Program Madani Rakyat Zon Tengah usaha dekati rakyat

Program Madani Rakyat Zon Tengah usaha dekati rakyat

KEJAYAAN Program Setahun Bersama Kerajaan Madani (SBKM) pada Disember tahun lalu diperluaskan dengan penganjuran Program Madani Rakyat Zon Tengah (MRZT) di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Februari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 8 hingga 10 Disember 2023 lalu, bertempat di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur telah berlangsung dengan gilang-gemilangnya Program Setahun Bersama Kerajaan Madani (SBKM) yang dikelolakan secara bersama oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pelbagai maklum balas diberikan oleh seluruh lapisan rakyat menyatakan mereka amat berpuas hati dengan pelaksanaan program ini. Ia berjaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat.

Melalui program SBKM ini, bukan sahaja dasar dan inisiatif baharu kerajaan berjaya dipromosikan dengan berkesan tetapi juga menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat, pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

Dengan kehadiran seramai lebih 230,000 pengunjung, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan kerajaan untuk memperluaskan program ini ke negeri-negeri bagi membolehkan rakyat di seluruh ceruk rantau diberikan ruang untuk menyertainya serta menyatakan cadangan serta pandangan mereka.

ZON TENGAH
Selaras dengan janji Perdana Menteri ini maka pada 23 hingga 25 Februari ini akan berlangsung Program Madani Rakyat Zon Tengah (MRZT) di Kompleks Sukan Kuala Selangor bagi merintis perluasan ke negeri-negeri dalam usaha mendekatkan rakyat dengan kerajaan, khusus untuk rakyat Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Program MRZT ini kemudiannya akan diperluaskan lagi ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia bermula dengan Zon Utara di Pulau Pinang pada 26 hingga 28 April, Zon Timur di Pahang pada 28-30 Jun, Zon Selatan di Johor pada 25 hingga 27 Julai seterusnya di Sabah (27-29 September) dan di Sarawak (18-20 Oktober).

Untuk program MRZT ini, selain PACU selaku pelaksana utamanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menjadi penganjur dan Kerajaan Selangor selaku tuan rumah dengan majlis penutupannya dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 25 Februari.

Kali ini sebanyak 34 reruai kementerian dan agensi serta 163 perkhidmatan touchpoint rakyat disediakan di mana 121 perkhidmatan adalah dari agensi Persekutuan manakala 42 adalah dari agensi negeri. Selain itu, 31 usahawan terlibat dalam Jualan Agro dan Madani, 20 majikan terlibat dengan Karnival Kerjaya dan empat agensi terlibat dalam pameran aset kerajaan.

Dalam aspek kesejahteraan rakyat, terdapat kaunter semakan, rayuan atau pendaftaran seperti bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), i-Suri, i-Sayang, eKasih, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), MySynergy, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Dalam aspek Perkhidmatan Bergerak, terdapat perkhidmatan permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran/kematian, pembaharuan lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM), pembayaran saman, pemeriksaan motosikal tamat tempoh melebihi tiga tahun, program pertukaran topi keledar dan pendaftaran lesen memandu.

Selainnya ialah seperti kaunter semakan saman trafik dan pengurangan saman trafik dan sebagainya. Turut diadakan pemeriksaan pergigian dan perkhidmatan derma darah.

KPKM akan membuka pavilion khusus bagi menyediakan khidmat nasihat secara terus kepada pengunjung berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan selain menyediakan zoo mini haiwan jinak sebagai tarikan kanak-kanak.

Melalui program ini juga, KPKM akan mengadakan Jualan Agro dan Madani sebagai satu intervensi untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan selain menangani kos sara hidup rakyat dengan membolehkan pengeluar memasarkan produk terus kepada pengguna dengan penawaran harga yang lebih munasabah melalui diskaun antara 10 hingga 30 peratus.

Jualan Agro dan Madani ini antara lainnya akan menawarkan 5,000 kampit beras, 1,000 ekor ayam bulat, lebih 300 kilogram hasil laut seperti udang dan ikan serta lima tan buah-buahan kepada para pengunjung selain menawarkan pelbagai barangan keperluan harian lain pada harga yang berpatutan, termasuk kombo bakul jualan serendah RM10.

KPKM juga akan menawarkan Geran Agropreneur Muda pada program berkenaan di mana inisiatif ini akan memberi peluang kepada generasi muda berumur 18 hingga 40 tahun memohon geran berkenaan bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian.

Turut akan diteruskan ialah Karnival Kerjaya yang pada kali ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menyediakan sebanyak 2,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung yang hadir dengan 30 peratus daripada jawatan kosong yang ditawarkan disasarkan untuk diisi terus. Turut disediakan ialah pameran kerjaya, sesi kaunseling kerjaya dan pocket talk kerjaya.

Program advokasi dan promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan dilangsungkan dengan Sekretariat Majlis TVET Negara akan mempromosi UP-TVET, Portal TVET Madani, Kerangka Dasar TVET Negara dan Pertandingan Kemahiran Malaysia. Selainnya ialah promosi program TVET di beberapa kementerian dan agensi kerajaan lain.

Sementara Jabatan Wilayah Persekutuan akan membuka permohonan bagi projek perumahan mampu milik dengan membawa tiga daripada enam inisiatif di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) antaranya Infra@PUJI yang menawarkan rumah mampu milik di bawah RM300,000.

Di peringkat Kerajaan Selangor pula, ia akan mengetengahkan 31 program Iltizam Selangor Penyayang kepada pengunjung.

Di peringkat Kerajaan Perak pula telah mengatur beberapa program untuk mempromosi agenda pembangunan Perak Sejahtera 2030 dan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024, termasuk mempromosi sistem myPATIL iaitu sistem lesen premis perniagaan digital serta jualan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mencerminkan identiti negeri itu.

Ringkasnya, Program MRZT menyediakan segala macam perkhidmatan dan kemudahan. Oleh itu, seluruh rakyat Zon Tengah seharusnya tidak melepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai mengunjunginya.
Sesungguhnya Program MRZT dan Program Madani Rakyat Zon-Zon lain adalah bukti keseriusan kerajaan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.-UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Tadbir (MySTEP) di Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×