“WAHAI dunia, tanah airku hangus terbakar, kebebasan tanah airku dirampas. Langit kami bermimpi, bertanya kepada hari, di manakah matahari nan indah, di manakah kipasan sayap merpati. Tanah airku kecil, sekerdil tubuhku. Berilah kami kedamaian, kembalikanlah zaman keriangan kanak-kanak kami…” Inilah rintihan Remi Bandali, kanak-kanak Lubnan yang berusia enam tahun sekitar 1984 melalui lagu berjudul A’atuna al-Toufoule yang kembali menarik perhatian dunia apabila tercetusnya Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober lalu.
Melebihi 100 hari, harapan untuk berakhirnya serangan ganas Israel masih belum terlihat bibitnya.
Saban hari dan waktu, perkembangan bukan sahaja di Gaza tetapi juga kota yang sarat dihuni warga Palestin di Tebing Barat yang menjadi sasaran kezaliman dan keganasan Israel diikuti penduduk dunia. Di Gaza sahaja, sebagaimana dilaporkan media, dari utara ke selatan tiada lagi tempat yang selamat buat warganya.
Seperkara yang amat jelas sepanjang Taufan al-Aqsa, kuasa dan pengaruh media sosial berjaya membongkar pembohongan, kerakusan dan keganasan tidak terperi Israel selama ini. Tidak hairanlah masyarakat dunia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa mengadakan bantahan secara besar-besaran sama ada melalui perhimpunan, perarakan mahupun boikot syarikat atau barangan yang jelas menyumbang kepada ekonomi Israel.
Malah, aktivis Yahudi sendiri misalnya daripada organisasi, If Not Now turut menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin pada 13 Disember lalu. Mereka menutup laluan 110 Freeway, iaitu lebuh raya yang sangat sibuk di pusat bandar Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada waktu puncak dengan menggesa Israel menghentikan operasi ketenteraan di Gaza.
Rumusan ringkas oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan Gaza kini menjadi ‘kubur’ kanak-kanak adalah amat tepat.
Joanna Santa Barbara dalam artikelnya bertajuk, Impact of war on children and imperative to end war menyebut bahawa peperangan memberikan kesan secara langsung kepada kanak-kanak seperti kematian, kecederaan, kehilangan upaya, penyakit, penderitaan psikologi, kesan spiritual, moral serta kehilangan rangkaian sosial dan budaya.
Penjelasan Joanna jelas terzahir melalui situasi menyedihkan yang mana nyawa kanak-kanak tiada nilai sama sekali. Hal ini tidak menghairankan jika dirujuk hantaran pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melalui aplikasi X bahawa konflik antara Israel dengan Hamas merupakan perjuangan antara anak-anak ‘kebenaran’ (cahaya) dengan anak-anak ‘kesesatan’ (kegelapan). Selain korban nyawa, kanak-kanak Palestin juga mengalami pelbagai bentuk kecederaan disebabkan penggunaan senjata pembakar yang dilarang oleh Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa seperti fosforus putih. Larangan ini terkandung dalam Protokol III Konvensyen mengenai Senjata Konvensional Tertentu, iaitu satu-satunya undang-undang antarabangsa yang digubal khusus untuk mengawal penggunaan senjata pembakar.
FOSFORUS
Fosforus putih menyebabkan luka terbakar yang teruk dan dalam kebanyakan situasi, sehingga ke tulang. Luka tersebut juga lambat sembuh dan berkemungkinan menyebabkan berlakunya jangkitan. Jika keseluruhan serpihan fosforus putih tidak dikeluarkan, ia berkemungkinan menyebabkan luka menjadi teruk selepas rawatan di samping menyala semula apabila terdedah kepada oksigen. Fosforus putih yang terbakar pada hanya sepuluh peratus tubuh manusia lazimnya membawa maut.
Kecederaan parah yang menimpa penduduk Palestin khususnya kanak-kanak akibat penggunaan senjata ini dan selainnya begitu menyayat hati. Sebagai contoh, Melissa Joudah yang masih bayi, mengalami keretakan tulang belakang dan menyebabkan dia lumpuh dari bahagian dada hingga bawah tubuh. Pada masa yang sama, anak kecil itu kehilangan seramai 60 orang anggota keluarganya. Begitu juga dengan Alaa, 7 mengalami semua kecederaan ini dalam dua kali serangan dan Ahmet, 4 kudung kedua-dua kakinya selain kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
Kisah pilu Melissa, Alaa dan Ahmed mewakili puluhan ribu kanak-kanak Palestin dan di seluruh dunia akibat peperangan dan konflik. Kecederaan yang dialami kanak-kanak juga dalam kebanyakan situasi menyebabkan mereka kehilangan upaya disebabkan kehilangan anggota atau faktor yang lain.
Bagi kanak-kanak Palestin atau di negara yang dilanda konflik, rawatan pemulihan amat sukar dijalankan atau mustahil sama sekali.
Sebagaimana dilaporkan UNICEF, kebinasaan besar-besaran yang dilakukan Israel turut menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada penyakit disebabkan sumber asas bagi menjamin kesihatan seperti nutrisi, keselamatan air, kediaman, akses kepada kesihatan berkurangan atau hilang sama sekali apabila tercetusnya peperangan.
KESIHATAN MENTAL
Terkini, nyawa kanak-kanak Palestin terus terancam disebabkan kebuluran yang mencengkam kehidupan seharian. Selain kesihatan fizikal yang terjejas teruk, kanak-kanak juga terdedah pada krisis kesihatan mental.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusian, Save the Children, memberikan tumpuan khusus pada kanak-kanak, menegaskan dalam laporan pada Jun 2022 bahawa kesihatan mental kanak-kanak Gaza sudah mencapai tahap kritikal. Hak kehidupan dan kebebasan kanak-kanak ini sudah dirampas serta diselubungi keganasan sejak sekatan darat, udara dan laut dikenakan pada 2007.
Kanak-kanak ini dilaporkan menghadapi pelbagai gejala trauma termasuklah kebimbangan dan ketakutan, mimpi ngeri, insomnia dan pemencilan diri.
Demi keselamatan dan masa hadapan kanak-kanak khususnya di Palestin, keangkuhan Israel dan teman tidur sebantalnya, AS, mesti dileburkan. Sudah tiba masanya kekebalan yang dipamerkan mereka terhadap apa juga mekanisme perundangan, resolusi mahupun tekanan antarabangsa dihancur luluhkan.
AGAMA
Malaysia yang sejak sekian lama menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin boleh mengambil pendekatan diplomasi keagamaan. Pendekatan ini perlu digerakkan secara kolektif dengan melibatkan agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil (CSO) dan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan matlamat pembebasan Palestin.
Telah banyak contoh menunjukkan bagaimana agama memainkan peranan besar dalam penyelesaian konflik. Misalnya, peranan gereja dalam menjamin transisi secara aman daripada komunisme di Jerman Timur, gereja Katolik untuk menjatuhkan rejim Marcos di Filipina dan juga gereja di Afrika Selatan untuk menamatkan rejim aparteid.
Walaupun mungkin masa panjang diperlukan, namun ia dapat menamatkan penderitaan sekali gus menjamin kebebasan hakiki dan kehidupan yang aman bahagia terutama bagi kanak-kanak.
Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!-UTUSAN
PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










