindung di dalam khemah sementara kini berdepan ancaman musim sejuk apabila hujan lebat serta angin kencang bukan sahaja memusnahkan puluhan ribu kediaman, malah meragut nyawa termasuk kanak-kanak.

Ribut musim sejuk pertama yang melanda Semenanjung Gaza sejak 6 November lalu menyaksikan sekurang-kurangnya lima orang terkorban selepas benteng pasir runtuh menimpa khemah di kem pemindahan Ard al-Ribat, Deir el-Balah.

Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Prof. Jismi Johari berkata, tiga mangsa kanak-kanak manakala seorang bayi dilaporkan lemas ketika keadaan cuaca buruk dan memburukkan penderitaan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kira-kira 1.4 juta rakyat Gaza masih tinggal dalam khemah dan tempat perlindungan sementara ketika ribut ini melanda.

“Keperluan menyediakan tempat perlindungan yang lebih kukuh semakin mendesak ketika stok khemah dan selimut di Gaza dilaporkan hampir habis, sedangkan musim sejuk baru sahaja bermula.

“Khemah kain tidak mampu menahan hujan. Apa yang mereka perlukan sekarang ialah tempat perlindungan yang kukuh, selimut, pakaian musim sejuk dan sistem saliran yang berfungsi. Semua itu mesti dibenarkan masuk tanpa sekatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza, kira-kira 70,000 khemah tenggelam dalam tempoh 12 jam akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda wilayah berkenaan.

Katanya, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pula melaporkan sehingga 8 November lalu, lebih 26,000 isi rumah memohon bantuan selepas tempat perlindungan atau harta benda mereka rosak.

“Daripada jumlah itu, lebih 6,000 tempat perlindungan keluarga musnah sepenuhnya manakala 17,400 lagi rosak dan lebih 3,900 isi rumah kini langsung tidak mempunyai tempat untuk berteduh,” katanya.

Sehubungan itu, MAHAR menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan bantuan tempat perlindungan termasuk karavan, rumah mudah alih, terpal serta kelengkapan musim sejuk dapat dihantar ke Gaza dengan segera dan tanpa sekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini