KEMAMPANAN menjadi salah satu topik yang begitu banyak diperbincangkan pada zaman kini. Lazimnya, kita lebih cenderung memikirkan soal kemampanan dari sudut mencari cara-cara penyelesaian berskala besar menggunakan teknologi moden dan canggih. Malah, ia dianggap begitu kompleks serta memerlukan berbagai-bagai penyelidikan menyeluruh dan terperinci.
Realitinya, kemampanan bukanlah sesuatu yang asing atau baharu dalam kehidupan manusia. Manusia sentiasa berusaha mencapai kemampanan hidup, baik dari segi ekonomi, alam sekitar, mutu hidup dan sebagainya.
Justeru, selain mencari pendekatan baharu bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kita harus melihat kembali cara hidup nenek moyang kita yang ternyata lebih bersifat mampan.
Amalan bercucuk tanam sayur-sayuran dan menanam pokok buah-buahan di sekitar rumah selain daripada menghasilkan bekalan makanan segar dan mengurangkan perbelanjaan, turut meningkatkan kualiti udara di sekeliling.
Begitu juga dengan kaedah pelupusan sampah sarap. Dahulu, sampah kita kebanyakannya bersifat organik dan mudah dilupuskan. Ketika itu, kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja bagi kerja pelupusan sampah kerana tiada keperluan untuk hal itu.
Sampah ditanam dan sekali gus menjadikan tanah lebih subur hasil limpahan baja kompos yang terhasil secara semula jadi daripada proses pengkomposan sisa organik. Ia bukan sahaja mudah, tetapi juga bersih serta menjimatkan perbelanjaan.
Malah, haiwan ternakan yang dibela di sekeliling rumah seperti ayam dan itik bukan sahaja membekalkan telur dan daging, tetapi turut menghasilkan baja bagi tanaman di sekitar rumah.
Dahulu pada asasnya kita makan makanan tempatan dan makanan import tidak banyak di pasaran. Namun dengan kepesatan kaedah pengangkutan, ikan salmon segar daripada Kepulauan Faroe juga dapat dinikmati di serata dunia.
Maka, akibat pergerakan kargo dan manusia merentas benua dalam jumlah yang sangat tinggi, kadar pelepasan karbon turut meningkat lagi.
Jika dahulu setiap keluarga memasak sendiri jamuan mereka, kini ramai yang makan atau membeli makanan daripada kedai dan gerai. Ini mengakibatkan perbelanjaan harian yang meningkat serta penghasilan lebih banyak sisa lebihan tak organik.
Gaya kehidupan moden tanpa pengisian rohani sering kali menjadikan manusia hilang sifat keinsanan dan kosong jiwa dirinya. Manusia menjadi semakin keindividualan dan hanya mementingkan diri sendiri.
Maka, jika kita betul-betul berhasrat mencapai SDG, langkahnya harus bermula daripada diri sendiri dan bukannya berpeluk tubuh sambil menunggu usaha dan insentif yang bakal diumumkan kerajaan.
Kita bukan sekadar mencontohi negara-negara yang lebih ke hadapan dalam hal ini, tetapi juga belajar daripada apa yang ada di sekeliling kita. Antara contoh terbaik ialah cara kehidupan Orang Asli.
Ramai antara kita tidak berpeluang menyelami nilai dan falsafah cara hidup Orang Asli kerana kita tidak berminat untuk belajar daripada mereka. Biasanya apabila melawat kampung Orang Asli, kita terlalu sibuk dengan misi memberi bantuan serta mahu mengajar mereka tanpa merasakan ada keperluan untuk kita belajar daripada mereka.
Sebenarnya, banyak perkara yang boleh kita pelajari, tentang cara hidup mampan kerana sememangnya itulah amalan hidup harian mereka secara tradisi.
Saya berpeluang mengadakan program kerjasama antara RCE Greater Gombak dan Wikimedia Malaysia dalam siri Wikikata yang bertujuan memelihara dan merakam bahasa serta ilmu orang asal di kampung mereka. Malah, hari ini saya sedang berkampung di Kampung Orang Asli Kensiu di Kedah, dan pada Oktober 2023 kami ke kampung suku Mendriq di Kampung Kuala Lah, Gua Musang.
Ketika program tahun lepas, kami dibawa melawat rumah tradisional mereka yang terletak di kawasan yang lebih jauh ke hutan untuk belajar tentang cara hidup, budaya serta tradisi mereka. Di situ kami berpeluang melihat serta diberi penerangan tentang peralatan-peralatan yang mereka gunakan.
Apa yang menarik perhatian saya tentang budaya hidup mereka ialah konsep pendidikan dalam permainan anak-anak mereka, contohnya bubu mainan yang mereka hasilkan. Sejak kecil, kanak-kanak Mendriq diberikan mainan berupa alatan memburu bersaiz kecil. Mereka akan diajar menggunakannya bagi menangkap haiwan perosak kecil seperti tikus.
Istimewanya, bermain dengan permainan menyerupai alat memburu sebenar sepanjang zaman kanak-kanak mereka, dengan cara tidak langsung dapat memahirkan mereka memburu sejak awal. Hal ini membantu mereka membesar menjadi pemburu yang baik dan mahir tentang kaedah pemburuan.
Satu lagi mainan terkenal yang sering dimainkan oleh kanak-kanak Orang Asli ialah kercang, iaitu sejenis permainan pencabar minda. Kercang mempunyai beberapa tahap kesukaran bertujuan mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah dan fikiran kreatif.
Bagi masyarakat moden, bermain permainan sebegini biasanya dianggap sebagai sesuatu kemahiran untuk dipamerkan kepada rakan-rakan, atau sebagai pertunjukan silap mata.
Namun, bagi komuniti Orang Asli, permainan sebegini dicipta bagi tujuan membangunkan kemahiran dan kekuatan mental agar mereka lebih berdikari dan percaya kepada diri sendiri.
Walaupun sering dilihat kurang maju serta kurang berpendidikan berbanding masyarakat bandar, Orang Asli berusaha menerapkan konsep mendidik anak-anak mereka dengan pelbagai aspek kemahiran hidup sejak usia yang muda.
Hal ini berbeza dengan cara didikan anak-anak kota yang mana sebahagian besarnya disogokkan dengan permainan telefon pintar dan peranti lain yang bukan sekadar kurang berfaedah tetapi banyak juga yang mempunyai nilai-nilai negatif, seperti pengurangan tempoh tumpuan.
Pembelajaran daripada komuniti bukan sahaja memberikan kita pandangan baharu tentang pembangunan lestari, tetapi turut mengajar kita untuk mencari jalan menyelesaikan isu kemampanan berdasarkan amalan dalam masyarakat tanpa mengira taraf pendidikan.
Bukan semua masalah dapat diselesaikan dengan cara memandang ke hadapan sahaja. Ada kalanya kita perlu juga menoleh ke belakang sambil bermuhasabah diri. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










