Awas kaki ponteng puasa, anda masih dipantau

Awas kaki ponteng puasa, anda masih dipantau

TIDAK seperti bazar Ramadan yang kebiasaannya hanya dibuka seawal pukul 3 atau 4 petang, restoran atau kedai makan termasuk yang diusahakan oleh peniaga beragama Islam tiada had operasi dan ia boleh dibuka seawal pukul 10 pagi sepanjang Ramadan ini di Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA tinggal kira-kira dua minggu lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya dan diganti pula oleh Syawal iaitu bulan yang dianggap sebagai kemenangan buat umat Islam.

Di Pulau Pinang, Ramadan pada tahun ini disambut meriah sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Malah, kemeriahan itu lebih terasa dengan penyertaan pelbagai kaum sekali gus menjadikan negeri ini sebagai truly Malaysia atau Malaysia yang ‘sebenar’.

Selain kemeriahan bazar Ramadan, kedai-kedai makan dan restoran di Pulau Pinang juga tidak kurang meriahnya sepanjang bulan mulia ini.

Apatah tidaknya, tidak seperti negeri-negeri lain, kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak mengehadkan waktu operasi bagi kedai-kedai makan termasuk yang diusahakan oleh peniaga Islam sepanjang bulan Ramadan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, peniaga makanan beragama Islam serta umat Islam di sini bagaimanapun diingatkan supaya sentiasa menghormati Ramadan.
“Kita tidak hadkan dari segi waktu operasi untuk peniaga (Islam) menjual makanan. Mereka boleh berniaga dari waktu pagi.

“Namun, dalam konteks menghormati Ramadan, umat Islam bagaimanapun tidak dibenarkan untuk makan dan minum di khalayak ramai walaupun tergolong dalam kategori uzur syarie,” katanya selepas melancarkan kempen Respek Ramadan dan program operasi bersepadu di Masjid Jamek Kampung Rawa, George Town, sebelum ini.

Tambah Mohamad, mereka yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh ditahan dan dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996.

Sehubungan itu katanya, anggota penguatkuasa daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memulakan operasi pemantuan setiap hari bermula 1 Ramadan hingga akhir Ramadan ini.
Difahamkan, di bawah Seksyen 15 itu, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

PATUH
Justeru, memasuki pertengahan Ramadan ketika ini, sejauh manakah umat Islam di negeri ini benar-benar mematuhi ‘kelonggaran’ yang diberikan oleh kerajaan negeri itu demi kemaslahatan ummah secara keseluruhannya?

Berdasarkan tinjauan rambang yang dilakukan oleh Utusan Malaysia terutamanya di kedai-kedai makan terutamanya restoran-restoran mamak yang menyediakan hidangan seawal pukul 10 pagi, sukar untuk dilihat kelibat orang Melayu khususnya yang membeli makanan secara terbuka.

Jika ada sekalipun, tampak mereka kelihatan seperti tergesa-gesa, ditemani anak kecil atau memakai topi keledar semasa memilih juadah.

Geng ‘plastik hitam’ juga sebenarnya agak sukar untuk dikesan dan jika masih wujud sekalipun, rata-rata mereka merupakan pekerja kontrak yang bekerja di tengah panas terutamanya di kawasan tapak-tapak pembinaan atau mereka yang melakukan kerja berat selain penghantar makanan yang bertugas tanpa henti.

Itu pun boleh disimpulkan sebagai hanya beli makanan secara terbuka, namun, tidak begitu berani untuk makan secara terbuka di khalayak ramai buat masa ini.

Ternyata, masih wujud perasaan takut untuk ditahan jika makan atau membeli makanan secara terbuka di khalayak ramai dalam kalangan kebanyakan umat Islam di negeri ini walaupun ada kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan negeri di sini.

Mungkin mereka beranggapan bahawa pegawai penguatkuasa itu ada di mana-mana sama ada dengan memakai uniform atau berpakaian biasa.

Dalam hal ini, istilah perception of being caught (POBC) atau kebolehlihatan penguatkuasaan yang sering digunakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mungkin boleh diguna pakai untuk menunjukkan bahawa ada kesedaran dalam kalangan umat Islam di negeri ini untuk tidak melakukan kesalahan bagi mengelak daripada ditahan.

Selain denda, hukuman diarak menaiki van jenazah atau perlu melakukan kerja-kerja komuniti untuk tempoh masa tertentu juga mungkin masih relevan jika gagal mematuhi peraturan ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor sendiri sebelum ini secara peribadinya dilaporkan bersetuju agar hukuman tersebut diteruskan demi memberi pengajaran kepada kaki ponteng puasa ini.

Dalam erti kata lain, apa sahaja hukuman yang diberi ini lebih kepada usaha mendidik dan bukannya menghukum semata-mata.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN